Pastinya impian setiap suami isteri mahukan anak lelaki dan perempuan dalam rumah tangga. Bagaimanapun jika ditakdirkan Allah anak yang dimiliki semuanya lelaki atau perempuan, pasti ada hikmahnya.
Percaya pada ketentuan-Nya, hati kita akan sentiasa tenang dan gembira asalkan dikelilingi oleh cahaya mata yang membesar dengan sihat dan sempurna. Siapa kita untuk menolak takdir ini.
Begitu juga bagi pasangan suami isteri, Nor Shaeriani Awang Hamat dan suami, Mohamad Farishal Mohamad Rasid apabila dikurniakan 7 anak perempuan yang berusia antara 13 hingga 2 bulan.
Kisah pasangan ini menarik kerana walaupun 7 orang anak yang dilahirkan perempuan, mereka tetap bangga dapat membesarkan anak-anak secara berdisplin dan tertib.
Menurut Nor Shaeriani, dia dan suami tetap bersyukur dengan anugerah Allah ini. Soal jantina tak kisah asalkan bayi dilahirkan cukup sifat dan sihat tubuh badan.
“Masa mula dapat anak sulung perempuan, saya dan suami memang tetap menaruh harapan untuk memiliki anak lelaki. Namun bila anak kedua, ketiga pun perempuan, kami masih bersyukur tetapi dalam masa yang sama tetap pasang impian nak dapatkan cahaya mata lelaki.
“Anak keempat dan kelima pula sepasang kembar, dan dua-dua perempuan juga. Hinggalah anak keenam dan ketujuh yang baru habis pantang pun sama juga jantinanya.
“Walaupun semua anak ‘geng’ saya, saya dan suami okay je, dan berharap jika Allah nak bagi rezeki lagi sebelum usia 40 tahun alhamdulillah. Mana tahu dapat pula kembar lelaki,” kata ibu yang berusia 37 tahun ini.
Impikan 10 anak
Nor Shaeriani yang mengimpikan 10 anak dalam keluarga turut menyatakan pernah jaga pemakanannya dan suami untuk dapat anak lelaki tapi Allah dah tetapkan rezekinya untuk dapat anak perempuan juga.
“Saya sentiasa positif, lepas ni bila anak-anak dah besar, rumah kami akan meriah dengan kehadiran menantu lelaki pula,” ujarnya.
Disiplinkan anak buat kerja rumah dan aktiviti agama
Sebelum ini Nor Shaeriani pernah berkongsi caranya mendidik anak-anak perempuan dengan kerja-kerja rumah yang ringan sejak mereka kecil. Contohnya sidai, angkat dan lipat baju; cuci pinggan mangkuk dan kemas rumah. Mereka juga kena bangun awal walau tak bersekolah. Solat Subuh dan Maghrib pasti kena berjemaah.
“Saya akan suruh mereka buat ikut kemampuan dan ini juga bekalan apabila mereka dah besar. Alhamdulillah, anak-anak yang dah besar sudah boleh diharap,” katanya.
Dikelilingi tujuh anak perempuan, Nor Shaeriani yang bekerja sendiri mengakui kesemua anak-anaknya mempunyai ragam yang berbeza.
“Si kakak atau adik masing-masing perangai berbeza. Si kembar pun ada perangainya sendiri. Kalau bergaduh tu, setakat gaduh mulut sajalah. Bila tengok gelagat mereka, saya dan suami tersenyum sendiri.
Nak akrabkan hubungan mereka lagi, saya dan suami membuat keputusan untuk meletakkan mereka dalam satu bilik tidur. Jadi semua aktiviti dapat dilakukan bersama dan kami juga senang untuk memantau.
Bilik anak-anak, kami buat seperti dorm yang ada katil dua tingkat. Masing-masing mesti kemas katil sendiri dan sama-sama bersihkan bilik.
Selalu tanya bila nak ada anak lelaki?
Sementara itu, Nor Shaeriani berkata dia dan suami sering menjadi tumpuan jika keluar bawa anak bersama. Kami suka pakai sedondon. Jadi bila keluar semua mata akan memandang.
Soalan yang biasa ditanya ‘bila lagi nak ada anak lelaki?’ Kadang jenuh nak menjawab setiap soalan pertanyaan tu. Cuma yang boleh kami jawab, anak lelaki atau perempuan sama saja, yang penting cara didikan kita akan jadi bekalan untuk kita di akhirat nanti.
“Saya berpegang satu je. Andai ada rezeki saya dan suami timang anak lelaki alhamdulillah namun jika selepas ini keluar juga anak perempuan kami tetap syukur. Kita tak tahu janji Allah untuk masa akan datang,” akhirinya.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI