Adakah sebarang kesan terhadap anak umur 2 tahun sekiranya mereka jenis tak suka tidur siang? Ini kerana ada kanak-kanak yang sentiasa aktif bermain sehingga sukar untuk tidur sekejap waktu siang.
Biasanya kanak-kanak umur 2 tahun ke atas memang sangat aktif dan lasak. Ada sahaja aktiviti yang hendak mereka lakukan sampai kadang-kala mengamuk bila disuruh tidur waktu siang.
Mereka sebenarnya sudah mengantuk tapi sanggup menahan ngantuk semata-mata hendak bermain sepanjang masa. Yang menghairankan waktu malam pun mereka tidur lewat juga. Ibu bapa mana tak risau akan hal ini.
Adakah ia akan mengganggu perkembangan si kecil kerana kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun memerlukan tidur lebih kurang 11 hingga 13 jam sehari.
Menurut Pakar Pediatrik, Dr. Mohamed Nazir Abu Bakar bagaimana kita nak tahu jika anak cukup tidur atau tidak? Kanak-kanak dalam peringkat umur yang sama mempunyai keperluan tidur yang berbeza-beza bergantung kepada kanak-kanak itu sendiri.
Satu cara mudah ialah dengan meneliti kelakuannya pada siang hari. Jika nampak kurang ceria, moody dan sering mengantuk, itu adalah indikasi mungkin mereka tidak cukup tidur.
Sebagai panduan kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun memerlukan tidur antara 12 hingga 14 jam dalam tempuh masa 24 jam sehari.
Apa yang merisaukan ramai ibu bapa ialah adakah anak-anak anda tidur dengan cukup? Untuk mengetahuinya, ada beberapa soalan yang ibu bapa perlu tanya diri sendiri:
1.Adakah anak anda boleh tidur dalam masa 20-30 minit?
2.Bolehkah anak bangun pagi dengan senang?
3.Adakah anak nampak tenang dan ceria pada siang hari?
4.Adakah anak boleh berjaga semasa aktiviti-aktiviti kurang aktif seperti menonton televisyen dan ketika dalam kereta?
Jika jawapan semua soalan di atas adalah YA bermakna anak anda cukup tidur.
Kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan tidur yang kronik boleh menjejaskan perkembangan mereka. Ia dikaitkan dengan masalah kekurangan Growth Hormone yang diperlukan untuk tumbesaran yang normal dan juga terhad penghasilan hormon Cortisol dan insulin.
Cortisol adalah hormon dikaitkan dengan tekanan manakala insulin pula mengimbang paras gula dalam badan. Kajian ada menunjukkan kekurangan kedua-dua hormon ini dan boleh mewujudkan masalah diabetes dan obesiti kemudian hari.
Kekurangan tidur yang kronik juga boleh menyebabkan masalah kelakuan atau behaviour problems dan juga perkembangan gross and fine motor skill. Dengan memahami keperluan tidur mengikut peringkat umur dan juga simptom-simptom seperti di atas kita boleh mengenali kanak-kanak yang berisiko untuk mendapat masalah kekurangan tidur.