Nak jadi ibu yang boleh memasak betul-betul pantas di bulan Ramadan ini, anda kena tahu tips yang betul.
Menyediakah juadah berbuka puasa untuk keluarga kadangkala agak memberi tekanan pada ibu terutamanya yang bekerja.
Niat di hati sepanjang bulan puasa nak masak sendiri hidangan berbuka untuk keluarga.
Kalau boleh memang tak nak membeli di bazar Ramadan untuk mengelakkan pembaziran dan masalah makanan yang tidak menepati citarasa.
Tapi kadangkala kekangan masa menghalang semua impian tersebut.
Eh, siapa kata ibu bekerja tak boleh memasak untuk juadah berbuka. Kalau kena gaya dan cara, balik kerja boleh sinsing lengan dan masak hidangan sepantas 30 minit sahaja!
1. Buat Jadual Menu Seminggu
Nampak macam tak masuk akal nak kena fikir menu seminggu. Tapi inilah cara paling mudah bantu para ibu boleh masak dengan pantas.
Bila dah ada jadual menu barulah tak buang masa. Lebih tersusun dan banyak kerja lain dapat dibereskan.
Maklumlah kalau golongan ibu duduk berbincang menu berbuka puasa memang macam-macam idea nak buat.
2. Siapkan Bahan Asas Memasak
Tugas memasak sebenarnya menjadi lebih mudah sekiranya segala macam bahan asas yang mengambil masa lama untuk disediakan seperti bawang, cili kisar, ikan, ayam, udang, sotong dan sayur-sayuran sudah tersedia.
Jadikan cuti hujung minggu untuk anda membuat persediaan mengisar cili, mengupas dan memotong bawang, menyiang ikan, sotong, udang dan sebagainya lagi.
Untuk lebih mudah, anda boleh pekkan setiap bahan basah mengikut bahagian yang akan dimasak dalam sehari.
Lebih mudah sekiranya anda sudah menetapkan jenis masakan dan bahan-bahan yang diperlukan untuk kegunaan seminggu.
Cara ini mempercepatkan proses memasak malah memelihara kesegaran bahan basah yang dibeli.
3. Menyediakan Pes Masakan
Kaedah ini juga dijamin menjimatkan masa memasak anda di dapur. Anda boleh menyediakan pes masakan seperti pes cili, pes kari, pes asam pedas dan sebagainya bagi memudahkan kegunaan masakan.
Pes tersebut boleh dipelbagaikan untuk memasak lauk pauk, pasta, mee dan sebagainya.
4. Masak Awal Dan Simpan Di Peti Ais
Kalau anda takut tak sempat memasak balik dari kerja disebabkan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, sebaiknya anda masak di awal pagi iaitu sebelum bersahur.
Masak dalam kuantiti yang cukup untuk dimakan pada waktu sahur dan berbuka. Makanan tersebut boleh disimpan di dalam peti ais selepas dibiarkan sejuk seketika.
Balik dari kerja anda hanya perlu memanaskan sahaja lauk tersebut. Antara menu yang boleh dimasak lebih awal iaitu tomyam, sambal udang, ayam kicap, kari ikan, daging lada hitam dan bermacam lagi.
5. Satu Lauk Semua Ada
Untuk lebih menjimatkan masa anda boleh masak satu lauk yang mengandungi ada sayur-sayuran dan segala protein seperti ikan, ayam, udang, sotong atau daging.
Contoh menu yang sesuai iaitu tomyam, paprik, masam manis, kari dan banyak lagi. Jadi tak perlulah anda masak dua menu.
Dapat jimatkan masa dan yang penting hidangan cukup mengandungi protein dan vitamin.
6. Tak Perlu Masak Sayur
Kadangkala ada orang tak suka nak ‘campakkan’ semua dalam satu masakan kerana lebih suka masak sayur secara berasingan.
Tapi keadaan masa yang tak mengizinkan membuatkan anda tak sempat masak sayur. Tiada menu sayur rasa macam tak lengkap pula hidangan nanti.
Untuk jimatkan masa, sediakan stok segala ulam-ulaman, salad dan tomato yang boleh dimakan secara mentah. Lebih segar dan berkhasiat.
Dengan perancangan yang cekap, anda masih boleh memasak hidangan untuk berbuka puasa. Lebih berkat dan terjamin kebersihannya.
Yang penting dapat rebut pahala berganda di bulan puasa bila menyediakan juadah untuk orang yang berpuasa tanpa mengurangkan pahala sendiri.