“Adik jangan bersulam air, nanti buncit” pernah dengar tak ayat ni? Biasanya mak-mak sangat marah jika bersulam air. kononnya akan menyebabkan perut buncit? Tapi benarkah tabiat itu punca kepada masalah sistem pencernaan?

“Adik Jangan Bersulam Air, Nanti Buncit Perut” Sebenarnya Minum Air Kosong Bagus, Hilang Kalori

Berikut 3 mitos yang sering menjadi kepercayaan ramai.

Makan sambil minum punca perut buncit?

Terdapat dakwaan kononnya tabiat makan bersulam air ini boleh mendatangkan masalah pada sistem pencernaan.

Ada juga mengatakan makan sambil minum boleh menyebabkan toksin terkumpul dan akhirnya mewujudkan pelbagai masalah kesihatan.

Pastinya anda mungkin tertanya-tanya adakah benar segelas air yang diminum sambil makan itu boleh memberikan kesan negatif – atau ia sekadar mitos yang menjadi kepercayaan kebanyakan individu, kan?

Memahami sistem pencernaan

Pertama sekali, untuk mengetahui mengapa tabiat makan sambil minum dianggap boleh menjejaskan fungsi sistem pencernaan, anda perlu memahami bagaimana proses pencernaan yang normal.

Umumnya, proses tersebut bermula sebaik sahaja anda mula mengunyah makanan di dalam mulut.

Apabila kunyahan dimulakan, ia petanda kelenjar air liur anda mula menghasilkan air liur yang mengandungi enzim untuk membantu memecahkan makanan.

Sebaik sahaja makanan yang dikunyah itu tiba ke bahagian perut, ia akan bercampur dengan jus gastrik berasid. Jus ini berfungsi untuk memecahkan dan menghasilkan cecair pekat yang dikenali sebagai chyme.

Saluran usus

Pada saluran usus kecil, chyme akan bercampur dengan enzim pencernaan daripada pankreas dan asid hempedu yang dihasilkan hati.

IKLAN

Ia akan memecahkan chyme dan menyediakan nutrien untuk diserap ke dalam aliran darah tubuh anda.

Sebahagian besar nutrien diserap ketika chyme bergerak melalui usus kecil anda. Hanya sebahagian kecil nutrien yang tertinggal untuk diserap apabila tiba ke saluran usus besar.

Apabila nutrien memasuki saluran darah, ia akan bergerak ke pelbagai organ dan bahagian tubuh anda.

Proses sistem pencernaan akan berakhir apabila bahan-bahan yang tersisa disingkirkan daripada badan.

Bergantung kepada jenis makanan yang anda makan, proses pencernaan boleh memakan masa antara 24 hingga 72 jam. Lama, kan?

Tabiat makan sambil minum punca masalah sistem pencernaan?

Pengambilan air yang secukupnya pada setiap hari menawarkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada tahap kesihatan.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah individu yang mempercayai bahawa tabiat makan sambil minum adalah idea yang tidak baik.

Berikut adalah 3 kepercayaan biasa yang menjadi hujah untuk menyokong dakwaan bahawa air atau cecair yang diminum sambil makan boleh mendatangkan risiko bahaya kepada sistem pencernaan.

IKLAN

Hujah 1: Minuman beralkohol dan berasid jejaskan fungsi air liur
Bagi sesetengah individu, mereka berpendapat bahawa mengambil minuman beralkohol atau berasid dengan makanan akan mengeringkan air liur.

Keadaan tersebut sekali gus akan menyebabkan tubuh sukar untuk mencerna makanan.

Sememangnya alkohol mengurangkan penghasilan air liur sebanyak 10 hingga 15% per unit alkohol. Tetapi ia tidak melibatkan minuman dengan kadar kepekatan alkohol rendah seperti bir atau wain.

Manakala, minuman berasid pula akan meningkatkan rembesan air liur.

Pada akhirnya, tiada bukti saintifik untuk mengesahkan minuman beralkohol atau berasid yang diambil secara sederhana boleh memberikan kesan negatif kepada pencernaan ataupun penyerapan nutrien.

Hujah 2: Air, asid perut dan enzim pencernaan
Banyak dakwaan menyatakan makan sambil minum air akan mencairkan asid perut dan enzim pencernaan. Ini akan menjadikan tubuh lebih sukar mencerna makanan.

Pun begitu, dakwaan yang menunjukkan sistem pencernaan tidak dapat menyesuaikan rembesannya dengan konsistensi makanan adalah salah.

Hujah 3: Cecair dan kelajuan proses pencernaan
Kepercayaan ketiga yang sering digunakan sebagai hujah adalah cecair yang diambil semasa makan akan meningkatkan kelajuan makanan pejal disingkirkan daripada perut.

IKLAN

Ini dianggap dapat mengurangkan waktu hubungan makanan dengan asid perut dan enzim pencernaan, sehingga menjejaskan pencernaan.

Malangnya, tiada kajian saintifik yang menyokong dakwaan ini.

Bahkan, dalam kajian pemerhatian yang menganalisis proses pengosongan perut menunjukkan, walaupun cecair melalui sistem pencernaan lebih cepat daripada pepejal, namun ia tidak mempengaruhi tahap kelajuan pencernaan makanan pejal.

Kesimpulannya – makan sambil minum sama ada air, minuman beralkohol atau berasid tidak akan menjejaskan proses pencernaan makanan dalam tubuh anda.

Tabiat makan sambil minum kurangkan pengambilan makanan
Hakikatnya, makan bersulam air boleh memberikan anda ‘masa berehat’ di antara setiap kunyahan makanan.

Ia secara tidak langsung membuat anda mempertimbangkan sama ada diri sudah berasa kenyang atau masih lapar.

Ini pastinya dapat mengelakkan tabiat makan berlebihan dan membantu menurunkan berat badan.

Bantu bakar kalori

Malahan, melalui hasil kajian 12 minggu yang dilakukan, peserta yang minum 500 ml air sebelum makan kehilangan 2 kg lebih banyak berbanding mereka yang tidak.

Penyelidikan juga menunjukkan bahawa minum air boleh mempercepatkan metabolisme tubuh sekitar 24 kalori untuk setiap 500 ml air yang diambil.

Perlu diingatkan bahawa kebanyakan cecair yang diambil adalah air kosong dan bukannya air yang mengandungi kalori tambahan.

Berdasarkan satu tinjauan, jumlah pengambilan kalori adalah 8 hingga 15% lebih tinggi apabila seseorang individu itu makan sambil minum air bergula, susu, atau jus.

Oleh itu, jadikan tabiat minum air kosong sebagai satu pilihan yang sihat dan bukannya air manis, okay?

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI