Kadangkala ada segelintir ibu ayah secara tidak sengaja dalam melakukan kesilapan dalam mendidik anak yang sudah tentunya mahu memberikan yang terbaik buat anak. Sehinggakan menjadi ‘kemarahan’ sebagai antara senjata untuk mendidik anak. Memang benar ada anak-anak lambat membaca, suka bermain daripada membaca dan suka buat perangai walaupun sudah usia enam tahun. Namun hakikatnya anak itu bukan robot yang dilahirkan untuk mengikut apa yang anda inginkan.
Bersesuaian dengan perkongsian Encik Hairul Hissam mengenai tip mendidik anak yang dapat membantu kita sama-sama membaiki diri dan muhasabah diri dalam mendidik anak-anak.
Tentunya anda tidak mahu anak anda membesar dengan emosi terganggu. Pernahkah anda terfikir, bagaimana anak anda pula memarahi anda apabila mereka besar nanti. Jangan salahkan mereka, kerana andalah yang mengajar mereka. Andalah yang menjadikan emosi mereka mudah terganggu dan menjadi seorang pemarah.
Sebenarnya memori anak anda semasa kecil amat kuat. Disinilah mereka mengingati dan belajar daripada apa yang mereka lihat dan dengar. Pada ketika inilah mereka mencuba sesuatu yang baru. Pada ketika inilah mereka membentuk jati diri mereka. Oleh itu anda perlu menunjukkan nilai-nilai murni yang akan membentuk sikap positif dalam diri mereka.
1. Sebelum memarahi anak anda. Fikirkan dulu. Adakah anda suka dimarahi sebegitu oleh emak anda atau orang lain. Adakah anda mahukan anak anda memarahi anda pula seperti itu suatu hari nanti. Bagaimana perasaan anda jika dimarahi sebegitu pula. Apa jua salah anda, saya pasti anda tidak suka dimarahi sebegitu.
2. Lebih banyak memberi kesedaran pada anak anda daripada memarahi. Ia memang tidak mudah. Namun ia sangat membantu mereka berubah. Anak anda sebenarnya dalam proses pembelajaran. Fikirkanlah cara lain membuat anak anda lebih memahami daripada asyik memarahi mereka.
3. Fahami, anda bukan melahirkan seorang robot yang mengikut apa sahaja arahan anda. Anda melahirkan seorang manusia yang mempunyai emosi dan keinginan. Cuba fahami emosi dan keinginan mereka. Cuba bawakan keinginan mereka pada sesuatu yang anda mahukan.
4. Didik diri anda sendiri untuk menunjukkan rasa sayang pada anak kecil melalui suara, muka dan tindakan. Anda perlu tunjukkan, barulah mereka mengetahui anda menyayangi mereka. Tidak guna jika perasaan sayang hanya di dalam hati sahaja. Tiada gunanya.
5. Elakkan mengeluarkan kata-kata negatif pada anak anda. Elakkan dari mengutuk atau menjatuhkan maruah anak anda didepan orang lain. Adakah anda suka dikutuk di depan orang lain. Begitu juga dengan anak anda. Tiada siapa yang suka dikutuk di depan orang lain walaupun mereka masih kecil.
6 Anda perlu memandu anak anda semasa menonton TV. Anda perlu memberitahu mereka perkara yang salah dan betul di dalam TV. Tahukah anda, anak-anak anda mudah mengikut apa yang mereka lihat. TV banyak membentuk keinginan dalam diri anak anda. Dan mereka suka mencuba apa yang mereka lihat di kaca TV.
7. Banyakkan membaca Al-quran. Ayat al Quran mampu melembutkan hati anak-anak anda. Manjadikan mereka lebih mudah mendengar kata. Tahukah anda, hiburan di kaca TV atau radio banyak menyebabkan hati anak-anak menjadi lebih keras dan sukar mendengar kata.
Salah satu tanggungjawab yang sering diabaikan oleh ibu-bapa ialah memenuhi keperluan emosi anak-anak. Keperluan ini sangat penting membentuk jati diri anak anda. Belajarlah mula menghargai dan menghormati anak anda. InsyaAllah mereka akan mula menghargai dan menghormati anda. Kerana mereka belajar dari anda.
Mereka seperti anda juga, melalui zaman bayi, melalui zaman kanak-kanak, melalui zaman remaja dan akan melalui zaman dewasa. Sama seperti anda. Fikirkanlah. Semoga tips dalam mendidik anak ini membantu anda.
Islam membenarkan merotan dalam mendidik anak. Kerana anak-anak perlukan sedikit kesakitan untuk mereka insaf dan tidak mengulangi perkara yang tidak baik. Namun merotan adalah jalan terakhir selepas menasihati berulang kali dan selepas memberi amaran. Dan merotan hanya selepas anak berumur lebih 10 tahun. Dan merotan pada bahagian betis atau bahagian bawah lutut sahaja. TIDAK boleh merotan pada bahagian badan atau muka. Dan tidak boleh terlalu kuat. Dan semasa mengangkat rotan tidak boleh nampak ketiak (maksudnya tidak boleh angkat tinggi). Dan selepas merotan perlu mengingatkan anak anda kenapa mereka dirotan.
Sumber: hairul.com