Berperang nak beri anak makan ubat supaya cepat sembuh situasi yang biasa yang perlu ibubapa hadapi. Sampaikan ada anak meraung-raung macam kena dera semata-mata terpaksa makan ubat. Mungkin kita sebagai ibu bapa boleh ikuti perkongsian dari doktor tentang cara yang betul untuk pujuk anak makan ubat tanpa perlu berperang.
TIPS MEMBERIKAN ANAK UBAT.
Banyak tips yang dikongsikan untuk memudahkan para ibubapa memberikan ubat pada anak-anak mereka. Ada kalanya ibubapa terpaksa “berperang” dengan anak mereka.
Antara tips yang hendak saya kongsikan ialah:
1. Jangan memaksa anak. Jika dipaksa dalam keadaan anak tidak bersedia, ia menyebabkan anak akan meronta, memuntahkan semula atau berlari sekelilig rumah. Pujuk, beritahu kenapa mereka harus mengambil ubat tertentu dan berikan dengan penuh kasih sayang.
2. Berikan ubat yang perlu saja. Sebagai contoh jika anak agak sukar mengambil ubat, cuba minta nasihat doktor agar memberikan dua kesan sekali gus. Contoh ubat demam yang dapat mengurangkan rasa sakit. Ubat batuk yang dapat mengurangkan selsema. Ini memudahkan tugas ibubapa memberikan ubat untuk anak.
3. Berikan ubat dalam jumlah yang sedikit, demi sedikit dengan menggunakan syringe (picagari). Mungkin setiap kali berikan satu ml. Ambil sedikit masa untuk anak menghabiskan 5ml ubat.
4. Campurkan dengan madu. Bagi anak yang berusia 2 tahun ke atas, berikan ubat dan campurkan sedikit madu bagi membantu mengurangkan rasa pahit ubat yang bakal ditelan.
5. Berikan anak air yang mencukupi beberapa jam sebelum ubat diberikan. Anak yang mengalami dehidrasi selalunya lidah mereka lebih sensitif dan lebih mudah menolak ubat yang rasanya pahit.
6. Masukkan ubat dari tepi lidah supaya anak tidak mudah tercekik sepertimana kita memberikan ubat terus ke tengah lidah.
7. Ada beberapa ubat yang diformulasikan sebagai suppositories (ubat masuk punggung) terutamanya ubat demam. Boleh gunakan dengan meletakkan sedikit minyak bagi memudahkan masuk ke dalam punggung.
8. Tunjukkan kasih sayang ketika memberikan ubat pada anak, kerana pada masa itu anak-anak mahu rasa selamat, dilindungi dan disayangi. Memarahi anak bukan cara terbaik memujuk anak memakan ubat.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kenapa Kaki Bengkak Semasa Mengandung? Ini Penjelasan Dari Doktor!
Kaki bengkak semasa mengandung kerap berlaku ke atas ibu hamil. Ia adalah perkara normal yang disebabkan oleh perubahan hormon yang mendadak semasa mengandung.
Masalah bengkak kaki menyebabkan ramai ibu hamil berasa tidak selesa dan menyukarkan pergerakan harian mereka.
Bengkak kaki akan bermula dari buku lali, betis dan menular naik ke paras paha. Bagaimanapun jika bengkak ini berlarutan dan turut melibatkan seluruh tubuh badan maka ia perlu dirujuk kepada doktor kerana bimbang disebabkan penyakit lain.
Bagaimana terjadi kaki bengkak?
Menurut Dr Mardiana Kipli, Pakar Obstetrik & Ginekologi seperti dikongsi dalam The Malaysian Medical Gazzete situasi ini kebiasaannya terjadi selepas usia kandungan mencecah 20 minggu.
Waktu ini, janin yang membesar akan menekan salur ‘inferior vena cava’ (salur darah untuk membawa darah dari seluruh badan kembali ke jantung).
Ini menyebabkan perjalanan darah kurang lancar serta berkumpul pada kedua-dua belah kaki.
Perkara ini mengakibatkan perubahan tekanan di dalam salur pembuluh darah menyebabkan cecair badan akan tertapis keluar daripada salur darah dan berkumpul di celah-celah tisu badan.
Oleh itu, kedua-dua belah kaki akan mula membengkak dan selalunya ianya tidak menyebabkan kesakitan. Semakin banyak air tertapis keluar dari saluran darah, semakin besarlah bengkak pada kaki.
Tips kurangkan bengkak kedua-dua belah kaki
- Minum air yang mencukupi. Kebanyakan pesakit takut untuk minum air kerana beranggapan air yang banyak akan menyebabkan kaki lebih membengkak. Badan kita akan mengalami dehidrasi yang teruk kerana air di dalam salur darah sudahpun keluar. Dehidrasi dalam saluran darah akan menyebabkan darah menjadi lebih pekat dan pembekuan darah senang terjadi. Hal ini akan mengundang kepada masalah lain seperti deep vein thrombosis.
- Meninggikan kaki semasa baring. Letakkan bantal di bawah kaki supaya aras kaki menjadi lebih tinggi dari pada paras jantung. Tarikan graviti boleh mengurangkan pengumpulan air pada kaki. Amalkan pada waktu malam.
- Baring mengiring di sebelah kiri badan. Dengan mengamalkan posisi ini, janin tidak akan menekan salur inferior vena cava dan pengaliran darah ke jantung akan lebih lancar.
- Aktif bergerak. Anggapan bahawa kaki akan lebih membengkak jika banyak bergerak adalah tidak benar. Pergerakan aktif adalah lebih baik untuk ibu hamil kerana pengaliran darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, ia boleh mengelakkan pembentukan darah beku pada salur darah kaki.
- Compression stockings. Stokin ini tidak sama seperti stokin harian yang biasa kita guna. Stokin ini direka khas untuk membantu melancarkan pengaliran darah pada kaki. Ia mempunyai keregangan tersendiri dan perlu diukur dengan tepat daripada aras paha hingga ke tapak kaki. Setiap bahagian stokin ini mempunyai tekanan dan keregangan yang berlainan. Compression stocking ini digalakkan penggunaannya pada waktu malam semasa tidur untuk disesuaikan dengan pengaliran darah menjadi perlahan semasa baring.
- Pakai kasut yang selesa. Sila gunakan kasut yang longgar dan bertapak rata untuk mengelakkan tekanan pada kaki yang boleh menyebabkan kesakitan.
- Merendam kaki. Setakat ini, tidak banyak bukti menyokong bahawa amalan merendam kaki boleh mengurangkan bengkak pada kaki. Namun begitu, kebanyakan pesakit berasa lebih selesa apabila kaki mereka direndam di dalam air sejuk. Amalan ini juga boleh mengurangkan lenguh pada tapak kaki.
Adakah bengkak kaki ini boleh disebabkan oleh penyakit?
Ya. Sekiranya bengkak ini semakin teruk sehingga ke paras pinggang, muka, di celah-celah jari dan bahagian kelamin, ini mungkin sesuatu yang abnormal. Hal ini perlu dipantau dengan lebih serius.
Apa yang membimbangkan, perkara ini boleh disebabkan oleh penyakit ‘pre-eclampsia’ atau tekanan darah tinggi semasa mengandung yang menyebabkan protein dikumuh keluar melalui air kencing.
Hal ini perlu diperiksa dengan teliti oleh klinik-klinik kesihatan untuk memastikan tekanan darah anda normal.
Sekiranya simptom seperti sakit kepala, pedih di hulu hati, mata kabur dan muntah yang teruk berlaku, sila dapatkan perhatian doktor dengan segera.
Menarik: Moga Jadi Anak Soleh, Puteri Aishah Kongsi Nama Anak, Makin Cantik Dalam Pantang
Stress Buat Wanita Susah Nak Hamil, Bakal Ibu Kena Tenang-Tenang Saja/
“Baby Alhamdulillah Sihat” Leeyana Rahman Lega Nak Masuk Trimester Kedua, Idam Dapat Anak Lelaki/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!
Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Selamatkan Anak Saya Doktor” Tali Pusat Keluar Dulu, Suami Merayu 4 Tahun Usaha Nak Dapat Anak
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya berusaha untuk mendapatkan zuriat sendiri. Ada yang mudah mendapat zuriat, ada yang perlu berusaha keras untuk mendapatkan cahaya mata penyeri hidup.
Cabaran untuk mendapatkan seorang anak bukanya mudah, dari hamil hinggalah saat bersalin. Pergi bernyawa, balik belum tentu bernyawa. Begitulah hebatnya perjuangan seorang ibu, seperti perkongsian daripada Dr. Ilzanno.
Salah satu peristiwa yang terbenam jauh di dalam lubuk hatiku dan akan aku ingat sampai bila-bila berlaku semasa aku posting di jabatan sakit puan (Obstetrics and Gynaecology/ ObGyn). Peristiwa ini berlaku semasa aku cuba untuk menyambut satu kes pesakit Primigravida, iaitu pesakit yang beranak buat kali pertama. Semasa itu, aku masih lagi bergelar house officer (HO) di sebuah hospital kerajaan.
Malam tersebut, sama seperti malam-malam yang biasa. Jururawat bergelar Midwife (bidan) memberitahu aku bahawa terdapat seorang pesakit di bilik nombor 3 yang masih belum sempat diperiksa oleh mana-mana doktor. Aku mendapatkan BHT (Bed Head Ticket/ Fail) pesakit dan terus bergegas ke bilik nombor tiga dewan bersalin tersebut.
Aku memperkenalkan diri aku sebagai salah seorang pegawai perubatan yang bertugas pada malam tersebut. Setelah meminta kebenaran pesakit berumur 26 tahun itu untuk menyambut kelahiran anaknya, pesakit tersebut terus bersetuju kerana di saat contraction menjadi semakin kerap, hanya tuhan sahaja yang tahu betapa tidak selesa dan sakitnya seseorang wanita itu rasa.
Wanita tersebut bernama Maisarah (Bukan nama sebenar) dan berasal daripada Kota Bharu. Sepanjang pemeriksaan dan follow-up nya dengan klinik kesihatan, dia tidak mempunyai apa-apa masalah dari segi perubatan. Segala-galanya nampak stabil. Tiada kencing manis, tekanan darah yang tinggi mahupun jumlah sel darah yang rendah.
Sejujurnya, aku langsung tidak minat dengan posting jabatan sakit puan ini. Doktor pakarnya garang-garang belaka, sesuatu yang aku alami semasa di universiti lagi. Pada masa itu, otak aku yang belum matang ini seringkali menjadi stress dan tertekan apabila mereka marah-marah pelajar perubatan. Kini, aku sudah tahu, sudah tentulah mereka perlu garang dan tegas, kerana di jabatan sakit puan ini, bukan satu nyawa pesakit yang perlu dijaga, sebaliknya dua!
Mereka bukan garang ke atas perkara yang tidak signifikan, seperti tersilap ejaan memanggil bos sebagai bod dalam group WhatsApp, atau pun pembentangan kes dalam bahasa Inggeris yang mempunyai kesalahan tatabahasa. Mereka garang bertempat. Pesakit Obstetric yang merupakan pesakit ‘buatan orang lelaki’ (maafkan saya sebab bergurau sedikit), boleh melahirkan anak tanpa apa-apa komplikasi pun pada zaman dulu oleh bidan.
Orang kata, zaman dulu-dulu pun orang boleh bersalin di kampung tanpa ada masalah, bagaimana seseorang itu boleh mati pula apabila bersalin di hospital yang dipenuhi dengan staf yang terlatih serta kelengkapan yang bertaraf dunia. Sebab itulah masing-masing yang bekerja di wad bersalin ini inginkan kesempurnaan apabila merawat pesakit.
Walaupun kami, pekerja perubatan semua tahu, menyambut kelahiran zaman dulu-dulu mana ada statistik kes sama ada kelahiran anak itu berjaya ataupun tidak. Secara mudahnya, kebanyakan orang awam di luar sana akan mempercayai bahawa dulu, tiada seorang wanita pun yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Pada mereka, tiada kes gestational diabetes mellitus, kes darah tinggi atau kekurangan darah pun zaman itu. Bukan tiada, tetapi tidak direkod (undocumented).
Daripada situ, datang lah jangkaan (expectations). Ada sesetengah daripada mereka akan mudah menolak beberapa perubahan mengikut perubatan modern seperti pemberian pil-pil yang mengandungi asid folik dan zat besi sebab “zaman dulu, orang nak beranak ni mana ada ambil apa-apa suplemen tambahan pun. Ini semua agenda doktor untuk menjual ubat sebenarnya dan mengaut keuntungan sepenuhnya”. Maka, daripada situlah, ketegasan pakar-pakar sakit puan itu muncul.
Mereka menjadi strict, mengikuti SOP dengan sepenuhnya, Kementerian kesihatan juga sama. Apa-apa kes berkaitan kematian pesakit semasa bersalin, dipanggil maternal mortality review akan dibawa dan dibincangkan sehingga ke peringkat kebangsaan. Perbincangan untuk mendapatkan kenyataan sebenar bagaimana seorang pesakit boleh mati di hospital. Silap, bukan seorang, tetapi dua orang pesakit.
Sudah tentu selepas aku mulai bekerja, aku memahami ketegasan seseorang medical officer dan pakar di kala menguruskan proses kelahiran yang kadangkala sedikit rumit dan tidak straightforward seperti yang difahami oleh orang luar. Biasalah, manusia ini bukan semuanya sama. Lain-lain. Ada yang mudah proses kelahirannya, ada juga yang susah.
Jadi berbalik kepada cerita asal, sama seperti pesakit-pesakit lain, aku perlu melakukan pemeriksaan rahim pesakit (Vaginal Examination, VE). Fungsinya adalah untuk memeriksa bukaan os nya berapa sentimeter serta ada apa-apa perkara yang abnormal ataupun tidak. Setelah aku masukkan jari, aku terasa sesuatu yang pelik.
Bukan kepala bayi yang aku rasa, sebaliknya tali pusat. Aku cuba untuk bertenang, dan memeriksa dengan daya tumpuan dan fokus yang tinggi. Yup, apa yang aku sentuh bukannya bahagian kepala bayi, sebaliknya tali pusat. Tak semena-mena aku jadi gabra dan pucat. Ibarat satu mimpi ngeri yang baru sahaja bermula. Tanpa melengahkan masa, aku menjerit meminta pertolongan.
“Cord prolapse room 3! Cord prolapse! Kakak, tolong saya!”
Aku nampak Kak Ros, salah seorang bidan terlatih yang agak senior segera berlari mendapatkan aku daripada kaunter.
“Doktor! Jangan keluarkan tangan daripada situ, tolak dan sokong kepala bayi supaya dia tak terhimpit tali pusat tu!”, kata Kak Ros dengan dialek utaranya.
Awal-awal dia beritahu aku untuk jangan keluarkan tangan daripada situ. Dia bimbang aku yang masih baru di posting ini hilang tumpuan akibat terlalu gelabah dan akan mengeluarkan tangan aku serta merta. Aku pasti, kalau aku keluarkan tangan aku, mesti aku kena jerkah dan kena “pungkoq ang la doktor” sebab membahayakan kandungannya.
Aku masih lagi dalam keadaan cuak sebenarnya. Aku tidak pernah menguruskan kes cord prolapse sepanjang bergelar doktor mahupun semasa menjadi seorang pelajar perubatan. Ilmu sejengkal aku ini agak lambat untuk memproses kejadian ini. Namun aku tahu, cord prolapse adalah obstetrics emergency, iaitu kes kecemasan yang boleh menyebabkan kematian bayi akibat kelemasan.
“Kenapa doktor?”, tanya Puan Maisarah, pelik dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya yang hiruk-piruk, walhal, dia tidak rasa apa-apa pun selain sakit akibat contraction yang menjadi semakin kerap.
“Puan, tali pusat anak puan ni keluar dulu, jadi, nak tak nak kena operate”, kata aku, menerangkannya seringkas yang mungkin kerana aku perlu fokus.
“C-sec ke doktor”, tanya Puan Maisarah.
“Ya puan”, aku menjawab, sambil tangan aku terus menerus memberikan daya untuk menolak kepala bayi tersebut ke atas.
“Selamatkan anak saya ya doktor, selamatkan Nadirah”, katanya tiba-tiba sahaja menyebut nama entah siapa.
“Siapa pulak Nadirah tu puan?”, aku tanya dalam nada kepelikan.
“Saya dan suami dah sepakat menamakannya Nadirah doktor. Doktor tolong Nadirah betul-betul ya”, katanya sambil tersenyum walaupun air mukanya aku nampak sedikit risau.
Kata-kata Puan Maisarah yang telah pun menyuntik keazaman di dalam hati aku. Aku perlu buat apa sahaja yang aku mampu sebaik yang mungkin. Aku mahu Nadirah selamat, dan menjadi seorang manusia yang berguna untuk masyarakat kelak.
“Baiklah, saya akan berusaha sepenuh tenaga, puan tenang tau. Dr Hayati on call malam ni, insya Allah, you are in good hands”, kataku memberi semangat kepada Puan Maisarah.
“Okay doktor, terima kasih”, katanya sambil mengesat air mata menggunakan lengannya. Sama ada air mata akibat kesakitan yang dialami, atau air mata kerisauan. Apa yang aku pasti ketika itu adalah, juraian air mata tersebut wasn’t for nothing.
<Fakta Perubatan mula>
Untuk pengetahuan anda semua, cord prolapse adalah keadaan di mana bahagian tali pusat pesakit terkeluar terlebih dahulu di cervix pesakit. Berat kepala dan badan bayi itu akan menghimpit tali pusat tersebut, menyebabkan darah tidak dapat mengalir di dalam tali pusat.
Bayi yang berada di dalam rahim memerlukan darah yang membawa oksigen dan glukosa daripada tali pusat, yang bersambung ke uri ibunya. Bayi di dalam rahim masih lagi tidak boleh bernafas untuk mendapatkan oksigen walaupun paru-paru bayi tesebut sudah pun hampir terbentuk dengan sempurna. Oleh itu, satu-satunya cara bayi dalam kandungan untuk mendapatkan oksigen adalah melalui tali pusat. Himpitan tali pusat itu menyebabkan bayi di dalam rahim kelemasan.
Satu lagi, apabila bahagian tali pusat terdedah kepada udara persekitaran, ianya akan menjadi kecut, keadaan yang kita panggil sebagai vasospasm. Vasospasm adalah reaksi normal yang diciptakan kepada kita semua, manusia. Hal ini adalah apabila bayi berjaya dilahirkan, secara automatiknya, tali pusat bayi tersebut akan mengecut tatkala ianya terdedah kepada udara persekitaran.
Fungsinya adalah untuk mengelakkan terlalu banyak darah yang hilang apabila tali pusat tersebut dipotong. Mekanisma ciptaan tuhan ini memang amat menakjubkan, cuma, dalam keadaan ini, vasospasm akan membunuh kandungan dengan begitu pantas. Sebab itulah kadar kematian akibat cord prolapse amat tinggi.
<Fakta Perubatan Tamat>
Sebelah tangan aku harus diletakkan untuk memberi sokongan kepada berat Nadirah secara konsisten, dan sebelah lagi tangan aku gunakan untuk menetapkan posisi cardiotocograph (CTG) untuk mendengar denyutan nadinya. Sekiranya Nadirah berada di dalam keadaan distress akibat kekurangan oksigen, denyutan nadinya akan bertambah.
Kak Ros sedang menelefon pakar sakit puan dan dia ‘menghantar’ beberapa jururawat pelatih membantu aku menetapkan posisi CTG yang beralih-alih di atas perut pesakit. Seusai menelefon doktor pakar, Kak Ros menelefon dewan bedah pula. Sememangnya, dalam kes sebegini, agak mustahil untuk menanggung risiko kelahiran spontaneous vaginal delivery (SVD) iaitu kelahiran yang normal, sebaliknya Caesarean-section perlu dilakukan.
