Didik anak kenal Allah supaya mudah solat bukan suatu yang mudah bagi anak yang masih kecil terutama anak yang berusia lima dan enam tahun. Pada usia ini mereka tidak mengenali Allah. Pasti ada anak-anak bertanya, “Ummi, Allah tu macam mane?”
Terdapat pelbagai cara untuk mendidik anak supaya mengenali Allah dengan cara yang mudah. Apabila anak sudah mengenali Allah, dengan mudah anda dapat mengajak anak solat bersama. Berikut 5 cara mudah bagaimana membina anda memperkenalkan Allah kepada anak.
1.Gunakan sumber yang sahih
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?” Dengan ini, anak menyedari dirinya dicipta oleh Allah, oleh itu, seharusnya dirinya bersyukur dengan mengejakan solat.
2.Ingatkan ganjaran Allah
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Afiq buat baik dengan mama dan sediakan Afiq pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”
3.Imbangi kisah teladan
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
4.Kaitkan kejayaan mereka dengan rahmat Allah
Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman. Oleh itu, Aiman juga kena solat untuk berdoa supaya sentiasa berjaya.”
5.Beritahu kanak-kanak yang Allah sentiasa sayangkan mereka
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.