Pempengaruh media sosial, Adira Salahudi yang kini sedang menanti kelahiran cahaya mata ketiga sempat menjawab pelbagai pertanyaan pengikutnya mengenai perancangan hamil.
Menerusi sebuah posting di Instagram Story, Adira menjawab satu soalan daripada netizen berhubung perancangannya dan suami untuk mendapatkan cahaya mata.
Menurut Adira, dia tidak pernah merancang soal anak namun dia dan suami direzekikan untuk menimang cahaya mata cepat kerana dia bunting pelamin semasa bulan madu.
“Saya bunting pelamin masa bulan madu tetapi saya tak tahu. Paling tak percaya macam mana boleh mengandung awal sangat. Mungkin waktu menikah tu saya tengah subur.
“Alhamdulillah, Allah hadirkan Arsel secepatnya. Kemudian secara tak sengaja, saya mengandung Alva masa Arsel empat bulan. Sumpah tak kelakar. Memang trauma dan silap langkah.
“Tapi setiap anak pembawa rezeki masing-masing. Mengandung dia paling senang sampai berpantang. Cuma beranak sakit,” kongsinya.
Adira yang kini sedang menanti kelahiran anak ketiganya mula rasa rindu untuk kembali mengandung selepas tiga tahun.
“Sekarang saya dah boleh fokus kerja dan ada pembantu. Jadi tengah menghitung hari anak ketiga keluar dengan selamat. Doakan Adira ya,” tulisnya.
Terdahulu Adira dan suaminya, Ammar Azizzan mendirikan rumah tangga pada 3 Oktober 2019. Pasangan ini dikurniakan dengan dua orang cahaya mata dan bakal menantikan kelahiran anak ketiga mereka.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bukaan Dah 4cm, Tunggu Nak Pecahkan Air Ketuban, Beruntungnya Doktor Tetap Jaga Solat Ibu Ini
Ibu bakal bersalin biasanya dah tak mampu nak buat apa-apa bila sedang menahan contraction, hinggakan waktu solat pun terlepas begitu sahaja. Ini kerana dalam keadaan tersebut semua itu dah tak boleh nak fikir.
Malah ada yang beranggapan solat boleh qadar semula. Mungkin ya tapi adakah kita pernah terfikir ada cara mudah boleh dilakukan selagi belum sampai waktu untuk melahirkan anak.
Perkongsian dari Dr Nur Hanisah ini benar-benar bermanfaat dan memberi satu gambaran jelas mengenai situasi solat perlu dijaga selagi kita belum melahirkan anak.
Doktor bercakap kepada pesakit.
“Puan, kita nak tolong pecahkan air ketuban ya. Sebabnya, kita nak bila pecah, kepala baby mudah turun. Jalan pun makin buka nanti.”
Dia mengangguk.
Sebelum doktor sempat memasukkan jari, matanya mengerling ke arah jam pada dinding. Kemudian memandang wajah pesakit yang sedang berbaring. Rupanya dia teringat sesuatu.
“Eh. Puan dah solat Zuhur?”
Pesakit itu menggeleng.
“Oh. Puan solat dulu lah kalau macam tu. Saya buat lepas puan solat, boleh?”
Berkerut dahi pesakit yang sememangnya sudah sarat untuk bersalin.
“Boleh qadha’ nanti kan, doktor?”
Doktor terdiam sejenak.
Selagi Belum Bersalin Wajib Solat
“Oh. Hmm. Tapi selagi puan belum bersalin lagi, kira wajib lagi untuk solat, puan. Lagi pun, puan baru 4cm ni.”
“Tapi tadi dah keluar darah, doktor. Boleh ke solat?”
Terukir senyuman di bibir doktor itu.
“Boleh… Tak ada masalah.”
“Nak ambil wudhu’ macam mana doktor?” Soal dia lagi. Kurang yakin dengan arahan yang didengari. Asing barangkali.
“Kat sebelah ni ada toilet. Boleh ambil wudhu’. Lepas tu, boleh solat kat tepi katil ni je. Kalau tak larat, solat atas katil sambil duduk pun boleh.” Doktor tetap cuba meyakinkan lagi dan lagi.
Pesakit itu sudah mula duduk. Tapi masih tidak berganjak daripada katil. Riak wajahnya kelihatan teragak-agak. Entah apa yang bermain dalam fikirannya.
Doktor yang seakan memahami, menyoal sekali lagi.
“Sakit kuat ya, puan?”
Dia mengangguk.
Ambil Wuduk Guna Spray
“Ok. Tak apalah kalau macam tu. Kita ambil wudhu’ pakai spray je. Sekejap puan, ya.”
Doktor berlalu keluar daripada langsir yang menutupi katil pesakit itu tadi. Dia mendekati misi yang sedang sibuk menulis di atas meja.
“Kak, patient ni nak solat. Ada spray wudhu’ tak kat sini?”
“Ada, doktor. Kejap. Kak pergi ambil.”
“Telekung dengan sejadah ada, kak?”
“Ada. Doktor pergi ambil kat almari dalam bilik tu,” tuding dia ke arah satu bilik lain pula.
“Ok. Terima kasih, kak.”
Sudahnya, doktor sendiri membantu pesakit itu untuk mengambil wudhu.
“Kesian doktor. Basah baju doktor.”
“Eh tak apa. Sikit je ni.”
“Saya tak pernah lagi ambil wudhu’ macam ni.”
“Yeke? Takpe, takpe. Kita belajar sama-sama.” Senyum doktor itu sambil galak menekan spray, mengenakan air pada setiap anggota wudhu’ pesakit.
“Puan kalau tak boleh solat duduk, solat sambil baring pun tak apa. Kiblat arah sana, ya. Doa banyak-banyak. Minta Allah mudah proses bersalin.”
Sebelum doktor beredar, sempat lagi dia berpesan,
“Oh ya, puan. Jamak sekali ya solat Zuhur dengan Asar. Buat empat rakaat, empat rakaat.”
“Baik, doktor.”
Dan akhirnya, satu gambaran suasana yang cukup indah berlaku di hadapan mata saya.
Pesakit yang tadinya ragu, kemudian terbaring di atas katil dengan badan yang dibaluti telekung putih.
Subhanallah. Mudah-mudahan, solat itu menbuahkan khusyuk buat dirinya. Mungkin solat itu juga yang paling bermakna dalam seumur hidupnya.
MashaaAllah!
Saya yang menyaksikan kejadian pada hari itu berasa begitu terharu. Jarang jumpa doktor yang betul-betul menitikberatkan soal solat pesakit.
Mungkin boleh kata, tak pernah dijumpa. Tetapi rupa-rupanya, masih ada.
Ya Allah. Rahmatilah dirinya. Jadikanlah dia seorang doktor yang bermanfaat buat ummat. Jadikanlah lebih ramai doktor yang arif dan cakna tentang solat.
Doakan saya juga, agar dapat menjadi salah seorangnya.
Update:
Baca sambungan cerita SARAT (Bhg. 2) di sini >> https://www.facebook.com/100000873558802/posts/2006114496094316/
WAJIB baca yang ini juga! >>https://www.facebook.com/100000873558802/posts/2006322772740155/
Sumber: Dr Nur Hanisah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Ibu Dah Sarat Mengandung Sentiasa Bawa Barang Keperluan Bayi Ke Mana-Mana Pesan Jururawat!
Ibu yang sarat mengandung, pastikan anda sentiasa bawa barang keperluan bayi bersama ke mana sahaja anda pergi ya. Mungkin bagi ibu yang sudah berpengalaman melahirkan bayi beranggapan ia perkara remeh tapi kena ingat setiap kelahiran anak itu berbeza pengalamannya.
Tak semestinya anak pertama anda bersalin genap 40 minggu maka kelahiran anak kedua pun akan sama. Apatah lagi bagi ibu yang pertama kali melahirkan bayi, jangan ikut pengalaman ibu lain kerana setiap orang berbeza-beza pengalaman bersalin.
Pesanan penting yang dikongsi oleh Rosnalizawati Hamzah, jururawat yang berpengalaman bertugas di dewan bersalin sebuah hospital awam ini patut dijadikan panduan berguna oleh semua ibu yang sedang mengandung.
BERSALIN – APA YANG PERLU DI BAWA?
“Encik, ada bawa lampin bayi tak?”
Seorang jururawat bertanya kepada suami pesakit.
“Tak ada nurse. Saya tinggalkan dalam kereta,”
Tidak kurang juga ada yang menjawab begini. “Eh, tak ada lah. Ada kat rumah mak saya kat kampung. Saya ingat belum masanya nak bersalin sebab baru 36 minggu. Tak sangka tengah jalan-jalan, air ketuban pecah,”
Satu lagi jawapan “Saya ingat lambat lagi nak bersalin sebab tarikh jangka bersalin seminggu lagi,”.
Tidak semestinya tarikh jangkaan bersalin itu adalah tarikh yang betul-betul bayi akan keluar.Tidak kira pengalaman pertama ke, kedua ke, nasihat saya, 34-36 minggu kehamilan dan ke atas dah boleh buat persediaan. Get ready bila-bila boleh bersalin. Manalah tahu kot-kot terpecah air ketuban lepas tu bersalin. Maka, bawalah barang-barang keperluan ke mana jua anda pergi.
Kepada yang bakal menyambut orang baru, tahniah diucapkan. Bagi yang akan menyambut anak pertama, nah. Sedikit maklumat untuk membantu anda membuat persediaan.
Persediaan Fizikal:
1) Bajet
Lakukan persediaan awal dengan menyediakan bajet yang mencukupi untuk proses bersalin normal dan bersalin melalui pembedahan sekiranya perlu. Jangan bimbang, kos bersalin di hospital kerajaan berpatutan dan tidak akan mencecah ribuan ringgit sampai boleh beli tiket pergi ke London.
2) Lokasi hospital
Kenal pasti hospital yang berhampiran dengan rumah anda atau lokasi yang anda sedang berada bagi memudahkan anda untuk datang ke hospital dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.
Sekiranya anda mengandung anak yang kedua dan ke atas, atau mempunyai masalah kesihatan yang agak kronik, anda disarankan bersalin di hospital yang sama dengan kelahiran anak pertama bagi memudahkan pihak hospital melihat semula rekod lama anda sekiranya terdapat masalah.
3) Buku Merah
Sila bawa buku mengandung anda yang berwarna merah jambu tu di dalam beg anda dan bawa ia ke mana-mana saja anda pergi bagi memudahkan keadaan sekiranya berlaku kecemasan. Tidak perlu membawa buku merah seperti yang disebut oleh Zizan Razak di dalam lagu ‘Bawa Daku Pergi’. Itu buku merah pasport. Kalau buku mengandung anda warna lain pun tak apa, asalkan ada bukunya. Persediaan tu penting ya.
4) Surat Nikah
Sila bawa surat nikah/kad nikah (jika perlu) bagi membolehkan suami anda menemani anda di dalam dewan bersalin. Di hospital kerajaan, hanya suami yang sah sahaja dibenarkan menunggu di dewan bersalin. Bakal suami, bekas suami ataupun skandal tidak dibenarkan ya.
5) Maternity Pad
Kerapkali suami akan bertanya “Hospital tak sediakan ke? ” Anda dinasihatkan supaya membawa sendiri maternity pad kerana pihak hospital tidak ada menyediakan. Jika terlupa bawa, boleh dapatkan di hospimart berhampiran lobi hospital. Kenapa mesti maternity pad? Kerana maternity pad lebih tebal dan lebar. Cuba bandingkan pad maxi lebresse, kotex dengan maternity pad? Tak sama kan? Itu salah satu contohnya la.
6) Pakaian ibu
Elakkan daripada membawa pakaian yang terlalu banyak seperti anda baru sahaja lari dari rumah mak mentua kerana pihak hospital ada menyediakan pakaian hospital yang berwarna merah jambu. Cukup dengan hanya membawa baju untuk dipakai semasa discaj nanti. Kalau nak bawa dalam 2-3 persalinan pun masih dikira ok. Cuma jangan bawa satu almari.
Dan, suatu perkara lagi. Sila bawa seluar dalam yang bersesuaian dan disarankan seluar dalam di atas paras pusat bagi tujuan keselesaan ibu dan menjaga luka pembedahan sekiranya pembedahan terpaksa dilakukan. Harapnya dapat bersalin secara normal la ye. Janganlah request pembedahan.
7) Pakaian bayi
Seperti juga pakaian ibu, tidak perlu membawa pakaian bayi yang terlalu banyak kerana jika tiada apa-apa masalah, ibu dan bayi akan dibenarkan discaj dalam masa 24 jam. Jika bayi anda terpaksa dimasukkan ke sekolah asrama pun (dimasukkan ke wad kanak-kanak), bayi anda anda juga akan dipakaikan pakaian hospital.
Bagi ibu yang sibuk bekerja atau sibuk dengan pengurusan kehidupan harian, anda juga boleh membeli keperluan bayi ini secara online sahaja. Untuk lebih penjimatan, DPAM kini sedang mengadakan promo ‘free shipping’ untuk semua barangannya mulai 25 hingga 31 Julai 2019. Gunakan kod promo DPAMFS untuk dapatkan harga istimewa di DPAM!
Sila bawa bekalan lampin pakai buang yang mencukupi dan tidak dilupakan peralatan bayi seperti bedak bayi, syampu, losyen, tisu basah dan apa sahaja yang berkaitan.
8) Bahan makanan
Elakkan daripada membawa makanan yang terlalu banyak sehingga penuh almari seolah hendak berpiknik di PD ataupun Cherating dan bawa makanan yang dirasakan perlu sahaja. Bukan apa. Simpati pada suami yang mengangkut bakul besar ke sini sana. Bawa yang dirasakan perlu sahaja. Jangan pula bawa jajan sampai penuh bakul.
Persediaan mental.
1) Kelas antenatal
Ia perlu terutama bagi yang akan melahirkan anak pertama bagi menyediakan ibu dengan sedikit pengetahuan supaya ibu tidak terlalu terkejut berhadapan dengan prosedur apabila berada di dalam dewan bersalin dan supaya ibu tidak bertanya soalan yang sama berulang kali.
“Tadi dah cek, kenapa kena cek lagi? “
“Air ketuban dah keluar, baby tak lemas ke? “
“Kenapa saya makin sakit belakang ni misi?”
“Bila saya nak bersalin ni misi?”
Kenapa, kenapa dan kenapa.
2) Tanya encik google/yang pakar
Maksud bertanya encik google bukanlah bermaksud harus bergantung sepenuhnya pada internet tetapi dapatkan sedikit info tentang proses bersalin dan adalah penting untuk mendapatkan ilmu yang betul sebagai persediaan mental.
Tidaklah ibu melompat bila doktor melakukan pemeriksaan bukaan jalan. Dapatkan juga info dari yang berpengalaman dan sila rujuk jururawat di klinik berhampiran anda.
Yang penting, tolong jangan dapatkan info dari page-page bangang di facebook yang banyak memberikan info yang bukan-bukan.
3) Doa
Bagi yang beragama Islam, lakukan amalan yang baik dengan banyak berzikir, berselawat ke atas nabi, banyakkan membaca doa nabi Yunus serta amalan-amalan yang lain sebagai terapi diri dan semoga dipermudahkan proses bersalin.
4) Maaf
Jika boleh, mohonlah maaf pada orang-orang yang ada disekeliling anda terutama sekali encik suami dan minta agar dia mendoakan anda supaya mudah bersalin.
5) Pelihara tutur kata
Ucapkan kata-kata yang baik, lafazkan doa yang baik-baik dan dengar perkara yang baik-baik.
6) Sentiasa bersikap positif
Perkara Penting yang anda perlu tahu:
* Elakkan memberi botol susu dan puting tiruan kepada bayi yang baru lahir dan sekiranya anda terkantoi di depan jururawat, sila jangan marah kalau jururawat anda membebel.
Ada apa lagi yang tinggal? Sila tambah sendiri.
Oh! Senaman pernafasan jangan lupa berlatih buat ya!
Sumber: Rosnalizawati Hamzah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Ingatkan Biasa Perut Mengeras. Tak Sempat Belai & Pelukmu, Maafkan Ibu Sayang..”
“Luluh hati ibu saat mendapat tahu kamu dah tiada sayang.. Hanya tinggal beberapa minggu je lagi ibu, abah, abang dan kakak nak jumpa. Walaupun ujian ini sungguh berat, ibu terima takdir ini. Mulut mungkin boleh cakap sabar tapi dalam hati, ibu tetap merindui sampai bila-bila. Tak sangka hanya beberapa minit saja ibu dapat menatap wajahmu sebelum dikebumikan. ”
Perkongsian yang cukup menyentuh hati dari Puan Emy Salina mengenai kisah anak syurganya ini boleh dijadikan peringatan bersama buat ibu yang sedang mengandung.
Rasa sakit mengeras bahagian perut dan pinggang
Hari ni diberi sedikit kekuatan untuk berkongsi cerita dengan sahabat sekalian. 2 Ramadhan pukul 12.30 tengah malam, rasa sakit mengeras di bahagian perut dan pinggang. Saya cuba mencari posisi yang selesa dengan meletakkan bantal di bawah perut.
Nyenyak sungguh saya tidur masa tu. Sudah menjadi kebiasaan dengan usia kandungan 35 ++ minggu agak sukar untuk saya tidur, mana taknya, dengan tendangannya, sikunya memusing-musing, sungguh aktif baby masa tu. Tapi malam 2 Ramadhan tu tiada sebarang gerakan dan saya tidur nyenyak sampai pukul 5 pagi.
Mula rasa tak sedap hati
Bangun je terus kalut siapkan juadah bersahur, terfikir masa tu yang bayi tak bergerak. Maafkan ibu sayang. Dah selesai bersahur dan solat subuh, kalut pula siapkan anak-anak ke sekolah. Hati memang rasa lain macam tapi mengenangkan memang saya ada appointment dengan doktor dan misi pukul 8 pagi. Lepas hantar anak ke sekolah saya terus ke klinik ibu anak.
Tak bunyi degupan jantung baby
Awal tu jumpa jururawat dulu. Masa tengah periksa bunyi jantung tu memang tak dengar sebarang bunyi. Panggil la seorang jururawat buat benda yang sama. Tak dengar juga. Akhirnya jururawat suruh doktor scan. Waktu scan tu hati ni berdebar-debar..sah!!! Memang tak ada sebarang pergerakan kat jantung baby. Saya dah tak hiraukan sesiapa dah masa tu. Tak tahu nak rasa apa..Sedih, kecewa, marah pada diri sendiri. Macam-macam saya rasa.
Call suami sambil nangis..anak kita dah tak ada
Berat tangan nak bagitau suami tapi saya gagahkan juga. Waktu call suami, dengar je suara dia..saya dah macam orang gila masa tu. Tak boleh cakap, menangis je. Saya gagah juga bagitau suami yang anak kita dah tak ada. Dah meninggal. Suami cuba tenangkan saya, hari tu juga saya naik ambulans terus ke hospital. Sampai hospital kat PAC pukul 10 lebih doktor pakar confrimkan sekali lagi, sah memang baby dah tak ada.
Doktor buat emergency czer
Saya kena segerakan sebab waktu scan tu perut baby nampak dah membuncit. Pukul 2 lebih macam tu, saya kena czer. Waktu czer tu doktor terkejut saya operate dah 4 kali yang last ni jadi 5 kali. Rahim saya cantik lagi, mudah nak belah dan jahit semula.
Tak sempat ibu nak belai dan peluk
Jadi saya bagitau doktor tak payahlah ikat kalau dah cantik, tapi doktor suruh ikat juga takut risiko kalau mengandung lagi. Baby keluar berat 3.09 kilogram, besar juga..anak lelaki. Alhamdulillah cukup sifat. Jururawat bawa kat saya baby tu tunjuk jantina. Lepas tu bagitau nak mandikan baby.
Selesai pembedahan, saya masih menunggu jururawat bawa baby datang pada saya sebab nak belai dia, nak peluk dia. Sekali lagi saya terkilan. Masa tengah tunggu-tunggu tu rupa-rupanya baby dah selamat dikebumikan…Ya Allah..berat sungguh ujian Mu Ya Allah.
Jari ibu ni tak sempat lagi membelaimu…menatap wajahmu..memelukmu…maafkan ibu sayang. Ibu terlambat sedar yang kamu dah tak bergerak dalam perut. Maafkan ibu..Ya Allah tenangkanlah jiwaku supaya aku redha menempuh ujian seberat ini.
Jumpa nanti di syurga sayang..
Pada yang masih mengandung jagalah sebaik mungkin. Sila peka dengan kandungan. Perut mengeras tu sangat bahaya. Doakan saya terus kuat ya..
Al Fatihah untuk baby MUHAMMAD AL RAMADHAN..berlari-larilah kamu disana..tariklah tangan ibu, abah, kakak, abang ya masuk syurga sama-sama dengan kamu. Kamu tetap dalam ingatan ibu.
Kredit: Emy Salina
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI