Saat diberitahu bakal mendapat anak lelaki selepas mempunyai dua orang anak perempuan sebelum ini, ibu mana yang tak gembira. Segala persiapan untuk menyambut kedatangan orang baru dibuat dengan penuh rasa teruja.
Namun perasaan gembira itu hanya sementara saja kerana selepas Muhammad Aisy Dayyan bin Sapuan dilahirkan hanya linangan air mata seorang ibu sebagai pengubat kesedihan melihat anak terlantar sakit.
Lahir dengan masalah jantung & banyak tulang rusuk tak ada
Menurut Siti Nor Farhanis, Aisy dilahirkan dengan banyak masalah kesihatan. Doktor sahkan dia mempunai masalah jantung berlubang, tulang belakang bengkok, masalah paru-paru dan banyak tulung rusuk tak ada.
Semua ini diberitahu oleh doktor selepas melakukan pemeriksaan terperinci seminggu selepas Aisy dilahirkan. Tapi masalah utamanya sekarang adalah tulang banyak tak ada dan ada yang bercabang.
Masa diberitahu oleh doktor, saya tak dapat nak terima tetapi bila memandang wajah anak syurga ini, saya tahu Allah nak berikan ganjaran pahala buat saya dan suami. Kami mula terima dengan hati yang reda dan berjanji untuk menjaganya sehingga ke akhir hayat.
Ibaratnya hospital adalah rumah kedua Aisy kerana dia memerlukan rawatan rapi dari pakar. Masa saya banyak dihabiskan untuk menjaga Aisy dan nasiblah kakak-kakaknya faham.
Sambut ulang tahun pertama
Dalam keadaannya Aisy yang mempunyai masalah kesihatan dan kadang kala tak stabil sehingga perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi, Aisy masih kuat bertahan dan telah pun menyambut ulang tahun pertamanya pada 13 Mac lalu.
Cumanya 3 hari sebelum menyambut ulang tahun kelahiran Aisy, setelah dua bulan berada dalam wad, dapat perkhabaran yang sungguh tak dijangka sama sekali.
Doktor minta bersedia bila-bila masa
Kongsi Siti Nor Farhanis, apabila dapat berjumpa dengan pakar paru-paru dari Kuala Lumpur keputusan dan pandangan doktor sungguh membuatkan hati seorang ibu sedih.
“Doktor beritahu tiada lagi rawatan lain untuk Aisy dan oksigen terpaksa dicabut. Doktor minta saya tawakal kepada Allah kerana dari Dia kita datang dan satu masa kepada Dia kita kembali.. Allahuakbar!
“Waktu ini tiada kata-kata yang mampu diluahkan cuma saya minta jasa baik doktor sebelum bawa balik Aisy ke rumah, saya nak bekalkan juga dengan mesin oksigen. Bukan tak mahu terima takdir, tetapi selagi belum sampai masanya saya nak jaga sebaik mungkin. Alhamdulillah doktor setuju.
“Jadi saya dengan rendah diri nak mohon bantuan sahabat semua. Saya perlukan modal untuk beli set oksigen kepada anak saya untuk bantunya bernafas kerana pernafasan dia laju sepanjang masa,” katanya.
Mohon sumbangan dapatkan mesin oksigen
Tambah Siti Nor Farhanis, setelah berbincang dengan doktor, mereka dimaklumkan harga untuk mesin tersebut dianggarkan dalam RM15,000. Ini kerana dua mesin oksigen diperlukan iaitu satu di rumah dan satu lagi untuk di bawa ke hospital sekiranya perlu bawa Aisy dapatkan rawatan.
“Disebabkan kekangan untuk membeli mesin tersebut, saya mohon jasa baik sahabat untuk sama-sama panjangkan hajat saya ini.
“Ini kerana suami yang sebelum ini hanya bekerja kilang dah dua bulan tak bekerja kerana terpaksa menjaga dua lagi anak di rumah. Moga ada sinar untuk Aisy dan saya amat berterima kasih pada yang mendoakan kesembuhan anak saya,” ujarnya.
Jika ada yang ingin memberi sumbangan, boleh terus hubungi Siti Nor Farhanis di talian 0197855870 atau ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).
Kredit: Siti Nor Farhanis
**Dapatkan barangan keperluan anak pada harga istimewa, klik di sini
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)