Ajar Anak Berdikari Seawal Usia 3 Tahun. Tak Perlu Harap Hasil Sempurna Cukuplah Tahu Urus Diri

Share

Boleh ke anak nak buat semua ni? Macam tak boleh harap je lagi. Ni situasi biasa bila anak-anak usia 3 tahun ke atas nak buat sesuatu, tapi mak ayah pula yang tak yakin. Hinggakan nak suruh anak makan pun ibu sanggup suap, apatah lagi kemas mainan yang dimain oleh anak, sanggup buat semua.

Dalam hal ini kenapa kita seolah-olah tak percaya anak boleh buat. Kita rasakan untuk melepaskan anak untuk BERDIKARI adalah sukar. Namun, anak perlu belajar berdikari untuk SURVIVE.

Berdasarkan perkongsian Terapis Cara Kerja, Siti ‘Aisyah Rozalli, menguasai kemahiran pengurusan diri seiring dengan perkembangan anak adalah penting. Jika anak yang berusia 3 tahun, sepatutnya sudah boleh diajar untuk mengemas permainannya ke dalam bekas.

Jika anak yang berusia 5 tahun, sepatutnya sudah tahu mengemas barangannya di pra-sekolah sendiri tanpa perlu bantuan dari guru.

Jika anak yang berusia 6 tahun, sepatutnya sudah tahu menjaga kebersihan diri yang asas dan tahu menyesuaikan keperluan dirinya dengan keperluan persekitarannya. Sebagai contoh, jika di tadika, anak ini sudah tahu untuk menyimpan baju salinannya di dalam beg sendiri.

KENAPA PENTING UNTUK ANAK BELAJAR MENJADI SURVIVOR?

Mempunyai keupayaan menguruskan diri adalah ESSENTIAL atau keperluan yang sangat penting untuk anak-anak. Seorang anak yang tahu menguruskan dirinya akan:

– mudah menguruskan emosinya

– mudah bergaul dengan rakan

– tahu mempertahankan dirinya dari dibuli

– berdisiplin dan teratur dalam menyiapkan tugasannya

– tahu tanggungjawabnya di sekolah dan di rumah

– tahu tanggungjawabnya sebagai seorang inidividu (pelajar, anak. rakan)

– mudah berempati dengan orang lain

– boleh berbincang jika tidak dapat apa yang dimahukannya

– mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi.

BAGAIMANA IBU BAPA BOLEH MEMBANTU ANAK MENJADI SURVIVOR?

Biarkan anak belajar buat sendiri.

Biarkan anak belajar selesaikan sendiri.

Biarkan anak belajar bantu diri sendiri.

Ibu bapa yang bersikap terlalu protektif akan menyebabkan anak menjadi takut-takut dan kurang yakin diri.

TANDA-TANDA ANAK YANG KURANG YAKIN DIRI

▪ kelihatan terlalu pemalu bila dengan orang yang tidak dikenali

▪ sukar menjawab soalan apabila ditanya

▪ sering mengadu dengan luahan dirinya sebagai ‘victim’ atau mangsa (contoh: “kawan-kawan tak bagi saya main buaian).

▪ terlalu takut apabila melakukan kesalahan

▪ tidak tahu bagaimana untuk membetulkan kesalahannya

▪ tidak suka apabila diberikan aktiviti atau latihan yang diluar ruang selesanya (contoh: membuat latihan yang sedikit sukar berbanding yang biasa dibuatnya)

▪ sukar bernegosiasi

▪ kelihatan sering melawan atau memberontak di sekolah (ada anak memberontak secara diam, ada anak yang memberontak secara lebih vokal)

MULA SEKARANG!

Setiap kali anak mengadu dibuli rakan, tanya guru hal sebenar (bukan dihadapan anak kerana anak akan menganggap ibunya sedang ‘back up’nya dan seterusnya memberikan anak idea bahawa ibunya boleh dimanipulasi).

Jika guru maklumkan yang memang rakan membulinya tetapi anak hanya pasif tanpa mempertahankan diri, ajar anak social story bagaimana untuk mempertahankan diri (contoh: pergi dan jangan dekati rakan yang suka buli, beritahu rakan yang membulinya untuk berhenti membuli, beritahu guru setiap kali rakan mula membulinya)

Setiap kali anak mengadu dimarah guru, tanya guru hal sebenar (bukan dihadapan anak). Cuba dapatkan sebab anak dimarah atau ditegur (ada anak-anak yang tidak biasa ditegur kesalahannya mendefinisikan teguran sebagai marah). Berikan social story dan latihan di rumah bagi membantu anak faham mengapa dia ditegur oleh guru.

Pastikan anak MENGUASAI KEMAHIRAN PENGURUSAN DIRI mengikut usianya. Aktiviti pengurusan diri sering dipandang ringan. Tetapi, impaknya adalah amat besar.

Sumber: Siti ‘Aaisyah Rozalli

Published by
Wan Amy