Pelaksanaan larangan menjual telur penyu di Terengganu kini sudah dijalankan dan kebanyakan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang telah pun mematuhi peraturan tersebut.

Walaupun berasa sedikit terkilan kerana tidak lagi dapat memenuhi permintaan pelanggan tetap yang menggemari telur eksotik itu, mereka akur dengan keputusan kerajaan Terengganu demi memastikan usaha konservasi secara maksimum dapat dicapai.

“Ada Ibu Hamil Mengidam Telur Penyu, Saya Tak Berani Jual” – Peniaga Telur Penyu

Bagi Hayati Mad Zain, 54, beliau mengakui ramai pelanggan tetapnya yang masih berharap beliau akan terus menjual telur penyu, walaupun setelah larangan itu dikuatkuasakan 1 Jun lepas.

“Paling membuatkan saya rasa sayu apabila segelintir ibu hamil merayu untuk membeli telur penyu kerana mengidam,”.

Hayati berkata, rayuan tersebut bagaimanapun tidak dapat ditunaikan kerana peniaga terikat dengan undang-undang larangan penjualan telur penyu yang dikuatkuasakan di Terengganu sejak awal bulan Jun lalu.

Ads

“Saya tidak mahu ambil risiko didenda atau dihukum kerana melanggar peraturan. Sebagai peniaga, saya patuh sahaja larangan tersebut, walaupun telur penyu adalah antara jualan yang paling laris di gerai saya ini,” katanya yang berniaga di pasar tumpuan pelancong itu sejak berusia 11 tahun, mengikut ayahnya.

Ketika ini, terdapat tujuh peniaga telur penyu di Pasar Besar Kedai Payang dan Hayati antara peniaga yang sering dicari pelanggan, kerana stok jualannya sentiasa banyak dan Hayati juga menjual telur yang sedia dimakan kerana ia sudah siap dijeruk serta direbus.

Seorang lagi peniaga Zainab Mohd Elias, 48, berkata beliau baru sahaja mencuba nasib menjual telur penyu sejak dua tahun lepas, sebagai ‘produk jualan’ tambahan di gerai kuih tradisionalnya.

“Selain kain batik, sutera dan keropok keping, telur penyu juga adalah antara daya tarikan orang ramai ke pasar ini, kerana hanya Terengganu sahaja yang masih membenarkan penjualan telur penyu di Malaysia.

Ads

Beliau mengakui ada pelanggan membeli telur penyu untuk dimakan sebagai ubat sakit lutut, dan mendakwa ia mujarab walaupun tiada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan itu.

Pada November tahun lepas, kerajaan Terengganu telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, untuk mengelakkan kepupusan hidupan marin yang semakin terancam itu.

Pindaan itu antara lain, akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu, dengan menetapkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu, iaitu RM50,000 hingga RM250,000 berbanding hanya RM3,000 sebelum ini.

Ads

— BERNAMA

Kredit: Awani, Kosmo

Artikel: Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI