Penggunaan pendingin hawa atau aircond tak boleh dielakkan terutamanya ketika dalam kenderaan atau di rumah. Tambahan lagi suhu persekitaran yang panas, memang tidak boleh dielakkan.
Tapi bagi mama papa yang mempunyai anak kecil khususnya yang berumur dua tahun ke bawah, sangat mustahak untuk memastikan udara persekitaran tidak mengandungi hama dan habuk.
Lazimnya pendingin hawa yang tidak diselenggara dengan baik menjadi punca habuk dan hama berkumpul di dalam kediaman. Apabila ia dihidupkan, ia berterbangan dan boleh memasuki sistem pernafasan. Inilah puncanya si kecil selalu selesema berpanjangan.
Perkongsian Dr Ezairy Salleh , Pakar Telinga, Hidung & Tekak (ENT) ini boleh dijadikan panduan. Selesema pada bayi tidak boleh diambil mudah. Bayi 14 bulan sakit tekak dan demam hingga gegendang telinga koyak dan telinga bernanah.
HAMPIR SEBULAN TELINGA BERAIR, DEMAM, SELESEMA & BERHINGUS
Siang tadi semasa saya periksa seorang pesakit ini, dalam diam Tan Sri Profesor Amin datang dari belakang. Dia duk perhati saya bersihkan telinga seorang bayi ini.
Pesakit ini berumur satu tahun dua bulan. Sudah hampir sebulan telinganya berair.
Bermula dengan serangan sakit tekak dan demam. Kemudian selesema dan hidung berair yang susah nak berhenti. Pada masa sama telinga pun mulai keluar cecair.
TELINGA BERNANAH, RUPANYA GEGENDANG BOCOR
Hari ini ibu bapanya membawa beliau ke klinik kami di PPUM. Selepas saya periksa, saya keluarkan dan sedut semua nanah yang ada dalam telinganya, rupa-rupanya gegendang telinga beliau sudah bocor!
JANGKITAN TELINGA MUDAH BERLAKU PADA KANAK-KANAK
Keadaan ini boleh berlaku kepada mana-mana pesakit terutama pada usia kanak-kanak. Jangkitan ke telinga lebih mudah berlaku kepada anak-anak berbanding kita-kita yang dah ‘tua’ ini.
Saya berikan ubat titis antibiotik untuk diletak pada telinganya. InshaaAllah akan sembuh nanti.
MANDIKAN AIR SUAM WAKTU PAGI
Prof Amin sempat pesan kepada ibu pesakit ini, kalau boleh waktu pagi itu mandikanlah dengan air suam-suam. Supaya gejala selesema ini mudah terkawal. Suam bukan panas ya. Ini petua orang tua yang tak salah kalau nak amalkan.
HABUK & HAMA TERKUMPUL DALAM PENDINGIN HAWA ITU BAHAYA!
Penghawa dingin juga perlu berpada-pada untuk bayi dan kanak-kanak. Biasanya anak kita jadi selesema tak berhenti ini bukan sahaja sebab sejuknya aircond itu, tetapi juga sebab habuk dan hama yang terkumpul pada aircond tu melekat masuk pada hidung anak kita.
Semoga keluarga kita diberi kesihatan berpanjangan.
Sumber: Dr Ezairy Salleh
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI