8 Tip Rawat Batuk Dan Selesema Cara Semula Jadi. Anda Kena Cuba!

Share

Ada segelintir ibu bapa seboleh mungkin cuba untuk tidak memberi anak ubat-ubatan dalam usaha memberi rawatan kepada sakit ringan seperti batuk dan selesema.

Jadi, apabila anak mula menunjukkan tanda-tanda awal mahu batuk mahupun selesema, anda boleh mencuba panduan ini agar sakit itu tidak berlarutan.

Anda perlu tahu bahawa batuk dan selesema yang dialami oleh si kecil perlu segera dirawat dengan cara yang betul sebelum menjadi semakin serius. Dibimbangi boleh menyebabkan masalah jangkitan paru-paru yang serius seperti bronchitis, pneumonia atau asma pula.

Wap

Lakukan langkah ini dengan merebus air sehingga mendidih. Kemudian, tuangkan air panas ini ke dalam baldi kecil. Untuk melakukan pengewapan, anda perlu riba anak dan halakan mukanya ke permukaan wap.

Cara ini membantu mencairkan kahak. Ia berupaya melonggarkan mukus di dalam paru-paru dan hidung yang menjadi punca hidung anak tersumbat sehingga menyukarkannya bernafas.

Lakukan selama 15 minit. Setelah selesai, sedut cairan hingus dan kahak yang keluar dengan menggunakan penyedut hingus.

Ada baiknya juga jika anda letakkan minyak bawang putih atau bawang putih yang diketuk ke dalam air panas tersebut sebelum melakukan wap. Hal ini kerana bawang putih adalah antibiotik semula jadi yang dapat membantu membunuh bakteria penyebab batuk dan selesema.

Mandi sauna

Sekiranya anda mempunyai pemanas di dalam bilik air, gunakannya untuk melakukan kaedah wap. Caranya ialah dengan buka pancuran air panas di dalam bilik air pada kadar kepanasan paling maksimum. Kemudian, tutup pintu bilik air selama lebih kurang lima hingga 10 minit bagi membolehkan keseluruhan bilik air dipenuhi wap panas.

Selepas itu, bawa anak masuk ke dalam bilik air. Apabila kahak dan hingus anak mulai cair dan keluar melalui hidung, sedut ia menggunakan penyedut hingus. Jika anak anda demam pada masa yang sama, cara ini tidak digalakkan. Dibimbangi suhu badan akan menjadi semakin tinggi.

Semburan hidung

Saline Nasal Spray atau semburan saline membantu mengatasi masalah hidung tersumbat. Semburan ini boleh didapati di mana-mana farmasi dan ia adalah semburan yang berasaskan bahan-bahan 100% semula jadi. Bahan utamanya terdiri daripada air laut semula jadi yang telah diproses terlebih dahulu.

Stoking bawang putih

Setiap kali selepas mandi, sapukan minyak bawang putih di bahagian tapak kaki, dada, belakang badan dan batang hidung anak. Setelah itu, urut perlahan-lahan sehingga minyak itu meresap ke dalam kulit.

Pada waktu malam, sebelum tidur, lakukan perkara yang sama dan sarungkan stoking selepas sapuan minyak tersebut.

Bawang merah

Bawang merah berfungsi menyerap toksin. Untuk itu, anda bolehlah mengipas kulit bawang besar, hiris dan tumbuk sedikit bagi mengeluarkan jusnya. Kemudian letakkan di dalam piring kecil. Setelah itu, tempatkan piring ini berdekatan dengan tempat tidur anak.

Sup tulang ayam

Sup ini memang sesuai dihidangkan kepada sesiapa sahaja yang kurang sihat. Untuk membuat sup ini, lebihkan bawang putih dan halia bagi menjadikan sup ini lebih berkhasiat.

Sup tulang ayam adalah menu yang bersifat antibakteria, antivirus, anti inflammatori dan ia dapat menguatkan sistem imun anak yang tidak sihat.

Minum banyak air

Bagi anak yang berumur lebih enam bulan, anda perlu galakkan dia minum air kosong secukupnya. Hal ini dapat mengelakkan masalah dehidrasi. Jika di bawah umur enam bulan pula, susukan dia dengan susu ibu bagi yang menyusu susu ibu dan sebaliknya jika minum susu formula.

Tinggikan kepala semasa tidur

Semasa anak tidur letakkan dua biji bantal di kepalanya. Cara ini membantu anak bernafas dengan lebih lancar dan selesa.

 

Published by
Intan Jastina