Mendidik anak mempunyai sikap positif sudah pastinya bermula di rumah. Anak yang diasuh dengan baik akan mempunyai jiwa yang halus iaitu jiwa yang peka akan perasaan orang lain dan persekitaran. Justeru, Islam menggalakkan ibu bapa mendidikan anak yang masih kecil dengan penuh kasih sayang dan  kesabaran tanpa memerlukan kekerasan. Ikuti perkongsian, Pakar Motivasi. Hj. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad mengenai cara didikan positif kepada anak-anak.

6 Cara Asuhan Sejak Kecil Menurut Islam Tanpa Guna Kekerasan. No.5 Mudah Aje Nak Buat

  1. PERKUKUHKAN TAUHID DALAM DIRI ANAK-ANAK

Dalam mendidik anak-anak, perkara paling utama dalam Islam ialah pastikan mereka mengenal Allah dan menyembah Allah. Sebab itulah penting ibu bapa memperkukuhkan tauhid anak-anak sejak daripada bayi lagi.  Sejak kecil lagi anak-anak perlu didedahkan bahawa setiap ciptaan itu adalah penciptanya iaitu Allah swt.  Apabila anak bertanya kenapa hujan turun? Ibu bapa perlu terangkan dahulu dari aspek ketuhanan sebelum aspek sains.  Jawablah, “Hujan itu turun kerana Allah yang menciptakan hujan.  Ia turun sebagai rahmat Allah kepada manusia. Allah boleh turunkan hujan di bumi mana sahaja yang Allah mahukan.  Cuba fikirkan apa yang berlaku sekiranya Allah murka lalu tidak diturunkan hujan?  Tiada air untuk diminum, mandi, dan sebagainya.” Bukan setakat faham sahaja, apabila anak sudah tahu dan faham maka Allah sahajanya tempat untuk dia meminta dan menyembah.  Allahlah yang patut sentiasa dipuji melalui fikir dan zikir. Oleh itu jadilah ibu bapa yang bertanggung jawab memperkukuhkan tauhid anak-anak sebelum mereka diserahkan kepada guru-guru di sekolah.

  1. BENTUK ADAB DAN AKHLAK ANAK YANG BAIK

Anak-anak yang terbentuk akhlak dan sikap positif juga akan lebih berjaya apabila masuk alam persekolahan dan pekerjaan.  Sikap dan akhlak ini akan mudah terbentuk apabila ibu bapa menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada anak-anak.  IQ yang tinggi dan cerdik tidak mencukupi jika tidak diiringi dengan hikmah dan kebijaksaanan. Ilmu yang tinggi tidak bermakna jika tidak seiring dengan adab.  Sebab itulah membentuk adab dan akhlak perlu diberikan keutamaan dalam mendidik anak-anak. Disamping menggalakkan anak-anak menghidupkan sunnah, didik juga mereka dengan adat orang Melayu dulu-dulu yang penuh dengan sopan dan santun.  Misalnya, bongkokkan badan meminta izin ketika melintas depan orang, tidak duduk sekali dalam kelompok orang-orang tua yang sedang bercakap, ringankan mulut dengan ucapan salam dan terima kasih, dan banyak lagi.  Ia membina rasa hormat dalam diri anak terhadap orang lain.

IKLAN
  1.  BETULKAN TUTUR BICARA MEREKA

Dengar percakapan anak-anak dengan teliti. Ada ketikanya mereka bercakap secara kasar atau menggunakan intonasi suara yang tidak sesuai. Didik anak untuk bercakap dengan nada yang lembut terutamanya  dengan orang yang lebih dewasa.  Anak-anak seawal usia tiga tahun sudah mula pandai bercakap bohong bagi mengelakkan dirinya daripada dimarahi oleh ibu bapanya.  Sebab itulah apabila kita tahu bahawa anak telah melakukan kesalahan maka usah bertanya saya ada dia lakukan atau tidak, sebab ia akan mendorong anak berbohong.  Misalnya, kita tahu yang adik telah mengambil mainan abangnya laku disorokkan.  Kita pula bertanya, “Adik ada ambil barang abang ker?”.  Agaknya apa jawapan adik?  secara logiknya dia tidak akan mengaku lantar menjawab, “Tidak”.  Secara tidak langsung ibu bapa telah mendorong anaknya untuk berbohong.  Sepatutnya, ibu terus sahaja mendekti anaknya lalu berkata, “Adik, mak tahu adik ambil barang abang.  Sekarang mak cuma nak tahu kenapa adik ambil?”.

