6 Masalah Dalam Proses Kelahiran. Anda Perlu Ambil Tahu

Share

Sebelum tiba saat melahirkan, anda seharusnya peka dan ambil tahu beberapa masalah yang boleh terjadi menjelang, semasa dan selepas proses kelahiran.

Terlilit tali pusat

Keadaan ini kerap kali mencetuskan rasa risau di kalangan ibu hamil berikutan ramai yang menyatakan masalah ini biasa dialami semasa proses bersalin.

Biarpun begitu, perlu anda tahu bahawa terdapat beberapa jenis masalah tali pusat yang tidak membahayakan janin. Apa-apa pun, ia perlulah terlebih dahulu melalui pemeriksaan ultrasonografi.

Menerusi pemeriksaan ini, kedudukan tali pusat dapat dilihat dengan lebih jelas. Malah jumlah lilitan dan keadaan aliran darah di kawasan sekitar lilitan pun boleh diketahui.

Dengan yang demikian, doktor dapat mengenal pasti adakah lilitan berkenaan membahayakan bayi dalam kandungan ataupun sebaliknya.

Jika lilitan terlalu kuat, ia boleh menyebabkan bayi kekurangan oksigen dan boleh membahayakannya. Apabila keadaan ini berlaku dan anda boleh bersalin normal, maka dapatkan nasihat doktor untuk langkah seterusnya.

Jika ia boleh memburukkan keadaan, maka adalah selamat jika anda bersalin melalui pembedahan caesarean.

Posisi songsang

Apabila bayi didapati berkedudukan songsang, anda boleh meminta bantuan doktor yang pakar melakukan External Cephalic Version (ECV) sebelum memutuskan untuk bersalin dalam proses pembedahan.

Langkah lain yang boleh anda lakukan agar bayi kembali ke posisi normal ialah dengan melakukan posisi knee – chest atau sujud – menungging.

Perlu anda ketahui bahawa ECV hanya boleh dilakukan jika anda tidak mengalami pendarahan pada faraj dan plasenta berada dekat dengan ‘mulut’ rahim. Walau bagaimanapun agak sukar dilakukan jika degupan jantung bayi tidak normal, kehamilan kembar, pertumbuhan janin tidak normal dan air ketuban kurang.

Lahir pramatang

Penyebab umumnya terjadinya kelahiran pramatang ialah premature rupture of membrane (PROM). Hal ini terjadi kerana selaput ketuban pecah dan air ketuban keluar sebelum waktu sepatutnya bayi lahir.

Kebanyakan doktor berpendapat pemicu masalah ini adalah disebabkan oleh jangkitan pada bahagian faraj. Ia mungkin disebabkan oleh kadar hormon estrogen yang meningkat sepanjang tempoh kehamilan hingga menyebabkan faraj menghasilkan lebih banyak glikogen yang menggalakkan pertumbuhan kulat.

Pencegahan awal yang boleh dilakukan adalah dengan menjaga kebersihan faraj. Antara lain, ia mungkin berpunca daripada masalah jangkitan saluran kencing.

Gejalanya adalah salur kencing terasa seperti ‘terbakar’ ketika membuang air kecil, sering terasa mahu membuang air kecil; urin berbau dan berwarna keruh serta kadang kala mengandungi darah.

Pencegahannya adalah anda perlu minum air kosong dalam amaun yang sesuai dengan keperluan tubuh.

Berkemungkinan juga kelahiran pramatang berlaku disebabkan oleh listeria atau listeriosis iaitu jangkitan yang sering diabaikan. Gejalanya sama seperti selesema dengan sedikit demam dan kadang kala cirit-birit.

Selain kelahiran pramatang, bayi juga mungkin menderita meningitis. Langkah pencegahan yang boleh dilakukan ialah dengan menghindari makanan yang mudah berkulat seperti keju lembut atau daging yang belum dimasak sepenuhnya.

Selain daripada kemungkinan yang dinyatakan, antara penyebab lain yang perlu dititikberatkan ialah air ketuban yang terlalu banyak, ‘mulut’ rahim yang lemah, bentuk rahim tidak normal, kehamilan kembar, masalah tekanan sepanjang tempoh kehamilan atau kehamilan di usia matang.

Plasenta praevia

Plasenta praevia ialah keadaan di mana plasenta berada di tempat yang salah. Seharusnya, plasenta terbentuk di bahagian atas rahim. Namun dalam kes ini, plasenta berkemungkinan melekat atau menutupi laluan serviks.

Keadaan sebegini boleh mengganggu proses kelahiran kerana plasenta menutupi saluran kelahiran dan dilaporkan sekitar 0.5 % ibu hamil mengalami plasenta praevia. Posisi plasenta yang tidak berada pada tempat yang sepatutnya boleh diketahui sejak sebelum proses bersalin iaitu melalui pemeriksaan ujian imbasan.

Jika didapati anda mengalami uri bawah pada usia kehamilan lebih daripada 28 minggu, maka anda akan dikategorikan sebagai plasenta praevia. Jika plasenta terus menerus menghalang saluran kelahiran sehingga tiba saat bersalin, maka doktor akan memutuskan pembedahan caesarean sebagai proses kelahiran bayi.

Berat badan bayi lahir rendah

Proses kelahiran bayi yang bersaiz kecil atau berat badannya rendah cenderung lancar tetapi keadaan bayi yang baru sahaja dilahirkan itu tidak sempurna.

Umumnya masalah ini terjadi lantaran disebabkan usia kehamilan belum cukup matang atau bayi sememangnya bersaiz kecil dalam kandungan.

Faktor penyebab masalah ini ialah adanya gangguan dalam pertumbuhan janin yang mungkin disebabkan oleh masalah penyaluran makanan daripada ibu kepada pbayi tidak sampai atau berkurangan; kelainan plasenta, jangkitan atau masalah tekanan darah tinggi yang dialami oleh ibu.

Dalam usaha mencegah risiko berat badan bayi lahir rendah ialah mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang seperti yang disarankan oleh doktor dan menjaga kehamilan agar pertumbuhan bayi berkembang normal

Ketuban pecah awal

Ketuban pecah? Sering kali kita mendengar perkataan ini. Ia boleh menimbulkan panik di kalangan ibu hamil yang pada ketika itu, belum tiba masa untuk melahirkan bayinya. Tambahan pula, ramai yang tahu bahawa hal ini adalah salah satu petanda awal proses kelahiran.

Sebenarnya penyebab ketuban pecah lebih awal banyak bergantung kepada keadaan anda dan kehamilan itu sendiri. Jika jumlah air ketuban masih cukup, doktor cenderung untuk menahan bayi di dalam kandungan kekal di rahim. Sementara itu, anda perlu berehat sepenuhnya dan diberi ubat untuk mematangkan paru-paru janin dan antibiotik demi mencegah sebarang jenis jangkitan.

Kebiasaannya, kesan daripada langkah yang dilakukan oleh doktor ini akan membuatkan selaput ketuban tertutup sendiri dan air ketuban kembali terbentuk semula. Jika hal sebaliknya berlaku iaitu air ketuban sudah kering, doktor akan segera mengeluarkan bayi melalui pembedahan caesarean.

Tip yang boleh dilakukan untuk mengelakkan ketuban pecah awal ialah dengan melakukan pemeriksaan kehamilan secara teratur dan segera mendapatkan peemeriksaan doktor jika berasa ada sesuatu yang tidak normal dengan kehamilan atau kawasan sekitar kemaluan.

Selain itu, sekiranya anda mengalami masalah rahim tidak kuat, adalah lebih baik jika hubungan seksual dengan suami dihentikan segera. Antara lain, anda boleh mencuba dengan mengambil suplemen atau mengambil makanan atau minuman yang mengandungi vitamin C dalam bentuk segar secara teratur selepas usia kehamilan lebih daripada usia 20 minggu.

Published by
Intan Jastina