Bercakap mengenai bayi baru lahir, sudah tentu aspek tumbesaran dan perkembangan menjadi fokus utama, bukan? Ayuh mommy daddy, kita fahami terlebih dahulu perkembangan bayi mengikut bulan, barulah tak susah hati jika anak masih belum berjalan.
Bayi baru lahir
Dari bayi kecil tidak berdaya hingga menjadi seorang anak kecil yang aktif, ia hanyalah memerlukan tempoh masa 12 bulan untuk melalui fasa transformasi luar biasa ini.
12 bulan terasa lama, bukan?
Tetapi percayalah, tempoh 365 hari itu sangat singkat. Apatah lagi saat melibat bayi baru lahir anda membesar dan mengalami perubahan dan perkembangan menarik setiap hari.
Dalam masa sama sebagai ibu bapa baharu, pastinya anda dan pasangan tertanya-tanya apakah yang boleh dijangkakan dalam perihal perkembangan si manja dan bagaimana untuk menentukan sama ada mereka berada tepat dilandasan atau sebaliknya.
Terdapat fasa yang luas dan berbeza bagi setiap anak untuk mencapai tahap perkembangan tertentu.
Ini kerana setiap anak akan membesar mengikut tempoh masa dan acuan mereka yang tersendiri. Bahkan, ia takkan sama seperti adik-beradik mereka yang lain.
Umumnya, titik perkembangan (milestones) adalah pusat pemeriksaan melibatkan tingkah laku atau fizikal dalam perkembangan anak semasa membesar.
Manakala keupayaan (ability) adalah kemahiran tambahan yang harus dikembangkan oleh anak. Jom kita tengok perkembangan bayi mengikut bulan bagi tahun pertama kehidupan mereka.
Perkembangan bayi mengikut bulan: 0 hingga 3 bulan
Pada peringkat perkembangan pertama ini, tubuh dan otak bayi baru lahir akan belajar untuk hidup di dunia luar.
Si manja mungkin akan mula untuk:
Perkembangan fizikal bayi baru lahir
- Semasa meniarap (tummy time), si manja akan menolak menggunakan lengan
- Semasa meniarap, anak akan mula mengangkat dan menahan kepala ke atas
- Mampu menggerakkan tangan daripada penumbuk (fist) kepada terbuka
- Boleh membawa tangan ke mulut
- Dapat menggerakkan dan mengangkat kaki tangan daripada permukaan apabila teruja
Perkembangan kognitif
- Mengecam payudara atau botol
- Mengikut pergerakan dengan memusingkan kepala
- Terkejut dengan suara yang kuat
Perkembangan emosi
- Bertenang dan tersenyum sebagai tindak balas terhadap suara atau bunyi
- Memusingkan kepala ke arah suara atau bunyi
- Menunjukkan minat pada wajah
- Membuat hubungan mata (eye contact)
- Menangis dengan cara berbeza untuk keperluan berlainan. Contohnya, tangisan lapar atau mengantuk
Perkembangan deria
- Semasa berbaring, bayi baru lahir anda akan cuba mencapai mainan yang dipegang pada kedudukan atas dada mereka
- Semasa berbaring, secara visual mereka akan cuba mengesan mainan bergerak dari satu arah ke arah yang lain
- Ketika berbaring, kepala akan fokus memerhatikan wajah atau mainan
- Boleh berasa tenang apabila dibuai, disentuh atau dengan bunyi perlahan
- Gemar menikmati pelbagai pergerakan
Perkembangan bayi mengikut bulan: 4 hingga 6 bulan
Pada tempoh ini, si manja akan mula belajar dengan lebih banyak dan memanipulasi dunia di sekelilingnya.
Bayi anda akan mula menguasai penggunaan tangan dan meneroka keupayaan suara mereka.
Dalam tempoh 4 hingga 6 bulan ini, anak mungkin akan:
- Bergolek ke depan dan belakang atau sebaliknya
- Babble atau berceloteh yang kedengaran seperti bunyi percakapan sebenar
Ketawa - Menjangkau dan mengambil objek, memanipulasi barang permainan dan item lain dengan tangan
- Duduk dengan sokongan bersama kawalan kepala yang hebat
Perkembangan bayi mengikut bulan: 7 hingga 12 bulan
Pada tempoh kedua bagi tahun pertama ini, si kecil akan menjadi anak yang semakin aktif.
7 hingga 9 bulan
Selepas mempelajari bahawa mereka boleh menuju ke sesuatu tempat dengan bergolek, kemudian anak akan mula belajar pula cara bergerak ke depan dan belakang.
Dalam fasa ini, si manja boleh:
- Mula merangkak. Ini termasuklah scooting – melakukan pergerakan menyeret punggung atau army crawling dan merangkak biasa dengan pergerakan tangan serta kaki. Ada juga bayi yang mungkin tidak melalui fasa merangkak, sebalik terus memulakan langkah pertama daripada scooting
- Duduk tanpa sokongan
- Bertindak balas terhadap perkataan biasa yang didengari seperti namanya. Si manja juga akan memberi respons berhenti apabila mendengar perkataan “Tidak” dan memandang kepada anda. Mereka akan mula menyebut ‘Mama’ dan ‘Dada’
- Gemar dengan aktiviti bertepuk tangan atau permainan seperti peek-a-boo
- Mula belajar untuk berdiri
Perkembangan bayi mengikut bulan: 10 hingga 12 bulan
Tahap perkembangan terakhir bagi tahun pertama bayi ini dianggap sebagai fasa peralihan.
Pada tempoh ini, mereka akan belajar untuk:
- Mula menyuap diri sendiri. Si manja pada fasa perkembangan ini akan mula menguasai pergerakan pincer grasp – di mana mereka boleh memegang benda kecil seperti biskut di antara ibu jari dan jari telunjuk
- Berjalan sekeliling rumah menggunakan kaki dengan memegang perabot
- Melafazkan 1 atau 2 perkataan. ‘Mama’ dan ‘Dada’ menjadi panggilan khusus untuk ibu bapa. Ada anak akan mula mengucapkan 3 patah perkataan menjelang ulang tahun pertama
- Menunjukkan objek yang diingini untuk mendapatkan perhatian anda
- Mula meniru perbuatan anda atau menggunakan sesuatu objek dengan betul seperti berpura-pura bercakap di telefon
- Mula melakukan langkah pertama. Biasanya sekitar usia setahun, tetapi situasi boleh berbeza bergantung kepada anak itu sendiri
perkembangan bayi mengikut bulan
Pemeriksaan pakar pediatrik
Apa yang perlu dilakukan jika berasakan anak tidak mencapai tahap pertumbuhan atau perkembangan sepatutnya?
Pertama sekali, percayakan naluri anda. Sekiranya benar-benar rasa ada sesuatu yang tidak kena, berbincanglah dengan doktor. Pengesanan awal adalah yang terbaik.
Kredit: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI