Ada Had Nak Rotan Anak, Terlebih Rotan Tak Jadi Mendidik Tapi Anak Jadi Pendendam

Share

Cuba renung semula, niat kita pukul anak untuk hukum atau mengajar? Jika setakat nak lepaskan geram itu kesilapan besar. Perlu juga diketahui jika nak rotan anak ada hadnya.

Menerusi perkongsian Puan Wawa Shauqi melalui pengalamannya sendiri nak pukul atau rotan anak, kita kena sedar dulu apa impaknya. Jangan cepat beremosi kerana bimbang kesannya pada anak itu sendiri.

Gambar Hiasan

Teringat pesan ustazah, nak merotan anak, paras lutut sampai kaki je. Itupun tak boleh sampai berbirat. Dan tak boleh dihayun waktu emosi.

Kalau tak, hukuman tak jadi mendidik. Tapi lebih kepada nak lepas geram. Bila kita hukum anak sebab nak lepas geram, dia pun akan jadi manusia yang mudah melepas geram.

Dan merotan tu pun bukan semua orang layak nak hayun. Kalau anak tak pernah dididik dan diperingat berulang kali, eloklah simpan dulu rotan tu. Aduh insaf.

Saat pegang tangan si sulung ni, teringat waktu-waktu yang saya geraaaaam sangat dengan pemiliknya.

Bukan sekali dua tangan ini kena jentik. Selalu. Kadang-kadang dikombokan sekali dengan bebelan.

Mana idaknya. Tangan si sulung ni laju. Kadang time seronok bermain, bercalar balar muka si adik.

Minggu lepas, pipi adik ada sebaris lebam. Tersepit di sliding door waktu main kejar-kejar. Tukang sepitnya abang.

Nak tergelak pun ada. Biasa scene macam ni ada dalam cerita Mr Bean. Tapi bila tengok kesan biru di pipi, hati seorang mak jadi geram.

Si abang bukan sengaja pun. Tapi dah tangannya jenis pantas. Tangkas. Cepat. Kadang terhayun sikit tangan tu ke perut mak pun dah rasa senak.

Waktu geram itulah tangan si sulung dijentik. Kadang tak puas jentik, ditampar-tampar.
Beberapa saat lepas tu, bila hati mak insaf, tangan si sulung diurut-urut kembali.

Sambil mulut berkhutbah,

“Ya Allah. Tangkasnya ya Allah tangan ni. Jadikanlah tangan ini tangkas juga buat kebaikan. Jadikanlah tangan ini banyak sampaikan sedekah. Jadikanlah tangan ini memakmurkan bumi. Pemilik tangan ni nak masuk syurgaMu ya Allah.”

Langsung muncul balik ketawa di muka pemilik tangan yang tadi nak menjebik. Entah-entah kan, anak yang nakal ni sebenarnya dia nakkan doa dari mak ayah.

Tingkah laku mencabar tu rupanya sebagai ingatan pada kita untuk kita minta yang baik-baik pada Allah. ❤️

P/s : Hadiahkan anak-anak didikan yang terbaik sepanjang usia mereka.

Kredit: Influencer Parenting, Wawa Shauqi

 

Published by
NuFa