“Adik Doakan Mama Papa Tadi” Bila Anak Selalu Mendoakan Kita, Itu Tanda Kejayaan Kita Mendidik Anak

Share

“Adik doakan mama papa tadi dekat sekolah” kalau anak-anak sentiasa menyebut tentang doa kepada kedua ibu bapanya, itu antara salah satu tanda kejayaan anda dan pasangan dalam mendidik anak-anak.

Impian setiap ibu bapa pastinya ingin mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah. Perkongsian daripada Puan Hjh.Zaharah Awang Ibu Zarah boleh menjadi penanda aras untuk kita mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah.


Antara perkongsiannya:

Kalau kita berasa sukar mendidik anak bersabarlah. Tengoklah betapa sukar kita nak didik diri sendiri untuk istiqamah solat awal waktu, solat berjemaah, baca Quran sekurang-kurangnya semuka sehari, puasa Isnin Khamis dan sebagainya… tambah lagilah untuk mendidik orang lain…maka bersabarlah dalam mendidik. Dalam banyak keadaan matlamat kita untuk anak-anak sudah benar tapi kebenaran kerap tewas kerana tidak sabar dan tidak bijaksana.

Tuntutlah ilmu berterusan walaupun perkara asas. Biarlah kita mati semasa menuntut ilmu.

JANGAN LABEL ANAK. BOLEH KATA ANAK MALAS TAPI JANGAN LABEL DIA ‘PEMALAS’. PANGGIL NAMA ANAK DENGAN NAMA YANG BAIK SEBAB ITU ADALAH LABELNYA.

Letakkan misi dan visi yang jelas kepada anak. Jadi hamba Allah yang baik. Ilmu wahyu adalah asas menjadi hamba Allah yang baik. Ditambah dengan acquired knowledge ilmu akademik. Sesungguhnya lebih SUKAR didik anak jadi BAIK daripada didik anak jadi CERDIK.

Anak bukan milik kita tapi amanah kepada kita. Didiklah anak mengikut kehendak pemberi amanah. Jangan bawa anak-anak kepada kita, bawalah anak-anak kepada Allah.

Ibu sama dengan Ramadhan sebab ibu adalah madrasah anak-anak dan Ramadhan adalah madrasah ummah. Ibu ada cuaca dalam rumahtangga. Doa ibu lebih mustajab dari doa ayah kerana sayangnya lebih berakar kepada anak daripada ayah.Sebab itu hadiah terbaik seorang ayah untuk anaknya adalah mencintai ibu anak tersebut (isterinya) sepenuh hati.

Pendidikan anak-anak bermula di saat seorang lelaki mencari calon isterinya. Yang sudah berkahwin dan ada anak-anak tidak terlambat untuk membuat kebaikan…didiklah isteri berterusan. Ceriakan isteri maka cerialah rumahtangga.

Didiklah anak dengan Al Quran. Ibnu Sina hafiz pada masa umurnya 7 tahun. Ini antaranya kerana semasa dalam kandungannya ia telah dididik oleh ibu yang hafizah. Kita bukan hafiz tapi pastikanlah anak-anak sekurang-kurangnya kenal huruf Al Quran melalui kita. Ambillah barakah ini.

IBU BAPA PEMIMPIN KEPADA ANAK-ANAK. PEMIMPIN YANG BAIK ADALAH YANG BESAR PENGARUHNYA KEPADA ANAK. SEKARANG NI ANAK TADIKA LEBIH PERCAYA USTAZAH DI SEKOLAH DARI IBU BAPANYA. ANAK REMAJA LEBIH PERCAYA KAWAN DARI IBU BaAPANYA. AKHIRNYA IBU BAPA HILANG PENGARUH KERANA DUNIA TAPI SEMPADAN AMAT BESAR PENGARUHNYA.

Tingkatkanlah pengaruh dari rasa percaya dan kepercayaan. Dalam rumahtangga, dipercayai adalah lebih utama daripada dicintai. Contoh: Berapa ramai isteri yang mencintai suaminya tapi tidak mempercayainya…

Walk the talk. Didiklah diri kita dalam usaha mendidik anak-anak kita. Bantulah anak-anak menjadi soleh dan solehah dengan membanyakkan amalan SUNAT. Oleh itu, untuk mendidik anak-anak mengerjakan amalan wajib didiklah diri kita mengerjakan amalan sunat.

Niatkanlah kebaikan yang kita lakukan seperti sedekah banjir dan sebagainya tawasul anak menjadi baik. Contoh: moga dengan sedekah ini, tetaplah solat anak-anakku..

Sayangilah anak-anak kerana kita sayang dia bukan kerana dia sayang diri kita. Contoh: kita jadikan anak-anak kuda lumba untuk kebanggaan kita. Anak dapat result yang baik terus ruar-ruarkan… anak yang tak dapat elok diamkan dan dimarah kerana memalukan kita… jangan membezakan anak-anak yang pandai dengan yang kurang pandai

Ibu bapa muhasabah diri, mohonlah hidayah dan agar mudah dalam mendidik anak-anak.

Published by
Nik Nurul Fatin Nik Mahmud