6 Cara Asuhan Sejak Kecil Menurut Islam Tanpa Guna Kekerasan. No.5 Mudah Aje Nak Buat

  1. JADI ANAK SEORANG YANG MEMENTINGKAN DAN MENJAGA SOLAT

Tiada ibadah yang lebih penting daripada ibadah solat.  Solat adalah tiang agama dan amalan pertama yang dihisab di akhirat nanti adalah solat.  Adalah satu kesilapan apabila masuk sahaja bulan Ramadan ibu bapa lebih utamakan puasa berbanding solat anak-anak mereka.  Dalam satu hadis, daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda  Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.”   Jelas sekali Allah mahukan ibu bapa menjadi contoh dalam bab solat ini dan mesti bertegas apabila usianya masuk 10 tahun.

IKLAN

Ibu bapa perlu menjadi contoh dengan mengajak anak bersolat bersama mereka meski pun anak sekadar main-main.

Malah jika anak duduk di tepi memerhati pun sudah memadai. Anak-anak perlu dipaksa untuk solat dan usah ragu-ragu untuk bertegas dalam mendisiplinkan anak-anak pada usia ini.

  1. GUNAKAN BAHASA YANG LEMBUT, POSITIF DAN BANYAKKAN BERCERITA

Dalam mendidik anak-anak bercakaplah dengan menggunakan bahasa yang lembut. Bercakaplah dengan anak dengan nada yang sederhana dan tidak meninggikan suara tanpa sebab.  Dalam percakapan itu pula lebihkan kata-kata positif, fokus kepada kebaikan dan kekuatan anak dan bukannya menyebut akan kelemahan dan kekurangan mereka.   Sebahagian besar daripada didikan dan pengajaran dalam al-quran disampaikan dalam bentuk cerita-cerita.   Maka ambillah iktibar dari al-quran ini dengan mendidik anak-anak melalui cerita.

IKLAN

Ceritakan kepada anak-anak kisah-kisah para nabi dan para sahabat.  Ceritakan juga tentang pemimpin-pemimpin Islam yang hebat, para huffaz dan ulamak.

Ceritakan juga kisah-kisah kejayaan orang lain untuk anak-anak jadikan ikutan.  Dengan selalu bercerita, jiwa anak-anak terbentuk secara positif.  Tanpa disedari cerita-cerita ini membentuk watak, karakter dan mindset anak-anak dan menjadi panduan hidup mereka dalam menjalani setiap ujian dan cabaran.

  1. BERIKAN ANAK-ANAK SEPENUH KASIH SAYANG

Tiada perkara yang lebih utama kepada anak-anak selain daripada mereka sedar bahawa ibu bapa memang menyayangi mereka tanpa syarat.  Oleh itu usah membanding-banding anak-anak sebab setiap anak itu punya rezekinya masing-masing.  Keupayaan dan bakat mereka juga berbeza.  Jika ada anak yang kurang menyerlah dalam pelajaran maka tidak mengapa.  Ingatkan anak itu untuk berikan yang terbaik dalam hidupnya. Yang penting dia menjadi anak yang baik, beriman dan sentiasa doakan kita sebagai ibu bapa.  Sebab, semasa hidup anak-anak perlukan doa ibu bapanya untuk berjaya dan setelah kita meninggalkan dunia ini kita perlukan pula doa anak-anak.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI