Ada Sebabnya Kenapa Perlu Elakkan Sarapan Tinggi Gula Pada Anak, Pakar Dietetik Beri Penjelasan!

Share

Ada dikalangan anak-anak kita yang tidak suka mengambil sarapan pagi. Mengajar anak untuk mengambil sarapan setiap pagi sebenarnya bermula daripada mama dan papa sendiri. Pastikan anak-anak wajib diberikan sarapan, namun jangan pula diberikan daripada jenis yang mengandungi tinggi gula!

Ada sebabnya mengapa jenis pemakanan  bergula dilarang untuk diambil oleh anak-anak kecil kita yang sedang membesar.

Menurut Puan Ruqayyah Muhammad, Pegawai Diatetik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), sarapan amatlah penting buat anak-anak yang sedang membesar. Namun elakkan sama sekali pengambilan gula dipagi hari. Mengapa?


Bangunkan anak lebih awal untuk bersarapan pagi. Jadikan sarapan pagi sebagai rutin harian agar apabila anak memasuki alam sekolah rendah, ia telah menjadi kebiasaan untuk anak.

Memberikan sarapan pagi itu penting, tetapi jenis hidangan yang diberi juga akan memberi kesan kembali pada anak.

Sarapan pagi yang tinggi dengan gula seperti bijirin sarapan segera atau biskut manis boleh menyebabkan anak hiperaktif di dalam kelas disebabkan paras gula darah yang tinggi sekaligus menyebabkan tumpuan untuknya belajar semakin berkurangan.

Anak akan menjadi letih selepas itu kerana telah banyak menggunakan tenaga sebelumnya. Gula yang berlebihan di dalam diet harian juga dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan karies gigi.

Memberikan makanan yang terlampau tinggi lemak dan minyak pula boleh menyebabkan anak mengantuk dan lambat menyelesaikan tugasan di sekolah. Makanan berlemak lebih lambat dihadam dan memerlukan proses yang lebih panjang berbanding makanan rendah lemak.

Maka, memilih makanan yang kaya dengan bijirin, serat dan protein tetapi rendah lemak dan gula akan memastikan paras gula darah yang lebih stabil pada anak-anak, selain melambatkan pengosongan perut. Ia membantu anak fokus dengan lebih baik pada waktu pagi.

Pilih Menu Terbaik


  1. Mengikut Garis Panduan Pemakanan Malaysia, anak berusia 4 hingga 6 tahun memerlukan 1300kcal setiap hari yang merangkumi pelbagai jenis makanan seperti bijirin, protein daripada ikan, ayam dan legum, susu, buah dan sayur-sayuran .

2. Rancang menu untuk seminggu setiap hari agar mudah untuk dilaksanakan di pagi hari. Sediakan pilihan makanan yang berkhasiat dan mengenyangkan di pagi hari.

3. Pastikan pemilihan makanan memenuhi konsep Pinggan Sihat Malaysia. Ada karbohidrat yang berfungsi untuk memberikan tenaga, protein seperti ayam dan telur untuk pertambahan otot dan sel tubuh, serat untuk melawaskan penghadaman dan memberikan rasa kenyang yang lebih lama pada anak.

 

4. Semangkuk bubur nasi bersama sayuran dan isi ayam juga cukup untuk mengenyangkan anak sehingga waktu rehat nantinya.

5. Sekeping sandwic bersama telur rebus dan keju, bersama sayuran yang dipotong kiub atau sandwic roti pita boleh juga dijadikan hidangan ‘on the go’ di dalam kereta jika tidak punya masa yang lama untuk makan.

6. Jika tidak sempat memasak di pagi hari,  semangkuk bubur oats yang bersama buah kering seperti kismis dan kurma, dan campuran susu boleh dijadikan hidangan sarapan yang baik. Lengkap tetapi ringkas.

 

7. Lempeng yang diadun bersama susu dan telur, berserta parutan lobak merah atau buah kering juga tidak mengambil masa yang lama untuk disediakan.

8. Sediakan pek ‘on the go’ yang boleh diambil di atas kereta atau van sekolah sekiranya anak tidak mahu bersarapan. Bijirin sarapan yang rendah kandungan gula, sandwic atau kuih muih seperti pau berinti daging atau ayam boleh dijadikan pek makanan di waktu pagi. Snek seperti potongan buah, kacang seperti badam yang kaya dengan protein dan lemak politaktepu boleh dibekalkan untuk anak ambil di atas kereta atau di tadika sekiranya lapar.

9. Pastikan anak tidak lupa mengambil segelas susu untuk membantu tumbesaran tulangnya setiap pagi dan malam.  Hidangan ringkas tetapi padat dengan nutrisi pada waktu pagi akan membantu anak lebih selesa dan sihat sepanjang hari.

 

IKLAN