Sebelum ke klinik kesihatan ibu dan anak, ibu perlu dapatkan pengesahan bertulis daripada doktor yang mengesahkan diri hamil. Ujian air kencing atau Urine Pregnancy Test (UPT) sahaja tidak cukup. Tapi kenapa ye?
Kadang kala pasangan teruja untuk membuka buku rekod kehamilan atau dikenali sebagai buku pink. Bila tahu keputusan UPT positif, terus ke klinik ibu dan anak untuk membuka buku pink.
Jururawat, Puan Nur Harmuny Amaluddin ini menerangkan penting bagi ibu untuk mendapatkan pengesahan/ bukti bertulis atau pengesahan mengandung dari doktor sebelum proses membuka buku pink. Berikut ialah perkongsian beliau;
Di klinik saya jika ibu mengandung dan mahu buka buku pink kami perlukan bukti bertulis a.k.a pengesahan mengandung dari doktor.
Pernah berlaku kes , ibu buat UPT sendiri di rumah dan positif keputusan mengandung. Ibu datang ke klinik dan buka buku pink. Ibu tidak menjalani pengesahan di mana-mana klinik untuk pengesahan mengandung.
Ads
Sebaik sahaja di rujuk doktor dan di lakukan scan… rahim ibu kosong. Kes dirujuk ke hospital untuk ujian pengesahan mengandung dan keputusan diperolehi adalah “negatif”.
DINASIHATKAN MEMBUAT UPT & MENDAPATKAN PENGESAHANBERTULIS
Apabila ibu dinasihatkan membuat UPT dan memerlukan keputusan bertulis sebenarnya adalah sebagai langkah awal untuk mengelakkan berlalunya kes seperti di atas.
Ads
KEHAMILAN PERLU DISAHKAN OLEH DOKTOR
Tidak menjadi kesalahan jika ibu sudah lakukan UPT dirumah. Tetapi ibu masih juga perlu ke klinik kesihatan / hospital
Antara lainnya , jika ibu positif mengandung tetapi rahim ibu kosong dikhuatiri ibu mengandung diluar rahim.
Ads
NAMPAK REMEH TAPI PENTING
Nampak remeh tetapi betapa pentingnya ujian pengesahan mengandung ini perlu dilakukan di klinik kerajaan ( klinik kesihatan/swasta).
Diharap jika berlaku kekeliruan kenapa perlukan bukti bertulis inilah jawapannya.
Ketika hamil, banyak masalah yang mungkin berlaku pada si ibu. Salah satunya adalah anemia. Ia merupakan masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin.
Di dalam perkongsiannya di laman Facebook, Dr Zubaidi Hj Ahmad menjelaskan tentang anemia. Biarpun perkongsian ini di buat sekitar tahun 2020, ia masih berguna sebagai rujukan para ibu.
Anemia adalah masalah kesihatan yang berlaku apabila darah kekurangan sel darah merah yang sihat atau hemoglobin. Kekurangan hemoglobin bawah paras normal menyebabkan tubuh tidak mendapat oksigen yang mencukupi dan mengakibatkan penghidapnya berasa lemah.
Wanita, kanak-kanak dan penghidap penyakit kronik berisiko tinggi mendapat anemia. Masalah kekurangan darah ini juga boleh diwarisi dan bayi mungkin mendapatnya ketika dilahirkan. Warga emas juga berisiko tinggi mendapat anemia kerana kekurangan zat makanan dan masalah kesihatan. Malah, wanita dalam tempoh subur juga terdedah kepada anemia akibat kekurangan zat besi disebabkan kehilangan darah akibat haid, selain peningkatan permintaan bekalan darah ketika mengandung.
Bagi kebanyakan wanita mengandung pula, mereka akan rasa mudah letih, berasa tidak sihat, emosi mudah terganggu dan tubuh lemah. Keadaan ini memang nampak normal ketika ini hingga tidak diberikan perhatian serius. Mereka menganggap ia mungkin kesan perubahan hormon dalam badan, namun sebenarnya masalah terbabit boleh menandakan gangguan yang lebih serius iaitu anemia atau kekurangan sel darah merah akibat tidak mendapat zat besi secukupnya.
Anemia atau kurang darah adalah suatu keadaan apabila jumlah sel darah merah (hemoglobin) berada di bawah paras normal. Hemoglobin yang terkandung di dalam sel darah merah berperanan mengangkut oksigen dari paru-paru dan menghantarnya ke seluruh bahagian tubuh.
Apabila anda mengalami anemia, tubuh tidak menghasilkan sel darah merah yang mencukupi. Lantas anda tidak mendapat oksigen yang cukup dan akibatnya cepat berasa penat. Malah komplikasi kesihatan serius yang lain juga boleh berlaku.
Apabila seseorang wanita hamil, ada kemungkinan untuknya mengalami anemia apabila tidak mendapat zat besi secukupnya. Dalam keadaan ini, wanita mungkin berasa cepat penat, emosi mudah terganggu dan lemah.
Semasa hamil badan wanita menghasilkan banyak darah untuk menampung tumbesaran janin. Sekiranya zat besi atau vitamin B12 dan folat tidak dibekalkan secukupnya, penghasilan darah merah mungkin tidak cukup untuk keperluan badan seseorang itu. Ini kerana apabila usia kandungan semakin meningkat, isi padu darah juga bertambah dan ia menyebabkan pencairan darah berlaku.
Walaupun sel darah merah makin bertambah, penghasilan plasma darah juga bertambah dan menyebabkan keadaan yang dipanggil anemia relatif atau fisiologi. Seseorang itu dikatakan mengalami masalah anemia apabila tahap kepekatan hemoglobin (g/dl) kurang dari 11 g/dl semasa trimester pertama, 10.5 g/dl semasa trimester kedua dan 10 g/dl dalam trimester ketiga.
Kira-kira 75 peratus wanita hamil mengalami anemia akibat kekurangan zat besi. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko wanita hamil melahirkan bayi tidak cukup bulan atau berat badan bayi yang rendah. Wanita hamil sentiasa mengalami kekurangan zat besi untuk menampung keperluan semasa mengandung. Mereka disarankan agar meningkatkan pengambilan zat besi dalam diet harian.
Pemeriksaan darah perlu dijalankan secara rutin semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung. Antara gejala anemia adalah letih, tidak bermaya, sakit kepala, pening, berdebar-debar dan sesak nafas. Selain itu masalah anemia yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan komplikasi seperti kelahiran pramatang (tidak cukup bulan), kematian bayi dalam kandungan dan kemurungan selepas kelahiran.
Rawatan zat besi secara rutin disarankan dalam program penjagaan ibu mengandung. Sekiranya ibu mengandung tidak dapat mengambil zat besi dengan cara biasa, maka mereka disarankan mendapatkan suntikan zat besi yang dilakukan di klinik atau hospital. Pemindahan darah mungkin perlu dilakukan sekiranya berlaku anemia yang teruk dalam kalangan wanita mengandung yang hampir bersalin.
Tahap hemoglobin yang perlu untuk pemindahan darah mungkin lebih rendah dalam kalangan mereka yang mempunyai anemia kronik berbanding wanita dengan masalah hemolisis akut. Hemolisis adalah keadaan apabila kemusnahan sel darah merah disebabkan kecederaan pada membran sel.
Anemia yang teruk mesti dirawat sebelum kelahiran bayi untuk mengelakkan komplikasi yang berpunca akibat pendarahan semasa kelahiran. Wanita mengandung disarankan supaya menjalani pemeriksaan mengikut jadual seperti disediakan di klinik ibu mengandung. Ini sangat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu dan anak.
Masalah anemia ketika hamil boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu :
1. Anemia akibat kekurangan zat besi
Ia berlaku apabila badan tidak mendapat zat besi secukupnya untuk menghasilkan hemoglobin yang diperlukan badan. Jadi, darah tidak dapat membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Ini masalah anemia yang paling lazim dalam kalangan wanita hamil.
2. Anemia akibat kekurangan folat
Folat adalah vitamin yang ditemui secara semula jadi dalam beberapa jenis makanan seperti sayur-sayuran berdaun hijau. Ia sejenis vitamin B yang diperlukan badan untuk menghasilkan sel baru, termasuk sel darah merah. Ketika hamil, wanita memerlukan lebih folat, tetapi kadang kala ia tidak dapat dibekalkan melalui pemakanan. Apabila ini berlaku, badan tidak boleh menghasilkan sel darah merah normal yang cukup untuk mengangkut oksigen ke tisu badan.
Jadi inilah sebabnya wanita hamil diberikan suplemen asid folik. Kekurangan folat boleh menyebabkan kecacatan pada bayi seperti spina bifida dan bayi dilahirkan tidak cukup berat.
3. Anemia akibat kekurangan vitamin B12
Badan kita memerlukan vitamin B12 untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat. Apabila wanita hamil tidak mendapat cukup vitamin B12 daripada pemakanannya, badannya tidak boleh menghasilkan sel darah merah yang sihat dalam kuantiti diperlukan.
Semua wanita hamil berisiko mengalami masalah anemia. Ini kerana mereka perlukan lebih zat besi dan asid folik berbanding biasa. Namun risikonya lebih tinggi dalam keadaan seperti berikut:
1. Kehamilan kembar 2. Kerap hamil dan jarak antara dua kehamilan adalah rapat 3. Banyak muntah kerana mabuk hamil sehingga tidak lalu makan 4. Hamil pada usia terlalu muda (remaja) 5. Tidak mengambil cukup makanan yang kaya zat besi 6. Pernah alami anemia sebelum hamil
1. Pucat, letih, lesu, sesak nafas dan jantung berdegup laju
2. Risiko keguguran, kelahiran pramatang, bayi kecil, koma dan peningkatan kebarangkalian ibu meninggal dunia
1. Tingkat pengambilan makanan kaya zat besi seperti ayam, sayur berdaun hijau, kekacang, hati, bijirin penuh, tomato, tembikai, labu, bijan, tauhu, lada benggala, kiwi dan buah-buahan kering seperti prun dan kismis
2. Ambil roti dan bijirin diperkaya zat besi, asid folik
3. Dalam kebanyakan kes, doktor mengesyorkan pil zat besi tambahan untuk merawat anemia.
Jom, meriahkan Pa&Ma Gala 2022 Reunion X TYT dan anda berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik! Sharing istimewa dari Dayah Bakar & Tasha Manshahar tentang cara penjagaan anak serta demo urutan istimewa dari Aunty June (TYT).
Apabila ada yang memutuskan ingin menjarakkan kehamilan, bukan bererti rezeki mahu ditolak. Ia lebih kepada usaha merancang masa depan diri, keluarga dan anak-anak dengan sebaik mungkin.
Masa kini, terdapat pelbagai jenis kaedah perancang kehamilan yang boleh menjadi pilihan. Berbanding kaedah implan, alat dalam rahim dan suntikan, pil kontraseptif atau lebih dikenali sebagai pil perancang merupakan cara mencegah kehamilan yang popular di kalangan wanita di Malaysia.
Walaupun begitu, ramai wanita yang masih sangsi tentang cara dan keberkesanan penggunaannya. Hal ini mungkin disebabkan golongan berkenaan kurang arif dengan fakta sebenar pil perancang, akibat salah tanggapan terhadapnya.
Oleh sebab itulah, sering kedengaran keluhan seperti “Patut atau tidak, ambil pil perancang?, Apa kesan sampingan kalau makan? Haram tak kalau guna? Haid nanti jadi banyak tak? Kalau nak mengandung semula, lambat ke nak subur semula?. Inilah antara dilema wanita yang berteka-teki mahu memilih kaedah perancang kehamilan yang sesuai dengan dirinya.
Demi membantu anda membuatkan keputusan yang betul, ini adalah antara perkara yang patut anda tahu tentang pil perancang.
Selain dinamakan sebagai pil perancang, pil kontraseptif juga digelarkan sebagai pil hormon. Hal ini kerana terdapat hormon estrogen di dalamnya. Ada juga jenis pil perancang yang turut digabungkan dengan hormon progestin.
2. Hentikan ovulasi
Fungsi utama pil perancang ialah menghentikan proses ovulasi. Dengan yang demikian, ia membuatkan anda menjadi tidak subur buat sementara waktu.
Hormon yang terdapat dalam pil perancang akan menghalang telur (ovum) daripada berjaya keluar daripada ovari. Jadi, tiada telur yang boleh disenyawakan walaupun sperma mungkin berjaya memasuki rahim.
Selain daripada itu, ia turut bertindak menebalkan mukus yang terdapat pada pangkal rahim (serviks). Kesannya, ia akan menyukarkan sperma untuk menembusinya, lalu sukar untuk sampai ke rahim.
3.Dapatkan nasihat doktor dahulu
Biarpun sesetengah jenis pil perancang boleh dibeli di farmasi, sebaik-baiknya anda dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu jika erhasrat untuk memulakan pengambilannya.
Sewaktu anda membawa bayi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan berkala, biasanya jururawat mahupun doktor akan bertanya sama ada anda mahu merancang kehamilan seterusnya.
Oleh itu, jangan segan bertanya lanjut bagi membolehkan anda mendapatkan maklumat tepat tentang kaedah pencegahan kehamilan yang selamat.
4. Mulakan pada hari ke-5
Sebelum mengambil pil perancang, anda perlu benar-benar memastikan diri tidak hamil! Oleh sebab itulah, anda disarankan mula mengambil pil perancang semasa hari ke-5 kitaran haid. Jika mendapati diri hamil ketika memakannya, hentikan pengambilannya serta-merta dan segera dapatkan pemeriksaan doktor.
5.Jangan ambil jika ada penyakit
Kebanyakan wanita yang normal dan sihat tubuh badan boleh mengambil pil perancang. Namun begitu, sekiranya merokok, mengalami penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kanser ataupun mengalami kesihatan seperti migrain atau sawan, anda dilarang sama sekali untuk mengambilnya.
6. Kesan sampingan bersifat sementara
Sememangnya, pil perancang mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Namun, kesannya adalah bersifat sementara. Antara kesan sampingan yang lazim dialami di awal pengambilannya ialah seperti mual, loya, kegatalan, kurang berahi, ketegangan payudara dan keguguran rambut. Dalam pada itu, kitaran haid juga mungkin menjadi tidak tetap dan jumlah darah haid yang keluar selalunya berkurangan.
Dikatakan, ini adalah antara respon tubuh anda yang sedang dalam proses menyesuaikan diri. Jika terdapat tanda serius seperti sesak nafas, batuk berdarah, gangguan penglihatan dan pendarahan, hentikan pengambilannya dan rujuk masalah ini kepada doktor.
Sementara itu, setelah mula mengambil perancang, anda dinasihatkan untuk meneruskan penggunaan pil perancang yang sama jenis selama 3 bulan sebelum membuat keputusan untuk mencuba jenis pil perancang lain pula.
7.Boleh hamil semula selepas hentikan pengambilan
Setelah menghentikan pengambilannya, anda boleh kembali hamil kerana pil perancang adalah pencegah kehamilan yang bersifat sementara. Pada asasnya, ia hanya boleh bertahan selama 24 jam. Atas sebab inilah anda perlu memakan pil pada jam yang sama setiap hari.
Sehubungan itu, apabila anda berhenti daripada mengambil pil perancang setelah beberapa ketika, tubuh boleh menjadi sangat subur berbanding sebelum ini.
8. Berkesan sehingga 99%
Kebanyakan pil perancang yang dijual di pasaran boleh memberi kesan optimum sehingga 99%. Perlu diingatkan bahawa ia hanya akan berkesan sekiranya diambil pada waktu yang sama setiap hari.
Oleh itu, anda harus mengelakkan diri daripada terlupa mengambilnya. Jika anda tergolong sebagai selalu lupa makan ubat mengikut watu yang sepetunya diambil, maka pertimbangkan cara pencegahan kehamilan lain yang lebih selamat dan berkesan buat diri anda.
9.Hukum harus pengambilannya
Kebanyakan ahli ilmuan Islam berpendapat hukum mengambil pil perancang adalah harus dengan syarat mendapat kebenaran suami. Islam tidak mengharamkan kaedah pencegahan kehamilan yang tidak kekal. Ini termasuklah pil perancang, suntikan atau penggunaan kondom. Menurutnya, ia hanya berperanan melewatkan kehadiran cahaya mata agar pasangan suami isteri lebih bersedia daripada semua segi dan ia bukannya bersifat kekal.
10. Dua jenis pil
Pil perancang boleh didapati dalam dua jenis. Ia adalah pil kombinasi di mana mengandungi hormon estrogen dan progestin. Ia adalah pil perancang yang paling biasa digunakan. Antara jenama yang terdapat di pasaran ialah Oralcon, Mercilon, Marvelon, Loette, YAZ dan Yasmin.
Satu lagi jenis pil perancang ialah pil mini. Pil ini biasanya diberi oleh doktor kepada anda yang menyusukan bayi. Jenama yang biasa didengar ialah seperti Norriday dan Cerazette. Berbeza daripada pil kombinasi, pil jenis ini tidak boleh dibeli sewenang-wenangnya di farmasi kerana boleh memudaratkan diri jika disalahguna. Hal ini kerana ia memberi tindak balas jika digunakan dengan ubat yang lain seperti antibiotik, ubat sawan, arthritis dan ubat tidur.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati mana yang tak luluh membaca kisah ini tentang ibu hamil 8 bulan yang meninggal dunia bersama anak dalam kandungannya.
Seorang jururawat berkongsi pengalaman yang cukup meruntun jiwa, saat menguruskan seorang ibu muda, Puan Nur Aisyah, 27 tahun, yang datang ke hospital dalam keadaan lemah, pucat dan bengkak kaki. Walaupun sarat mengandung 8 bulan, dia tetap tersenyum, sabar menunggu suami yang belum tiba.
Namun siapa sangka, itulah senyuman terakhirnya di dunia ini.
Jururawat itu berkongsi, Puan Aisyah datang dengan wajah pucat, tangan sejuk dan kaki bengkak sampai tidak boleh pakai selipar. Bacaan tekanan darah pula sangat tinggi, 210/115, satu angka yang boleh membahayakan nyawa.
Tapi walau tubuh lemah, Puan Aisyah tetap kuat, tetap senyum.
Siapa sangka, senyuman itu rupanya senyuman terakhir sebelum nyawa diambil Ilahi.
Doktor segera melakukan pemeriksaan. Namun suasana bilik bersalin tiba-tiba jadi sunyi sepi.
Tak ada bunyi degupan jantung bayi.
Tak ada gerakan.
Tak ada denyutan kecil yang biasanya jadi penawar rindu seorang ibu.
Doktor menarik nafas panjang, memandang wajah Aisyah, lalu berkata perlahan:
“Aisyah… saya minta maaf… baby awak dah tak ada…”
Mata Aisyah berkaca. Tapi senyuman masih di bibirnya. Dengan tenang dia menjawab:
“Tak apa doktor… asalkan saya masih hidup, saya reda…”
Itu ayat terakhir arwah.
Beberapa minit selepas itu, Aisyah rebah. Pasukan perubatan berusaha sedaya upaya, buat CPR, larikan dia ke zon kecemasan, cucuk jarum, pasang oksigen… namun semuanya tidak berjaya.
Dalam masa kurang 10 minit, Aisyah disahkan meninggal dunia. Pergi dalam keadaan tersenyum… masih berbaju mengandung… belum sempat peluk suami yang dinanti.
Saat suaminya sampai, hanya Allah yang tahu betapa luluh hatinya.
Dia menjerit, suara pecah satu hospital.
“Aisyahhhh!! Saya baru sampai sayang… saya bawa kurma… kita nak buka puasa sama-sama…”
Dia peluk tubuh isteri, cium dahi berkali-kali sambil air mata mengalir tanpa henti.
“Maafkan saya sayang… saya tak tahu awak sakit seteruk ni…” rintihnya berulang kali.
Jururawat yang menguruskan jenazah sendiri tak mampu menahan tangis, seolah-olah kehilangan ahli keluarga sendiri.
Kata jururawat itu lagi, ramai ibu hamil pendam rasa sakit. Mereka tahan pening kepala, sesak nafas, jantung berdebar, bengkak kaki… sebab fikir itu normal, sebab takut susahkan suami.
Tapi sebenarnya, semua itu tanda bahaya seperti:
✔️ Pre-eclampsia (tekanan darah tinggi semasa hamil) ✔️ Darah beku ✔️ Pulmonary embolism (saluran darah tersumbat)
Semua ini boleh berlaku senyap-senyap, tanpa amaran, boleh meragut nyawa dalam sekelip mata.
Para suami, tolong dengar rintihan isteri.
Kalau dia kata penat, jangan pandang ringan.
Kalau dia sesak nafas, jangan tunggu esok baru bawa ke klinik.
Kalau dia mengadu sakit kepala luar biasa, jangan jawab “biasa la tu…”
Nyawa isteri lebih penting daripada segala-galanya. Duit boleh dicari, tapi isteri yang sanggup bertaruh nyawa melahirkan zuriat kita… tiada ganti.
Hargailah isteri sebelum dia pergi dalam sejuk kain kafan… sambil memeluk anak yang tak sempat melihat dunia.
Jenazah ibu dan bayi dikebumikan dalam satu liang lahad. Bayi kecil itu masih dibalut kain putih, dengan kesan darah rahim ibunya.
Semoga Allah tempatkan arwah Puan Aisyah dan anak syurganya dalam kalangan orang beriman.
Al-Fatihah buat mereka berdua…
Nota Pa&Ma:
Sayangi isteri, dengar luahan mereka. Jangan biar isteri pendam sakit sendiri. Kehamilan bukan sekadar menunggu hari, ia perjuangan nyawa yang tidak semua mampu hadapi.
Jika ada tanda bahaya seperti kaki bengkak melampau, pening kepala teruk, sesak nafas atau tekanan darah tinggi — segera dapatkan rawatan, jangan tunggu.