Ainul Saham Kami Ke Syurga. Allah Uji Untuk Tengok Level Mana Kesabaran Saya & Isteri

Share

Ubah cara berfikir, ubah cara berdoa. Ini antara senjata yang paling kuat untuk ibu bapa yang dikurniakan anak istimewa ataupun ketika menerima ujian dari Allah.

Seperti yang dikongsikan oleh bapa adik Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin dia dan isteri sentiasa setkan dalam minda bahawa Ainul tak sakit dan tidak sesekali melayan anaknya seperti seorang yang sakit.

Semangat inilah yang jadi penguatnya sejak Ainul lahir Ogos lalu sehinggalah hari ini.

Saya sentiasa setkan dalam minda bahawa Ainul Mardhiah tidak sakit, dan kami suami isteri tidak akan sesekali melayan Ainul Mardhiah seperti orang sakit.

Kami bawa dia pergi makan di luar, bawa jalan-jalan dan sebagainya. Tapi jangan salah faham, segala aspek keselamatan dan kebersihan telah dahulu kami pastikan dan selebihnya kami serahkan kepada Allah swt. Sebab Allah swt lah zat yang mengizinkan sesuatu perkara itu berlaku.

Sebenarnya, Allah sedang mendidik kami untuk menjadi ibu bapa yang lebih kuat, tabah, dan berfikiran bersih. Tidak bersangka-sangka terhadap Allah kecuali hanya bersangka baik terhadapNya.

Saya selalu membayangkan ketika dalam doa, Allah sedang memerhati kami anak beranak dengan senyuman, dan saya sentiasa membayangkan yang Allah sedang bercakap dengan kami melalui Ainul Mardhiah.

Allah SWT minta supaya kami bersabar, sabar, sabar dan doa tidak henti-henti. Allah SWT nak kuatkan kami untuk pergi level yang lebih tinggi. Jika tidak di dunia, inshaAllah ganjarannya di akhirat kelak.

Mungkin dengan kami berbakti kepada anak, di padang mahsyar nanti, Anak ini lah yang akan menarik kami ke syurgaNya. Mudah-mudahan dengan RahmatNya.

Allah angkat kesakitan Ainul cuma tinggalkan ketumbuhan 

Ainul tidak menderita, apatah lagi terseksa.

Allah SWT itu Maha Adil lagi Maha Penyayang. Mana mungkin Zat yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang menyakiti hamba-hambaNya.

Sejak di awal kelahiran lagi Allah swt sudah mengangkat segala kesakitan Ainul Mardhiah ke langit. Cumanya Allah tinggalkan ” ketumbuhan ” itu untuk kita semua memuji kebesaranNya.

Yang sakitnya adalah kita; Mata yang melihat.

Bantu saya tuan/puan, usah gunakan lagi perkataan ” Bayi Yang Malang, Bayi yang terseksa, Bayi yang Menderita ” dan sebagainya kepada Ainul Mardhiah.

Sebab kata-kata kita adalah satu doa.

Doa yang baik-baik, kata yang baik-baik, akan dapat yang baik.

Sumber: Ahmad Safiuddin

Published by
Wan Amy