Aafiyah Mencecah Setahun Lebih, Siti Hasrat Nak Hamil Lagi. Tetap Idam Anak Lelaki!

Share

Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza, memberi tempoh sehingga tahun depan untuk mendapatkan seorang lagi cahaya mata seperti pernah disuarakannya sebelum ini.

Kata Siti, tempoh berkenaan dilihat amat bersesuaian bagi menambah anggota keluarga kerana dia mahu melihat puteri sulungnya, Siti Aafiyah, membesar terlebih dulu.

Jika diizinkan Tuhan, penyanyi Segala Perasaan itu mengaku begitu mengidamkan anak lelaki.

“Perancangan untuk mendapatkan cahaya mata masih ada. Apabila usia Aafiyah sudah mencecah setahun lebih nanti, Siti akan cuba untuk hamil lagi.

“Usia Siti sendiri sudah memasuki 40 tahun pada Januari depan dan kalau boleh, Siti mahu menimang seorang lagi anak sebelum umur melangkau angka 43. Maklum sajalah, sewaktu mengandung kali pertama dulu pun Siti berdepan risiko, iaitu mengalami pendarahan.

“Kalau diizinkan, Siti memang teringin untuk dapat sepasang cahaya mata, perempuan dan lelaki. Begitupun, kalau dapat perempuan juga, Siti pastinya terima dengan penuh syukur. Itukan rezeki,” katanya.

Ditanya apakah reaksi Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa mengenai hasratnya untuk kembali hamil, penyanyi Comel Pipi Merah ini memberitahu, suaminya tidak pernah membantah keinginannya itu.

“Kalau bukan kerana Siti melahirkan Aafiyah secara pembedahan, mungkin dia sudah pun meminta Siti hamil cepat-cepat,” ujar Siti malu-malu.

Mengulas perkembangan terkini puteri kesayangannya itu, Siti memberitahu, Aafiyah kini sudah pandai berinteraksi menggunakan bahasa tubuh.

“Kalau mahu menyusu, dia akan menunjukkan isyarat dengan menggerakkan badan, seolah-olah tidak sabar. Dia juga sudah pandai memegang barang.

“Melihat keadaannya sekarang, Siti rasa sedih dan sayu pula setiap kali hendak meninggalkannya untuk keluar bekerja, terutama apabila melihat dia melambai-lambaikan tangan,” cerita Siti yang mendapatkan khidmat jururawat bertauliah sebagai penjaga anaknya itu.

Sumber: Berita Harian & ig ctdk

Published by
Wan Amy