Kehamilan

7 Barang Keperluan Bayi Ini Tak Perlu Dibeli Sebelum Bayi Lahir. Boleh Tangguh Dahulu!

Share

Mana-mana ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata pasti teruja mahu membeli-belah keperluan dan kelengkapan yang bakal digunakan oleh si anak nanti. Antara barang yang dibeli termasuklah pakaian, kelengkapan mandian, lampin dan sebagainya. Tidak lupa juga peralatan lain seperti katil, car seat, stroller  dan lain-lain.

Persoalannya, perlukah semua barang ini dibeli dalam satu masa? Jawapannya, tidak semuanya perlu dibeli sebelum bayi lahir. Boleh tangguh dahulu.

Rancanglah pembelian. Tambahkan peralatan selepas mendapati diri anda atau bayi sangat memerlukannya. Malah, kalau tiada keperluan untuknya, langsung ia tidak perlu dibeli. Lebih menjimatkan!

Baby cot

Katil bayi terdapat dalam pelbagai bentuk dan jenis. Biasanya baby cot diperbuat daripada kayu. Rekaannya dihasilkan mengikut peringkat umur bayi.

Baby cot biasanya sesuai untuk bayi selepas lahir sehingga umurnya enam bulan. Katil seperti ini tidak lagi selamat selepas bayi sudah pandai merangkak.

Walau bagaimanapun, jika berkeinginan mengasingkan bayi semasa dia tidur, anda disarankan membeli katil bayi yang boleh digunakan sehingga bayi berumur dua tahun agar lebih jimat.

Baby bouncer (kerusi goyang bayi)

Bayi yang baru lahir tidak digalakkan untuk digoyang atau dihenjut kerana perbuatan ini boleh menggegarkan otak dan boleh menyebabkannya tercedera tanpa anda sedari.

Adalah lebih baik jika anda hanya membaringkan bayi yang baru lahir di atas tilam bayi sahaja. Tangguh dahulu pembelian baby bouncer. Apabila anak sudah besar sedikit, barulah anda boleh menggunakannya. Namun, tidak digalakkan untuk menghenjut atau menggoyangkannya terlalu kuat ya.

Stroller

Dalam kebanyakan barang keperluan bayi, stroller merupakan antara yang mahal harganya. Harga kereta sorong bayi bergantung kepada rekaan dan jenama. Lebih canggih rekaan, lebih tinggi harganya.

Dapat dilihat kebanyakan ibu bapa gemar membeli stroller sejak bayi belum lahir lagi. Bayi yang baru lahir, sebaik-baik didukung agar dia merasai kehangatan tubuh ibu atau bapa dan dapat mendengar denyutan jantung anda. Oleh yang demikian, dia berasa lebih selamat.

Setelah bayi bertambah umur, barulah anda membelinya. Itu pun jika anda kerap keluar bersiar-siar atau membeli belah.

Buaian bayi

Sesetengah ibu bapa gemar menggunakan buaian untuk menidurkan bayi. Hal ini kerana ada anggapan bahawa buaian sangat membantu bayi untuk tidur.

Sebenarnya, penggunaan buaian bayi tidak dibenarkan kerana terdapat banyak kes kemalangan yang berlaku akibat penggunaannya. Antaranya ialah bayi jatuh dari buaian.

Kerusi makan bayi

Kerusi makan bayi hanya berguna semasa waktu makan. Bayi anda baru laihir! Dia hanya akan menggunakan pada usia enam bulan dan ke atas.

Playpen

Kelengkapan ini hanya akan berguna apabila bayi sudah pandai bermain. Anda boleh beli playpen selepas bayi mula belajar merangkak. Semasa dia bermain, letakkan dia di dalam playpen agar dia tidak sewenang-wenangnya memasukkan barang-barang terlarang ke dalam mulut semasa mengutipnya di atas permukaan lantai.

Walker

Walker dipercayai boleh membantu bayi untuk belajar berjalan. Akan tetapi, sekiranya bayi diletakkan di dalam walker terlalu awal, bayi akan cenderung untuk melangkaui proses pertumbuhan semula jadinya seperti merangkak dan bertatih.

Malah, penggunaan walker tidak digalakkan kerana boleh mengundang bahaya kepada bayi jika tidak dipantau oleh orang dewasa.

 

Published by
Intan Jastina