Tanpa aku sedari, ada satu tangan menyentuh bahu aku daripada belakang. Saat mendengar Maisarah berkata “Abang”, aku terus tahu bahawa dia adalah suaminya, Azman (Bukan nama sebenar). Azman memegang bahu aku dengan kuat dan bercakap sesuatu yang aku ingat sampai ke hari ini
“Doktor, tolong sangat saya dan Maisarah dan Nadirah ya. 4 tahun kami berusaha doktor, 4 tahun”.
Apabila aku dengar suaranya yang mula tersenggut-senggut, aku menyuruh dia ke isterinya untuk memberikan kata-kata semangat dan doa. En Azman menuruti apa yang aku suruh. Dia mengusap dahi isterinya dan menggenggam erat lengan isterinya yang tertusuk jarum berwarna hijau. Dia mencium dahi isterinya dan memberikan isyarat ‘good’ sebelum terpaksa diarahkan untuk beredar bagi memudahkan staf melaksanakan tugas masing-masing memandangkan ini adalah kes kecemasan.
Setelah setengah jam berlalu daripada kejadian awal, tangan kanan aku mulai lenguh. Maklumlah menanggung berat badan bayi yang seberat 3-4kg itu menggunakan jari sahaja, memang lenguh. Namun aku tahu, lenguh itu sedikit sahaja rasanya berbanding beban yang bakal ditanggung oleh doktor pakar bagi menyelamatkan Nadirah.
Setelah mendapatkan persetujuan bertulis (written consent) untuk pembedahan, Puan Maisarah perlu ditolak ke dewan bedah dengan kadar segera. Di sana, doktor pakar bius dan pakar sakit puan, Dr Hayati sudah pun menunggu. Aku tak boleh mengeluarkan tangan aku, aku harus berada di situ sehinggalah pembedahan dilakukan dan keadaan cukup selamat.. Aku terus menerus memberikan daya tolakan ke atas, dan memang aku dapat rasakan bahawa tangan ku mulai kebas akibat ‘senaman isometrik ini’.
Apabila katil ditolak, aku wajib mengikut sekali di atas katil yang sama. Aku tidak boleh banyak bergerak kerana aku bimbang tangan aku tidak dapat memberikan daya tolakan yang constant. Perjalanan ke dewan bedah yang tidak sampai 2 minit itu merupakan perjalanan yang paling jauh dan paling memeritkan dalam hidup aku.
Setibanya di dewan bedah maternal (MOT), doktor memberikan bius separuh kepada Puan Maisarah. Kain hijau digunakan untuk menutup bahagian kaki dan dada Puan Maisarah bagi mengekalkan sterility kawasan pembedahan. Aku pula duduk di kaki pesakit, ditutup oleh kain hijau tersebut. Kau bayangkan sahajalah kepala aku, badan aku, semuanya berada di bawah kain hijau di dalam dewan pembedahan itu.
“How are you holding up there?”, tanya Dr Hayati kepadaku.
“Miserable, but I think I’ll be manage to hold for another hour”, aku berkata dengan nada gurauan.
“Then we’ll do this operation slowly, hahaha”, kata Doktor Hayati
“No doctor, please don’t, haha” jawab ku sambil ketawa kecil.
Dalam suasana serius, Dr Hayati masih lagi bertenang, dan aku tahu, lawaknya itu adalah untuk mengurangkan ketegangan suasana dan membuatkan aku sedikit relaks, walaupun dah 45 minit jari aku menahan berat Nadirah. .
Pembedahan dilakukan dengan pantas, dan beberapa minit kemudian, Dr Hayati menatakan kepada aku bahawa aku sudah boleh mengalihkan tangan aku daripada situ. Apabila aku mengeluarkan sahaja tangan aku, hampir serta merta hilang segala lenguh-lenguh yang aku rasakan daripada tadi. Masakan tidak, hampir 90 minit aku menahan berat badan Nadirah daripada menghimpit tali pusatnya sendiri.
Alhamdulillah, setelah hampir 30 minit kemudian, pembedahan berjaya dilakukan dengan lancar tanpa ada apa-apa masalah dan komplikasi. Puan Maisarah, walaupun masih separuh sedar berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada Dr Hayati, Kak Ros, aku dan semua staf yang terlibat dalam menyelamatkan nyawa anaknya itu. Aku berjalan kembali ke wad bersalin, tersenyum.
Dalam pekerjaan yang stress dan menekan jiwa ini, aku dapat rasakan, hari ini aku ibarat seorang wira, berjaya menyelamatkan nyawa si kecil yang comel dan putih itu, insan bernama Nadirah. Aku keluar sahaja daripada MOT, En Azman berlari ke arah aku, memeluk tubuh aku sambil berkata terima kasih dan menangis kegembiraan setelah dia dapat tahu bahawa 1 insan yang dia sayangi, dan kini 2 insan yang bermakna sepenuhnya untuk dirinya selamat.
Peristiwa ini juga membuatkan aku terfikir bahawa betapa besarnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan seorang anak. Wanita, secara fizikalnya tidaklah sekuat lelaki, namun, pengorbanan yang mereka lakukan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan tidak akan terbalas dengan wang ringgit. Satu lagi, untuk proses kelahiran, walaupun nampak straightforward dan mudah, kadangkala tidaklah semudah yang kita rasakan.
Kredit: Ilzanno Sharky
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Petua Hilangkan Batuk Tanpa Guna Ubat, Kahak Pun Boleh Keluar Dengan Mudah
Petua Hilangkan Batuk Tanpa Guna Ubat, Kahak Pun Boleh Keluar Dengan Mudah
Bila anak-anak batuk mulalah mama risau. Ubat sudah diberi namun batuk si anak masih lagi belum pulih. Paling merisaukan apabila anak batuk berkahak. Bimbang jika lama-lama akan bertambah parah batuknya.
Selain ubat batuk, kita boleh cuba kaedah alternatif dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk melegakan masalah batuk anak-anak. Tidak perlu bimbangkan kesan sampingan kerana ia menggunakan bahan-bahan asas yang ada di rumah sahaja.
Berikut perkongsian Dr Rizal Abu Bakar
Pernah tengok tak kesan ambil ubat batuk pada otak? Masa kerja di Melbourne dulu saya pernah tengok. Takut saya jadinya. Semenjak dari itu saya tak ambil lagi ubat batuk. Tak bagi lagi pada anak-anak. Jauhkan diri lagi ada la.
Kalau batuk saya cari alternatif lain. Cari ubat yang kesannya berbeza pada otak. Ubat itu tak bagi kesan menakutkan.
Lama juga cari alternatif ini. Macam-macam Jurnal yang dibaca. Macam macam buku ditelaah. Macam macam orang ditanya. Akhirnya berjumpa juga.
Saya mula buat petua alternatif ini kalau anak anak batuk. Cara pun mudah. Jadi saya kongsikan di bawah ini.
Caranya ialah:
1. Ambil sebiji bawang Holland atau Bombay. Potong kepada dua bahagian. Guna satu bahagian sahaja.
2. Leraikan ulas bawang tersebut.
3. Campurkan madu satu atau dua sudu mengikut kadar yang kita mahu.
4. Gaulkan biar rata.
5. Tutup dan biarkan selama satu atau dua jam.
6. Bawang tadi akan mengeluarkan jus yang secara otomatik bercampur dengan madu. Kalau cuaca panas akan jus akan keluar dengan lebih cepat berbanding cuaca sejuk.
7. Ambil satu sudu dan minum. Rasanya macam ubat batuk. Tujuannya mengeluarkan kahak. Natijahnya tiada kesan buruk pada otak.
Yang bestnya petua ni boleh keluarkan kahak dengan mudah. Lega anak anak jadinya. Bolehlah cuba.
Sumber: Dr Rizal Abu Bakar Kredit foto: Pexels
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI