Hanya tinggal beberapa hari untuk menyambut kehadiran orang baru, kegembiraan hati seorang ibu bertukar saat menyedihkan apabila mengetahui anak yang dikandung 9 bulan tidak bernyawa menjelang tiga hari sebelum tarikh bersalin.
Apa yang lebih menyedihkan kandungan ini telah dinantikan selama 5 tahun selepas kehadiran dua orang anak sebelum itu.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang ibu, Sofea Shafie di Facebooknya dengan meluahkan rasa sedih akan kehilangan anak dalam kandungannya lebih-lebih lagi apabila segala persiapan menyambut kelahiran cahaya matanya itu telah hampir siap sepenuhnya.
5 tahun menanti
Sakitnya bila kena berpantang sorang-sorang tanpa anak syurga umi disisi. Kuat kan diri ini ya Allah.Selalunya tengok orang lain yang di uji.Tapi kali ni tak sangka Allah uji diri ini. Segala persiapan dah dibuat untuk menyambut kehadiran anak umi.
Umi tak sabar sangat nak jumpa, nak peluk cium adik. 5 tahun umi tunggu adik. Tapi Allah pinjamkan adik 9 bulan sahaja di rahim umi. Hanya badan kaku tak bernyawa yang umi sambut. Cantik sangat adik, bibir masih merah,kulit seputih salju kemerahan. Masya Allah. Sakit melahirkan adik tidak sesakit melihat adik diam kaku tidak bergerak.
Umi bahagia sangat bila dapat tau umi mengandung. Segala persiapan ibarat menyambut anak sulung, teruja sangat-sangat. Umi tak sangka sebab adik sihat-sihat saja dalam perut umi, setiap hari aktif bergerak, lagi 3 hari je nk due, adik pergi meninggalkan umi. Menangis kakak Aisya dan abang Akiff bila tahu adik yang selalu tendang-tendang di perut umi, sudah tak bergerak lagi. Menangis-nangis depa suruh umi hidupkan balik adik. Allahh. Umi tak kuat.
‘Allah lebih sayangkan adik’
Umi redha tapi umi rindu. Allah lebih sayangkan adik. Umi dah cuba buat yang terbaik untuk adik. Tapi umi tau, walaupun sebanyak mana umi sayangkan adik, tapi Allah lebih sayangkan adik. Berlari-lari lah sayang di syurga bersama kakak adik yang umi keguguran dulu. Dua anak syurga umi sedang menanti umi di sana. Semoga asbab pemergian adik dan kakak, dapat menarik umi dan abi kesyurga.
Untuk yang bertanya. Anak syurga saya meninggal di dalam perut pada hari Jumaat 21/02/2020. Tiada sakit apa-apa. Selepas solat zohor, tiba-tiba baby tak bergerak. Bila terus ke klinik, doktor sahkan jantung baby dah stop.
Sepatutnya due 24/02/2020. Buat ibu-ibu diluar sana, pesanan saya, pantau lah pergerakan baby betul-betul. Jangan terlalu stress, jangan push diri buat kerja walaupun kita mampu. Sebab kita tak tau keadaan baby di dalam, bila kita tak larat akan beri kesan pada baby juga di dalam. Buat yang termampu sahaja. Selebihnya serahkan pada suami.
Berpantang tanpa anak disisi
Pada 22/02/2020, saya selamat melahirkan anak syurga ini secara normal dengan berat 3.4kg dan diberi nama Muhammad Ammar bin Aliff Haikal.Mudah sangat melahirkan adik. Bila pergi hospital untuk induce, doctor cek laluan dulu, alhamdulillah dah ada bukaan 4cm tanpa sakit apa-apa masa ni. Doktor pecahkan air ketuban, lepas tu terus sakit. Sakit yang tak sampai sejam, terus adik selamat dilahirkan. Terima kasih Allah sebab permudahkan.
Rindu yang sakit, tiada penghujungnya
Al fatihah buat anak-anak syurga yang lain. Doakan saya semoga kuat untuk menempuh ujian dari Allah, doakan saya kuat menempuh setiap hari berpantang tanpa anak disisi. Doakan saya kuat.. Itu saja yang saya harapkan dari semua sekarang ni. Saya tak meratapi. Tapi izinkan saya untuk meluah. Hanya ini dapat menenangkan rasa sarat rindu buat anak syurga umi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul Umi redha walaupun pahit untuk telan. Rindu yang sakit, tiada penghujungnya. Penantian yang perit untuk dilalui.
Sumber: Sofea Shafie