Hari ini tentu ramai ibu bapa yang mula menghantar anak ke tadika. Risau anak menangis di hari pertama bersekolah. Macam mana nak elakkan ya?
Bagi yang baru pertama kali pergi ke tadika tentu berdebar-debar perasaannya. Si kecil mungkin sudah sedia maklum sejak lama lagi tentang kemasukan mereka ke sekolah.
Sebagai ibu ayah tentu sahaja anda ada cara tersendiri untuk memastikan anak tidak menangis atau meraung bila kali pertama ke tadika. Dalam tempoh seminggu pertama hari sekolah, anda boleh praktiskan tip berikut ini.
1. Ambil cuti
Kalau ini adalah hari pertama anak memulakan alam persekolahan, apa salahnya ibu dan ayah atau salah seorang mengambil cuti. Sekurang-kurangnya ia sebagai tanda sokongan menghantar anak ke tadika untuk kali pertama. Bangunkan anak awal pagi dan siapkan sarapan kegemarannya. Kalau anak masih liat untuk bangun awal, jangan tengking atau marahkan dia. Bersabar dan kejut anak dengan lemah lembut supaya dia tidak akan meragam nanti.
2. Beri kata semangat
Berikan kata-kata pujian dan semangat kepada anak anda supaya dia tidak meragam semasa ditinggalkan di tadika.
3. Tunggu sebentar
Si kecil mungkin masih belum biasa ditinggalkan sendirian tanpa ibu atau ayah di sisi. Jadi apa salahnya tunggu seketika sehingga anak anda benar-benar dapat menyesuaikan diri di tadika. Jangan tinggalkan dia tanpa memberitahunya. Yakinkan si kecil yang dia akan gembira belajar bersama kawan-kawan di tadika.
4. Jangan lupa tinggalkan pesanan
Terangkan kepada anak yang anda akan kembali mengambil mereka selepas kelas pembelajaran selesai. Maklumlah jika tidak dipesan bimbang pula anak risau apabila tidak nampak kelibat anda di tadika.
5. Minta bantuan cikgu
Sekiranya anak anda jenis kuat menangis dan tidak benarkan anda pergi meninggalkannya, eloklah minta nasihat daripada pihak guru di tadika. Mungkin pihak tadika boleh cuba memujuk dan menenangkan anak anda atau memberi kebenaran kepada anda untuk menemani anak pada minggu pertama persekolahan.
6. Tanya pengalaman anak
Sebagai salah satu cara untuk menggembirakan anak, jangan lupa untuk mendapatkan maklum balas anak semasa di tadika dengan bertanyakan soalan yang positif seperti “tadi cikgu ajar apa?”, “tadi lukis apa?” dan “ramai kawan tak?” Secara tak langsung ia akan merangsang anak untuk seronok bercerita pengalaman pertamanya di tadika
Semoga dengan cara ini, anak akan lebih bersemangat untuk ke sekolah, ibu dan ayah pun senang hati.