Berpantang maut sebelum ajal! Itu pengalaman yang sukar dilupakan oleh seorang isteri dan juga ibu kepada anak 1 tahun 5 bulan apabila terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa mereka sekeluarga di lebuhraya KL-Karak.
Menerusi perkongsian Puan Nur Diyana, tiada kata yang boleh diungkapkan selain mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana masih memberi peluang kedua buat mereka sekeluarga.
Allah bagi peluang kedua buat kami
Saya mungkin akan kehilangan anak dan suami malah nyawa saya sendiri semalam. Syukur, Maha Baiknya Allah, kami bertiga terselamat.
Semalaman saya muhasabah diri. Terkebil-kebil sehingga lewat malam. Badan sakit sana sini cuma mungkin masih terkejut, saya tidak mampu tidur. Satu satu ingatan datang.
Saya bukan isteri dan ibu yang baik. Bahkan masih belum mampu berbakti sebaiknya pada ibu ayah dan adik beradik saya. Saya juga bukan kawan yang baik. Paling teruk, saya sedar saya bukan hamba yang taat, yang menjadi wajib bagi saya seperti solat dan aurat juga masih lompang, apatah lagi menghidupkan amalan-amalan lainnya.
Saya kira, “aku masih muda. Belum 30 pun…” jadi mestilah umur saya masih panjang sehinggalah saya sendiri berdepan dengan detik-detik yang mengingatkan saya kematian itu begitu hampir.
Misal kata ada bas mahupun lori treler meluncur laju di laluan tersebut semalam, ataupun suami merempuh penghadang jalan, pasti kami bertiga sudah menjadi sekujur tubuh yang sudah sejuk, dibalut kain kafan saat ini, menanti detik-detik untuk ditalkin dan disemadikan. Saya tidak mungkin lagi mampu mengarang panjang tulisan ini.
Pemandangan di wad kecemasan hospital semalam benar benar menginsafkan saya.
Beberapa minit sebelum ambulans yang membawa saya dan anak tiba, ada kes kemalangan juga. Ketika kami sampai, darah mangsa membasahi lantai hospital dan akhirnya saya sendiri menjadi saksi sekujur tubuh yang parah tadi dibawa keluar ke rumah mayat menjelang waktu senja. Kalau tidak kerana Allah SWT mengizinkan peluang bernafas buat kami, tentu saja yang terbaring di troli itu adalah salah seorang dari kami atau boleh jadi kami bertiga.
Saya dan anak terpelanting dalam kereta dan menghempap suami, dalam keadaan terkejut, suami terus tanya “ayang okay?” dan saya hanya mampu mengangguk laju. Sepertinya bingung. Ditolaknya saya dan anak keluar dari tingkap sedangkan dia sendiri masih berusaha keluar dari tempat duduk pemandu.
Beberapa minit selepas kejadiaan, saya mula rasa nafas menjadi pendek, seperti sesak nafas. Kawasan perut dan dada mula sakit, suami minta supaya kami dibawa pergi dengan ambulans. Syukurlah, semuanya baik baik saja. Saya dan suami masing-masing cuma mengalami luka dan cedera ringan di beberapa bahagian otot, sepertinya terkehel.
Apa yang saya ingat, saya dengar ada suara dari orang ramai yang turut membantu kami “tolonggg ada baby, ada babyyyy”. Mereka segera bantu kami keluar dari kereta tanpa bimbang kereta kami mungkin akan meletup. Ada insan berhati mulia yang menarik saya dan anak untuk duduk di kereta mereka sedang langit masih renyai. Bimbang katanya anak saya terkena hujan. Disuruhnya saya bertenang. Tapi sayang, “Kereta apa? Bagaimana rupa orangnya ?”..Saya gagal ingat dengan jelas.
Cuma kalau sampai tulisan ini kepada Tuan Puan yang membantu kami sekeluarga semalam, cuma Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi baik kalian kepada kami.
Diharapkan dengan ujian yang sedikit ini, moga moga ia menjadi satu permulaan baru untuk kami meniti usia yang tersisa. Menjadi suami dan isteri yang sentiasa menghargai kehadiran satu sama lain, menjadi ibu bapa yang penyabar, menjadi anak yang berbakti, menjadi kawan kawan yang menyenangkan dan yang paling utama menjadi hamba yang patuh pada Illahi.
Entah esok atau lusa, tidak ada lagi peluang untuk saya bernafas lagi, mungkin sudah sampai masa untuk saya benar benar pergi tak kembali 😔
Abaikan carseat dan tali pinggang
Sementara itu, diruangan komen Diyana turut berkongsi mengenai perkembangan anaknya.
Bagi yang bertanya tentang anak saya Maryam, alhamdulillah Maryam baik-baik saja. Waktu kejadian, Maryam baru selesai menyusu. Khilaf saya, saya tak letakkan Maryam di car seat dan saya juga tak pakai tali pinggang. Pada percaturan saya, “kan lagi senang nak menyusu”.
Selang beberapa minit selesai menyusu, kejadian ini berlaku…saya cuma sempat peluk erat kepala dan badan anak dan membongkokkan badan saya menutupi anak, pegang anak sekuatnya kerana bimbang dia terpelanting ke jalan, sebelum saya bersama anak terpelanting dan terguling dari tempat duduk kami. Saya akui ini salah saya, saya cuai, mengabaikan car seat dan tali pinggang…
Moga ibu bapa lain sama-sama ambil iktibar dari apa yang terjadi pada saya. Biarlah anak saya menangis di car seat lepas ni dari saya menangis kalau apa-apa terjadi pada dia.
Saya sangat yakin kalau saya tak peluk erat anak semalam, sudah tentu dia yang paling teruk terpelanting, terhantuk malah mungkin terhempap dengan badan saya sendiri atau barang-barang lain dalam kereta 😔😔😔
Lebuhraya KL-Karak,
KM 71.5 Arah Barat.
16 Mei, 2:07 petang.
Kredit: Nur Diyana
Ketahui fungsi carseat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!