Adakah anda rasa macam nak berperang bila gosok gigi si kecil? Memang stres bila anak jenis yang tak mahu gosok gigi. Lagi geram dia meraung dan menutup mulutnya tanda protes tak mahu giginya digosok.
“Adik jom gosok gigi,” ajak mama pada Aisyah yang berusia 2 tahun.
Geram betul bila si kecil tak nak gosok gigi. Tapi kalau dibiarkan nanti rosak pula giginya. Sudahnya setiap pagi dan malam kenalah ada sesi pujuk memujuk dan jika tidak berjaya ia diakhiri dengan paksaan dan tangisan demi untuk menggosokkan gigi si kecil.
Sampai bila ‘peperangan’ ini akan berakhir? Adakah semua anak kecil memang tak suka gosok gigi? Harapnya tips yang doktor gigi yang juga seorang ibu, Dr. Yuliana Ayob kongsikan ini dapat membantu ibu bapa yang menghadapi masalah susah nak gosok gigi anak.
INI 10 TIPS MEMBERUS GIGI ANAK KECIL
Ingat senang ke nak berus gigi anak? Doktor belum ada anak, mana Doktor tahu?
Ya. Dulu sebelum ada anak, memang saya memberikan nasihat pergigian yang kering. Saya rasa mesti ibu dan bapa yang pernah mendapat nasihat daripada saya berasa ‘macam senang je’.
Tetapi, bila dah ada anak, ha barulah kita tahu rendah tingginya langit. Ia tidaklah semudah yang disangka, ya.
Ads
Jadi, anda nak tahu ke panduan yang boleh digunakan untuk memberus gigi anak kecil?
Jom baca dan jika anda rasa ia bagus dan mudah untuk dipraktikkan, silakan berkongsi dengan ibu bapa yang lain, terutamanya pasangan masing-masing.
1. Pastikan posisi anak seperti dalam gambar. Nampak macam mudah ya? Realitinya anak akan mengangkat punggung dan menghempas belakang badannya ke atas lantai. Jadi, baringkan anak di atas tilam, tikar atau karpet lembut. Jadi taklah kesakitan si anak. Kedua-dua tangan anak diletakkan di bawah peha kita.
2. Beritahu pada anak, kita nak memberus giginya. Panggillah anak untuk berasa ‘rela’ giginya diberus. Ciptalah lagu memberus gigi sehingga anak berpusing-pusing menari, dan berasa gembira, teruja untuk memberus gigi. Lagu saya berubah-ubah ikut ‘mood’. Paling senang, gunakan rentak lagu ‘london bridge’ dan menukar liriknya kepada memberus gigi.
Ads
3. Perlu ke menggunakan ubat gigi? Jika anak sudah pandai meludah, bolehlah memberus dengan meletakkan ubat gigi. Ubat gigi janganlah banyak, nanti lain pula jadinya. Sekadar sebesar biji kacang tanah, memadailah. Selepas memberus, tidak semestinya perlu berkumur. Jika mahu berkumur pun, boleh juga. Dalam ubat gigi ada fluorida yang boleh menguatkan gigi dan mengelakkan gigi berlubang.
4. Gunakanlah berus gigi untuk budak. Janganlah pakai berus gigi saiz mak pak. Mulut anak kan masih kecil. Biasanya berus gigi yang dijual ada disertakan label usia. Contohnya dua tahun ke bawah dan sebagainya.
5. Jika kita baru nak mula memberus gigi anak, buatlah lembut-lembut dan cepat-cepat supaya anak tidak menjadi trauma. Ini kalau memberus kasaq sampai menyakitkan gusi anak, memanglah anak tak nak giginya diberus lagi. Ibu bapa belajarlah bertenang. Kalau ada darah yang keluar, itu petanda banyaknya sisa makanan yang melekat pada gigi dan lamanyaaa kita tak beruskan gigi anak. Stay calm and keep on brushing, gently!
Ads
6. Apabila anak dah biasa giginya diberus, bolehlah memberus lebih lama dan lebih kerap. Bila bagusnya nak berus gigi ni? Sebaiknya ketika bangun pagi dan sebelum tidur. Tetapi ikut mudah masing-masinglah. Sekali sehari pun memadai. Dua kali sehari memang terbaik. Jangan tak memberus langsung sudahlah ya.
7. Biasanya anak suka buat apa yang dia biasa nampak. Kalau anak nampak Emak selalu main telefon, anak pun suka nak main telefon. Kalau anak nampak Ayah selalu merokok, anak pun ada kemungkinan berpotensi menjadi perokok apabila dewasa nanti. Eh, dah keluar topik ?? Maksud saya, pastikan anak nampak kita memberus gigi. Contohnya semasa memandikan anak, kita pun memberuslah gigi. Macam anak saya selalunya akan meminta berus gigi yang saya pegang. Bagilah, supaya anak kenal dengan berus gigi.
8. Semakin anak membesar, berilah peluang kepada anak untuk memilih warna berus gigi yang digemarinya. Mungkin ini boleh menjadi motivasi untuk anak memberus gigi.
9. Semasa memberus, cubalah bercakap dengan anak. Sama ada menyanyi ataupun memberi semangat kepadanya. Jangan lupa untuk memuji anak setelah selesai memberus gigi. ‘Eh cantik gigi Yusuf.’ Ini ayat biasa saya.
10. Boleh juga cuba ajar anak memberus gigi ‘teddy bear’ di rumah. Beri anak memegang berus gigi dan peluang untuk memberus gigi mainan. Mungkin anak akan berasa seronok dan faham tentang proses memberus gigi.
Selamat mencuba, jika masih tidak berjaya, bolehlah berjumpa dengan kami untuk mendapatkan tips yang lain pula.
Pelik juga bila ada yang bangga berjaya kawal anak sendiri. Bangga anak patuh arahan. Bangga anak tak pandai meminta-minta.
Kesian anak tu!
Bukan kesian sebab kena control tapi kesian sebab mak ayah tak beri peluang pada dia untuk latih kawalan diri ( self-control ) sejak kecil.
Berikut perkongsian dari seorang bapa, Mohd Fhais yang banyak berkongsi tip keibubapaan
Walaupun self-control tak buat anak jadi bijak tapi anak anda boleh jadi lebih berjaya dari budak bijak yang lain jika ada self-control ni.
Begitu besar manfaat anak yang boleh kawal diri sendiri.
Sebabnya;
1 – Disiplin penting kalau nak berjaya. Tanpa disiplin, otak bijak pun jadi sia-sia. Self-discipline terhasil bila anak ada self-control.
2 – Ada kajian mengatakan, anak yang tinggi self-control ni jarang ada masalah kemurungan atau depresi. Bermakna mereka bijak mengawal emosi sendiri.
3 – Berakhlak baik, tak menyampuk bila orang bercakap dan sopan santun depan orang tua. Anak yang kurang ajar tu bukan sebab dia nakal atau jahat tapi puncanya self-control dia lemah. Baiki self-control, nescaya dia akan jadi anak yang baik.
4 – Self-control terbahagi pada 3 kategori iaitu impulse control, emotional control dan movement control. Lengkap ketiga-tiga ni maknanya anak anda dah 50% berjaya dalam hidup dia.
5 – Motivasi tinggi dan tak cepat mengalah. Inilah 2 ramuan penting untuk berjaya. Tanpa motivasi diri jadi lemau, tak bersemangat. Tanpa hati yang cekal tak mudah mengalah, jadi hangat-hangat tahi ayam je la. Mula semangat tapi bila gagal sekali terus mengalah. Semua ni perlukan self-control dalam diri.
Oleh itu mak ayah sekalian, janganlah bangga sangat bila dapat control anak anda. Sebab yang anda berjaya control tu jasad anak sahaja, minda, emosi dan jiwa anak masih lagi “tak terkawal”.
Nak anak ikut cakap anda, anda tak perlu bagi arahan pun. Cukup sekadar jadi “influencer” pada mereka. Jadi orang paling berpengaruh dalam hidup mereka.
Nak anak berubah jadi apa yang anda idamkan? Anda dulu kena ubah diri anda jadi seperti yang anda idamkan.
Kita tak boleh kawal dan ubah orang lain termasuk anak sendiri, tapi kita confirm boleh kawal dan ubah diri sendiri. Ini bukan janji tapi pasti!
Dayyan panjat uhh! Netizen kata anak black panjang akal turun tangga gear reverse. Gelagatnya yang lucu dan aksi bersahaja membuat orang tak kering gusi. Jom tonton video ni!
Terbaru, Black kongsikan video anaknya Khaleef Dayyan yang berjaya melepasi tangga yang diletakkan pada bahagian bawah tangga menuju ke tingkat atas rumahnya. Keadaan itu akhirnya disedari Black & isteri yang meminta Dayyan turun. Maka bermula sesi soal jawab Black dengan Dayyan dengan perbualan yang mencuit hati.
Masa ni Khaleef Dayyan umur 2 tahun,dah panjang akai!!!
Tutup la kot mana pon pakai pagaq dia pasti ada jalan penyelesaian utk keluaq!!
Yang melucukan apabila Dayyan mengatakan Dayyan Panjat Uhh seolah-olah satu pencapaian besar dicapainya dan menari-nari apabila berjaya turun.
Para follower Black memberikan komen yang pelbagai tapi rata-ratanya memuji kebijaksanaan Dayyan sejak kecil lagi. Kata mereka, Dayyan memang panjang akal! Semuanya pasti terhibur dengan aksi anak kecil ini.
Masa dan jenis simptom pertama autisme mungkin berbeza antara individu. Sesetengah kanak-kanak dengan autisme menunjukkan masalah dalam beberapa bulan pertama kehidupan.
Sementara yang lain, simptom mungkin tidak jelas kelihatan sehingga 24 bulan atau lebih. Sesetengah kanak-kanak dengan autisme kelihatan berkembang secara normal sehingga usia sekitar 18 hingga 24 bulan dan kemudian berhenti bertambah kemahiran baru dan/atau mula kehilangan kemahiran sedia ada.
Ciri-ciri autisme yang mungkin boleh dikesan pada masalah perkembangan bayi dan kanak-kanak termasuklah:
Menjelang 6 bulan, tiada senyuman sosial atau ekspresi mesra kepada orang lain
Menjelang 6 bulan, tidak memandang atau kurang memandang orang
Menjelang 9 bulan, tiada perkongsian suara, senyuman atau komunikasi tanpa lisan yang lain
Menjelang 12 bulan, tidak berceloteh seperti bayi lain
Menjelang 12 bulan, tiada penggunaan isyarat untuk berkomunikasi (contohnya; menunjuk, mencapai, melambai)
Menjelang 12 bulan, tiada respon apabila nama dipanggil
Menjelang 16 bulan, tiada perkataan yang diucapkan
Menjelang 24 bulan, tiada frasa dua perkataan yang bermakna
Sebarang kehilangan kemahiran bercakap, berceloteh atau kemahiran sosial yang sebelumnya ada.
Apabila kanak-kanak semakin berusia, ciri-ciri autisme menjadi lebih variasi. Terdapat pelbagai bentuk tanda dan simptom, tetapi kebiasaannya melibatkan masalah kemahiran sosial, masalah percakapan dan bahasa, masalah komunikasi tanpa lisan, dan kelakuan yang tidak fleksibel.
