Bila ada anak kecil, ibu ayah mesti pastikan rumah adalah tempat paling selamat untuk mereka. Bukan apa, anak-anak kecil ni mereka ada satu sifat ingin tahu tetapi tak sedar itu boleh membahayakannya.
Jadi segala gerak-geri anak, ibu bapa kena awasi. Sekali kita terleka, mungkin akan memberi penyesalan yang tak sudah. Kita tak tahu apa yang akan terjadi. Jadi pentingnya beringat dari awal.
Janganlah bila dah berlaku sesuatu pada anak, baru kita tersedar. Biar kita bertegas dari awal supaya anak pun lebih memahami demi keselamatan bersama.
Berikut antara beberapa peringatan yang perlu ibu bapa peka dan biasanya menjadi minat anak kecil.
1. Suis elektrik
Bila sudah pandai merangkak, si kecil memang gemar mencuba menekan suis elektrik yang ada di dinding rumah dan pada kedudukan rendah.
2. Beranda rumah (jika tinggal di tingkat tinggi apartmen)
Jika anda tinggal tingkat tinggi di rumah apartmen, sila ketatkan keselamatan anak. Jangan biarkan mereka keluar secara bersendirian apatah lagi kalau mereka menggunakan kerusi sebagai alat memanjat.
3. Kawasan dapur
Si kecil memang suka nak “membantu” ibu memasak di dapur. Semua barangan di kawasan ini sangat menarik perhatiannya.
4. Kabinet dapur
Keinginannya yang tinggi untuk melihat apa ada dalam kabinet dapur ibu berisiko untuk menyebabkan tangannya tersepit!
5. Plastik
Anak kecil memang seronok kalau dapat main plastik tapi tahukah anda ia boleh menyebabkan mereka lemas akibat cubaan memakai plastik ke kepala.
6. Alat mainan
Kalau anak anda masih kecil elakkan daripada bagi dia main mainan yang ada komponen kecil. Si kecil yang berusia bawah 4 tahun akan cuba masukkan objek itu ke dalam mulut atau ke rongga terbuka seperti hidung.
7. Barangan beracun
Simpan dengan selamat segala barangan rumah yang beracun seperti pencuci pinggan, pakaian, pewangi pakaian, lantai dan lain-lain. Ia boleh meninggalkan kesan buruk pada anak jika terdedah padanya.
8. Rak buku
Rak buku atau apa sahaja yang boleh dipanjat memang menarik perhatian si manja apatah lagi kalau mereka dalam fasa ingin cuba buat semua perkara. Awasi keselamatan anak semasa memanjat rak, bimbang rak terjatuh menghempap mereka.
9. Bilik air
Jangan biarkan pintu bilik air tidak berkunci. Si kecil boleh masuk secara bersendirian dan berisiko lemas dalam besen atau baldi yang penuh air. Jika anak mandi, jangan sesekali tinggalkan dia bersendirian. Lantai yang licin boleh menyebabkan mereka terjatuh.
10. Tangga
Kalau dah pandai merangkak dan berjalan, tangga memang jadi lokasi wajib dijelajah. Jangan halang tapi sentiasa ada bersama si manja semasa mereka sedang menaiki tangga.
11. Laci almari
Bila tengok orang dewasa buka dan tutup laci, si kecil pun nak mencuba tetapi oleh kerana masih belum pandai mengawal kemungkinan jari comelnya boleh tersepit.
12. Sofa
Memanjat sofa adalah aktiviti yang menyeronokkan bagi anak kecil. Tetapi ia berisiko menyebabkan mereka mudah terjatuh terutama jika dilakukan oleh bayi.
13. Oven
Rasa ingin tahu yang tinggi apa akan terjadi jika dia menyentuh oven yang sedang digunakan berisiko menyebabkan tangan anak melecur.
14. Garfu
Memang bagus kalau si kecil boleh belajar makan sendiri tetapi keinginannya untuk memegang garfu sendiri mungkin juga boleh mencederakan dirinya sendiri atau orang lain yang duduk berdekatan.
15. Lampu hiasan
Jangan sesekali tinggalkan anak anda sendirian dengan lampu hiasan meja yang terpasang. Mereka akan cuba menyentuh lampu yang sedang menyala.
Pendek kata kalau ada anak kecil, anda kena jadi lebih berjaga-jaga terhadap semua barangan yang ada di sekeliling rumah.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)