Lebih enam bulan bergelar bapa kepada Muhammad Bilal, suami kepada usahawan Neelofa, PU Riz mengakui ia sebagai detik terindah dalam hidupnya.
Malah kata PU Riz lagi, dialah orang yang paling bahagia sejak kehadiran Bilal dalam hidupnya dan isteri.
Sebagai penerima Anugerah BEST PAPA MILLENIAL 2022, PU Riz berkongsi cerita indahnya saat bergelar bapa kepada Bilal.
“Dulu-dulu saya tak faham bila orang kata balik saja kerja tengok muka anak terus hilang rasa penat.
“Sebenarnya ungkapan ini saya setuju hampir seratus peratus. Bila ada anak rasa tenang bila tengok muka anak. Jadi lelaki kat luar sana, kahwinlah cepat-cepat untuk beri ketenangan,” katanya memulakan bicara awalnya.
Malah kata PU Riz lagi, sejak mengetahui kehamilan isterinya, dialah insan yang paling gembira malah amat bersyukur dengan kurniaan rezeki dari Allah.
“Bila saya diberitahu kedatangan anak ini dalam keluarga, saya rasa cukup gembira, syukur alhamdulillah. Kalau tanya bersedia atau tidak saya mulanya rasa takut akan tanggungjawab baru yang akan datang.
“Tapi selepas enam bulan saya boleh kata sayalah orang yang paling bahagia sekarang bila ada anak. Sebab apa, bila dia senyum, kita tukar pampers dia pun walau bukan senang nak buat tapi menyeronokkan.
“Seronoklah tidur dengan dia, dia bangun dengan senyuman setiap pagi. Bila ada anak ni, dia bangun dekat waktu subuh, kita pun terus bangun. Syukur alhamdulillah,” kongsinya.
Pengalaman paling mencabar
Ketika ditanya mengenai rutin harian barunya dalam membantu menguruskan Bilal, PU Riz mengakui agak mencabar namun ianya momen yang cukup indah bagi dirinya.
“Bagi saya semua rutin, tukar pampers, tidurnya anak semua itu agak mencabar tapi diubati dengan senyuman yang semuanya jadi mudah.
“Memang nak bangun pukul 3, 4 pagi nak buat susu bukan mudah tapi dengan senyuman, bau anak tu buat rasa bahagia. Bau harum syurga.
“Buat susu, cuba tidurkan, buat susu memang susah tapi dibalas dengan senyuman sampai kadang saya terlupa kesusahan menguruskan semua itu,” kongsi PU Riz lagi.
Suami kesayangan Neelofa ini turut sama berkongsi mengenai masa depan anak mereka. Pun begitu, akui PU Riz lagi, dia dan isterinya Neelofa tidak meletakkan apa-apa syarat. Terpulanglah kepada kehidupan Bilal sendiri dan asalkan sentiasa di jalan Allah.
“Saya tidak meletakkan apa-apa dia nak jadi tapi dia bolehlah pilih. Apa pun sekali dia nak pilih asalkan kena dengan dia dan tidak melanggar agama.
“Saya mengharapkan Allah memberi dia satu jalan tentang hidup, kerjaya yang boleh membantu dari segi keagamaan. Insyaallah mudah,” kongsi lagi.
Namun apa yang diharapkan dari anak lelakinya ini hanya satu, doa dan uruskan jenazahnya dan isteri sebaiknya bila tiba saatnya. Dalam nada sebak, PU Riz menitipkan pesanan buat Bilal.
“Saya tak pernah rasa bila ada anak ini memberi kita satu perasaan berbeza sehinggalah Bilal hadir dalam hidup Abah.
“Tidak ada yang lebih saya harapkan, hanya jika saya dan ibu dia meninggal kelak, uruskanlah jenazah kami, doakanlah keampunan dalam setiap solatnya nanti. Kami tidak harapkan wang ringgit, hanya doa darinya kelak,” katanya sebak.
Terdahulu, PU Riz dan Neelofa menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka, Muhammad Bilal pada tanggal 29 Januari lalu.