Ciri-ciri autisme
Kesukaran bersosial
Interaksi sosial yang asas boleh menjadi sukar bagi kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme. Ramai kanak-kanak dengan spektrum autisme kelihatan lebih suka hidup di dunia mereka sendiri, menyendiri dan terpisah dari orang lain. Ini dapat dilihat pada tanda-tanda berikut:
Kelihatan tidak tertarik atau tidak menyedari orang lain atau apa yang berlaku di sekelilingnya
Tidak tahu bagaimana untuk berhubung dengan orang lain, bermain, atau berteman
Tidak suka disentuh, dipegang, atau dipeluk
Tidak tahu bermain dengan meniru: tiada permainan berkumpulan, meniru orang lain atau menggunakan mainan dengan cara yang kreatif
Mempunyai masalah memahami perasaan atau bercakap tentangnya
Kelihatan tidak memberi perhatian apabila orang lain bercakap dengannya
Tidak berkongsi minat atau pencapaian dengan orang lain
Kesukaran bercakap dan berbahasa
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme mengalami kesukaran dengan percakapan dan bahasa. Mereka selalunya mula bercakap pada usia yang lewat dan menampakkan tanda-tanda berikut:
Bercakap dalam nada suara yang tidak normal, atau dengan irama atau nada ganjil (contohnya mengakhiri setiap ayat seperti mengajukan pertanyaan)
Mengulangi perkataan atau frasa yang sama berulang kali, selalunya tanpa niat untuk berkomunikasi
Menjawab soalan dengan mengulanginya, dan bukannya menjawabnya
Menggunakan bahasa secara salah (kesilapan tatabahasa, perkataan yang salah) atau merujuk dirinya dengan kata ganti diri ketiga
Mempunyai kesukaran menyampaikan keperluan atau keinginan
Tidak memahami arahan, pernyataan, atau soalan mudah
Memahami dengan literal (tidak memahami jenaka dan sindiran)
Kesukaran berkomunikasi secara bukan lisan
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme mempunyai masalah untuk menangkap isyarat bukan lisan dan bahasa badan. Ini menjadikan interaksi dua hala dalam hubungan sosial sangat sukar.
Mengelakkan pandangan
Menggunakan ekspresi muka yang tidak sepadan dengan apa yang dikatakannya
Tidak dapat menangkap ekspresi wajah, nada suara dan gerak tubuh orang lain
Jarang membuat gerak isyarat (seperti menunjuk). Mungkin kelihatan dingin atau seperti robot
Bertindak balas secara luar biasa terhadap ransangan visual, bau, tekstur, dan bunyi. Mungkin sangat sensitif terhadap bunyi-bunyi kuat. Boleh juga tidak bertindak balas terhadap orang yang masuk / keluar, serta usaha orang lain untuk menarik perhatiannya
Postur badan yang tidak normal, kelam-kabut, atau bergerak dengan aneh (contohnya, berjalan dengan terjungkit)
Bersikap tidak fleksibel
Kanak-kanak yang mengalami gangguan spektrum autisme sering membataskan diri dengan satu aktiviti, tidak fleksibel kepada perubahan dan juga obsesif dalam tingkah laku, aktiviti, dan minat mereka. Ini dapat dilihat dengan ciri-ciri seperti berikut:
Mengikut rutin yang tegar (contohnya, berkeras untuk mengambil laluan tertentu ke sekolah)
Sukar untuk menyesuaikan diri dengan sebarang perubahan dalam jadual atau persekitaran (contohnya, mengamuk jika perabot disusun semula atau tidur pada masa yang berlainan daripada biasa)
Kebergantungan yang luar biasa kepada mainan atau objek pelik seperti kunci, suis lampu, atau getah rambut. Terlalu obses menyusun atau mengaturkan benda dengan susunan tertentu
Terlalu minat pada sesuatu topik yang khusus, selalunya yang melibatkan nombor dan simbol (contohnya, menghafal dan membaca fakta tentang peta, jadual kereta api, atau statistik sukan)
Meluangkan masa yang lama menonton objek bergerak seperti kipas siling, atau memberi tumpuan kepada satu bahagian tertentu objek seperti roda kereta mainan
Mengulangi tindakan atau pergerakan yang sama berulang kali, seperti mengibas tangan, menggoyangkan diri, atau berpusing.
Ciri-ciri berikut mencadangkan seorang kanak-kanak berisiko mempunyai autisme. Sesetengah kanak-kanak tanpa autisme mungkin mempunyai beberapa tanda-tanda ini, dan tidak semua kanak-kanak dengan autisme menunjukkan semua ciri-ciri autisme ini. Disebabkan itu, penilaian lanjut adalah sangat penting. Jika anak anda mempamerkan sebarang ciri-ciri berikut, sila dapatkan penilaian pakar.
Gara-gara tidak mementingkan kesihatan diri, seorang pemuda menderita menghidapi sakit buah pinggang kronik.Ia berlaku akibat tidak menjaga pemakanan hariannya dengan mengamalkan tabiat makanan tidak...