Kesihatan

Ada Tanda Lahir Unik Di Muka, Ibu Kesal Anak Dikata Tak Sempurna

Share

Mempunyai tanda lahir bukanlah suatu yang pelik sebenarnya, namun oleh kerana tanda lahir yang agak ketara pada muka, seorang kanak-kanak yang masih kecil dipanggil buruk dan ‘cacat’ oleh segelintir masyarakat yang tidak prihatin.

Marianna Bowering dari Adelaide sangat menyayangi anak perempuannya yang diberi nama Angelica. Mempunyai tanda lahir di bahagian muka yang turut dikenali sebagai “port wine stains”, ibu ini menganggap ia adalah satu keunikan yang ada pada anak perempuannya itu.

Jadi mangsa hinaan & tohmahan orang

Angelica dilahirkan dengan tanda lahir berwarna merah di wajahnya, Marianna mengelarkan tanda itu sebagai ‘Angels kiss’ kerana bentuknya yang seakan hati.

Tapi ternyata tidak semua orang dapat menerima keadaan anak perempuannya itu sehingga ada yang menghina si kecil ini dengan mengatakan muka Angelica seperti dipanggang.

Menurut Marianna juga, dia sering mendapat komen yang berunsur hinaan sama ada secara peribadi ataupun secara online di laman sosial miliknya sendiri.

“Perkataan yang paling menyakitkan apabila seorang lelaki mengatakan kepada saya bahawa Angelica cacat, saya sangat terkejut.

“Ada juga yang mengatakan mukanya sangat mengerikan sehingga dia tidak akan mendapat teman lelaki pada masa hadapan dan saya tidak seharusnya membiarkan Angelica bermain dengan air panas,” katanya.

Nak beri kesedaran tentang tanda lahir Port Wine Stain

Dengan kata-kata hinaan yang dilemparkan kepada si kecil Angelica, Marianna bimbang dengan masa depan anaknya itu.

“Saya risau apa yang bakal dia lalui di alam persekolahan tetapi saya berharap akan ada lebih banyak pendidikan terhadap kesedaran tentang perkara ini.

“Ia sangat menyakitkan apabila orang lain bersikap kejam terhadapnya namun ketika saya melihatnya sekarang, saya tahu dia seorang yang berani dan mempunyai keyakinan yang tinggi,” ujar Marianna.

Justeru itu, ibunya sedang cuba untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang apa itu tanda lahir Port Wine Stains supaya anak-anak yang senasib dengan Angelica tidak lagi menerima tohmahan dan hinaan seperti yang dialami anaknya itu.

Sumber: Borak Daily & Dailymail

Published by
Shahrina Azlin Binti Abdullah