Sihat semasa hamil amat penting. Bagaimana jika ibu berpenyakit kritikal hamil tanpa dirancang, apakah tindakan yang perlu dilakukan? Jangan panik, ikuti penerangan doktor ini.

Kehamilan ialah saat di mana berkembangnya janin di dalam rahim ibu. Kesihatan ibu perlu stabil kerana tubuh ibu perlu bekerja lebih daripada biasa untuk memenuhi keperluan perkembangan bayi. Bagaimana jika hamil dalam keadaan ibu yang sedang bertarung nyawa dengan penyakit kritikal atau dalam siri rawatan perubatan yang ketat?

Anak dan kehamilan adalah anugerah Tuhan istimewa kepada seorang wanita. Kebanyakan wanita yang sudah berkahwin semestinya mendambakan cahaya mata untuk menyeri rumahtangga mereka. Keinginan ini lahir secara semula jadi termasuk golongan wanita yang mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti kanser, masalah jantung yang serius seperti Eisenmenger Syndrome atau SLE.

Menurut Dr Mastura Mokhtar, Pakar Perbidanan & Sakit Puan, KPJ Selangor Specialist mengandung ketika dalam keadaan kesihatan tidak stabil atau masih dalam rawatan (kerana penyakit dan rawatan) kemungkinan besar boleh menimbulkan pelbagai komplikasi kepada ibu dan janin.

DAPATKAN NASIHAT & KAUNSELING

Sebaik-baiknya wanita tersebut mendapatkan nasihat atau kaunseling dari doktor yang merawat beliau dan pakar sakit puan apabila beliau merancang untuk hamil. Ini bermaksud kehamilan mesti dirancang ketika penyakitnya stabil atau selepas habis tempoh rawatan. Biasanya wanita ini akan dirujuk kepada klinik pra-kehamilan atau pre-pregnancy klinik di klinik-klinik kerajaan, hospital kerajaan atau swasta.

Kadangkala wanita tersebut dinasihatkan untuk menggunakan cara perancangan keluarga yang sesuai untuk mengelakkan kehamilan tidak terancang (unplanned pregnancy) semasa penyakit masih aktif atau dalam rawatan. Tujuannya adalah untuk mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi dalam kandungan contohnya sekiranya wanita tersebut masih mengambil ubat kemoterapi atau radioterapi, rawatan ini boleh menyumbang risiko kanser atau kecacatan kepada janin. Risiko ini sangat tinggi semasa usia kandungan 3 bulan pertama iaitu semasa pembentukan organ dalaman janin.

Setelah rawatan selesai atau penyakit stabil, barulah pesakit boleh mencuba untuk hamil. Semasa mengandung, mereka perlu pemantauan yang lebih ketat selalunya di klinik-klinik pakar dan klinik kesihatan. Sekiranya wanita tersebut mengandung semasa masih di dalam rawatan atau semasa penyakit sedang aktif, beliau hendaklah memberitahu doktor secepat mungkin untuk mendapatkan nasihat.

PERLU JELASKAN KEPADA DOKTOR YANG MERAWAT

Hal ini penting kerana doktor yang merawat lebih mengetahui keadaan dan tahap kesihatan mereka dan boleh memberikan rundingan tepat.

Kehamilan yang terjadi bagi pesakit penyakit berkenaan perlukan perhatian khusus kerana ubat-ubatan yang diambil boleh memudaratkan bayi yang di kandung. Antara penyakit kritikal ialah seperti;

  1. Kanser yang dalam rawatan kemoterapi atau radioterapi.
  2. Tuberkulosis atau  tibi yang sedang menerima siri rawatan dan dos ubat-ubatan tertentu,
  3. Penyakit yang berkaitan dengan auto imun seperti systemic lupus erythematosus (SLE) dan tiroid.
  4. Masalah jantung yang perlu mengambil warfarin (ubat mencairkan darah).

#1 Ibu Penghidap kanser

Bagi ibu yang sedang menghidap kanser seperti kanser payudara, lymphoma- rawatan kemoterapi melibatkan ubat-ubatan kemoterapi atau hormon bagi mengelakkan sel-sel kanser merebak.  Rundingan dan nasihat dari pakar onkologi dan sakit puan akan diberikan kepada pesakit.

Sekiranya kehamilan masih pada trimester pertama, kandungan mungkin dinasihatkan untuk digugurkan bagi memastikan ibu mendapat rawatan yang optimum dan mengelakkan risiko kecacatan janin.

Sekiranya ibu enggan menggugurkan kandungan, beliau mungkin menghadapi risiko penyakit yang boleh semakin teruk atau kanser yang merebak yang akhirnya menyebabkan kesihatan beliau merosot dan boleh menyebabkan keguguran spontan atau kelahiran tidak cukup bulan.

Manakala bagi pesakit yang hamil melepasi trimester kedua semasa diagnosis, kandungan biasanya dinasihatkan untuk diteruskan dan rawatan akan diteruskan semula selepas kelahiran kecuali penyakitnya sudah terlalu kritikal atau tidak stabil . Proses kelahiran pula biasanya akan dilakukan pada minggu ke 32 atau 34 menerusi pembedahan caesarean.

#2 Ibu Penghidap Tuberkulosis (tibi)

Bagi pesakit tuberkulosis dan sedang menjalani dos pengambilan ubat-ubatan yang ketat, doktor biasanya akan menyambung rawatan kerana risiko mengambil ubat sangat kecil. Ini kerana di dalam ilmu perubatan, apabila kebaikan rawatan melebihi kemudaratan, maka rawatan perubatan boleh diteruskan. Manakala sekiranya ianya lebih memudaratkan pesakit dan kandungannya, ubat-ubatan akan dihentikan dan disambung semula selepas kelahiran.          

#3 Ibu Penghidap Penyakit Berkaitan Autoimun

Penyakit yang berkaitan dengan autoimun seperti systemic lupus erythematosus (SLE) , kehamilan semasa penyakit masih aktif meningkatkan risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi meninggal di dalam rahim  dan bayi mati ketika lahir (stillbirth).

Ubat-ubatan tertentu yang mengubati penyakit autoimun membahayakan janin. Gangguan tiroid yang tidak terkendali, seperti tiroid yang terlalu aktif atau kurang aktif dapat menyebabkan masalah bagi janin, seperti gagal jantung, berat badan rendah semasa lahir dan kecacatan kongenital.

Ada juga keadaan di mana penyakit-penyakit ini hanya dikesan ketika dalam tempoh kehamilan. Walau dalam apa keadaan sekali pun, ibu perlulah mendapatkan konsultasi doktor secepat mungkin setelah menyedari diri hamil. Jangan menghentikan pengambilan dos ubat-ubatan tanpa berbincang dan mendapatkan kelulusan daripada doktor yang merawat.

Tinggalkan Komen