Andainya sakit anak boleh dipindahkan, semua ibu bapa pasti sanggup. Tapi apakan daya, itu adalah takdir yang telah ditentukan. Percayalah setiap ibu bapa yang terpilih dengan ujian anak sakit ini, Allah tahu kita mampu menghadapinya.
Walaupun di dunia kita diuji, di sana nanti pasti ada ganjaran yang Allah akan berikan. Seperti perkongsian ibu ini, Puan Norunajwa Safiei pemergian anaknya yang berjuang dengan sakit kanser darah akan menjadi kenangan buat selama-lamanya.
Penyakit yang paling ditakuti Allah uji pada anak
Tarikh 4 Februari setiap tahun adalah tarikh Hari Kanser Sedunia. Izinkan saya berkongsi kisah anak Syurga saya Adam yang diuji sakit kanser.
Sewaktu dimaklumkan anak menghidapi sakit kanser darah (leukimia) hati bagai tidak percaya. Lutut rasa lemah. Kepala rasa sakit bagai di hempap batu yang besar. Penyakit yang paling ditakuti akhirnya di alami oleh anak sendiri.
Hanya air mata sebagai peneman
Air mata sentiasa menjadi peneman. Anak saya juga sering menangis. Mungkin masih terkejut dengan suasana wad yang sangat asing baginya. Akhirnya, atas sokongan keluarga dan rakan-rakan, saya tanamkan dalam diri yang saya perlu positif.
Perlu kuat di hadapan anak agar anak lebih kuat semangat. Walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Tapi saya cuba kelihatan tenang dan bagaikan tiada apa yang berlaku. Sentiasa layankan dan hiburkan hatinya.Berusaha untuk buat mereka tersenyum. Saya tidak mahu anak saya sedih. Tipulah jika saya tidak menangis. Tapi elakkan menangis di hadapannya.
Pengorbanan buat anak
Lama kelamaan anak saya juga semakin positif. Dia sentiasa tersenyum walaupun menanggung sakit yang dihadapinya. Sakit kanser bukan seperti sakit demam biasa. Tapi terlalu banyak ujian yang dialaminya selepas kimoterapi seperti ulser, demam, sakit badan. Bergantung kepada antibodi masing- masing.
Ujian yang dilalui buat saya lebih belajar. Belajar erti sebuah pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran. Pengorbanan seorang ibu yang amat kasih dan sayangkan anaknya. Juga kesabaran dalam menjalani hari-hari bersama mereka.
Tanggal 27 Ogos Allah jemput kembali pada-Nya
Sungguh, kadangkala runtun hati saya sebagai seorang ibu bila melihat rawatan yang diterimanya di kala umur masih kecil begitu. Namun, bila memikirkan itu salah satu usaha, saya perlu juga kuatkan hati.
Akhirnya tanggal 27 Ogos 2020 anak saya pergi jua. Walaupun berat, tapi saya sekeluarga redha dan ikhlas. Berbaik sangka dengan Allah. Ada hikmah atas perancanganNya. Sakit cuma asbab.
Hakikatnya masa mereka telah tiba. Allah lebih sayangkan mereka. Hilang sudah segala kesakitan mereka. Buat ibu bapa yang diuji anak sakit kanser atau sakit lain, moga kalian sentiasa di permudahkan urusan.
Diberikan kekuatan dan kesabaran. Hanya kepada Allah kita memohon. Anggap ini sebagai satu ujian dan hikmah. Jika ada keluarga atau rakan yang mengalami situasi yang sama, berikanlah kata semangat. Kata semangat juga mampu untuk membuatkan mereka lebih kuat.
-Mama Wildan Syurga Muhammad Adam Furqan-
Kredit: Norunajwa Bt Safiei
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)