“Adik Bangunlah Minum Susu, Mama Rindu” Rintihan Ibu Selepas Anak Selesai Pembedahan Buang Ketumbuhan

Share

“Mama rindu adik… bangunlah minum susu,” demikian rintihan mengundang sebak Nur Fitri Basril apabila bayinya masih belum sedar selepas pembedahan membuang ketumbuhan bersaiz 10 sentimeter (cm), pagi semalam.

Nur Fitri, 29, adalah ibu kepada bayi berusia setahun 11 bulan, Muhammad Anaqi Fayyadh Abu Zar atau mesra disapa adik yang didiagnos ketumbuhan otak pada 21 Jun lalu.

Wanita itu berkata, kali terakhir dia menyusukan bayi lelakinya itu kira-kira 5 pagi semalam sebelum pembedahan dijalankan di Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Katanya, sejak mengiringi bayinya ke dewan pembedahan 10 pagi semalam, dia masih tidak dapat melihat bayinya dan mengalami bengkak susu.

“Sejak itu saya alami bengkak susu dan setiap saat teringatkan adik.

“Saya rindu dan risaukan adik, mesti dia kehausan kerana setiap jam biasanya dia akan menyusu.

“Walaupun bengkak susu, saya tetap bertahan dan menunggu adik bangun kerana dia tidak mahu minum susu dalam botol,” katanya ketika.

Nur Fitri berkata, dia kini masih menunggu maklum balas daripada doktor mengenai keadaan dan perkembangan terkini anaknya itu.

“Saya dimaklumkan pembedahannya selesai kira-kira 7 malam semalam.

“Doktor terpaksa tidurkannya supaya dia boleh berehat kerana ada pendarahan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).

“Kini, saya masih berdebar menunggu panggilan daripada doktor mengenai keadaan terkini adik. Harap sangat ada berita baik,” katanya.

Katanya, dia mengharapkan rakyat Malaysia turut mendoakan kesembuhan serta keadaan kesihatan anak keduanya itu bertambah baik.

“Sebagai ibu saya tidak putus-putus berdoa mudah-mudahan ada keajaiban buat adik.

“Saya juga berharap rakyat Malaysia sudi mendoakan untuk adik,” katanya.

Penderitaan bayi itu mula mendapat perhatian di TikTok selepas bapa saudaranya iaitu adik ipar Nur Fitri berkongsi video bayi itu memerlukan bantuan kos perubatan dengan anggaran kurang RM100,000.

Kredit: Hmetro

 

Pelajari ilmu penyusuan untuk menjayakan bf journey mama bersama pakar-pakar bertauliah di webinar Mama Nak Susukan Anak. Daftar sini : https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-nak-susukan-anak/

 

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
NuFa