Cara belajar dulu dan sekarang dah berbeza. Masa kecil dahulu, kalau tak boleh membaca pun tak apa. Masuk tahun satu, kita akan diajar oleh cikgu untuk membaca dan menulis. Dalam kepesatan pembangunan hari ini dan semakin ramai kanak-kanak yang bijak, seboleh-bolehnya kita mahu memastikan anak sudah mahir 3M (membaca, menulis dan mengira) sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
Seawal usia anak empat tahun pun kita sudah mula dedahkan anak dengan buku dan flash cards untuk membantu mereka menjadi mahir membaca. Sesetengah anak mungkin boleh ‘tangkap’ tapi ada juga anak yang mungkin tak boleh ikut cara kita. Kesannya anak jadi hilang semangat dan tak suka belajar.
Nak bantu anak membaca kena ada caranya. Barulah anak rasa seronok dan mampu ikut apa yang kita ajarkan. Menurut Cik Farisha Ruzaini, Pegawai Eksekutif di Pusat Tuisyen UCOP & ICA, usia yang sesuai untuk mengajar anak membaca adalah seawal usia empat tahun. Usia ini sesuai untuk memulakan proses pengajaran kerana anak sudah boleh mendengar arahan.
“Kemahiran membaca adalah kemahiran asas yang wajib dikuasai oleh anak di usia yang awal lagi. Semakin awal anak boleh membaca, semakin banyak perbendaharaan kata dan kebijakan yang akan diperolehi oleh mereka,” tambah Cik Farisha lagi.
Macam Mana Mama Papa Nak Ajar Anak?
Apabila anak di rumah, mama papa digalakkan untuk membuat ulangkaji dengan anak supaya mereka tidak mudah lupa dengan pembelajaran yang diajar oleh cikgu di sekolah. Mama papa boleh melatih anak secara iqra’ iaitu hanya menyebut setiap ayat yang mereka baca atau ditunjukkan oleh anak tersebut. Ini bagi memudahkan interaksi antara ibu-bapa dan anak.
Mama papa tidak digalakkan untuk terlalu aktif mengajar untuk mengekalkan persepsi anak bahawa mama papa adalah tempat mereka bermanja dan mengadu masalah. Dengan melakukan latihan sebutan ayat ini, ia akan mewujudkan satu ikatan yang lebih harmoni antara mama papa dan anak. Jadi tak adalah istilah ‘mama garang’ atau ‘letih ajar anak’
Galak Anak Suka Membaca
Ketika usia anak sudah memasuki enam ke tujuh tahun, inilah masanya di mana mama papa perlu risau jika mereka masih tak boleh membaca. Jika mama papa mahu anak suka membaca, anda perlu beri galakan kepada mereka. Berikan pujian dan sediakan bahan bacaan yang menarik dan bersesuaian mengikut tahap dan umur anak.
Selain itu, mama papa boleh bawa anak ke perpustakaan. Apabila mereka melihat pelbagai pilihan buku yang menarik di sana, secara automatik ia membuatkan anak menjadi teruja untuk ‘explore’ segala bahan bacaan itu. Mudah kan?
Tambah Cik Farisha lagi, untuk anak yang baharu nak belajar membaca, banyakkan komik bergambar sebelum membelikan buku cerita apabila umur anak semakin meningkat. Cara ini akan membuatkan anak lebih seronok dan berminat untuk membaca.
“Selain perpustakaan, mama papa boleh bawa anak ke pesta buku dan sebagainya. Berikan mereka ruang untuk memilih buku yang diingini. Apabila anak selesai membaca sesebuah buku, minta mereka untuk bercerita tentangnya,” jelas Cik Farisha ketika ditanyakan bagaimana mama papa boleh menggalakkan anak untuk membaca.
Lebih menarik lagi, mama papa juga boleh wujudkan pertandingan bercerita dalam kalangan anak-anak dan berikan ganjaran kepada mereka. Dengan cara itu, anak-anak akan lebih teruja dan berlumba-lumba untuk membaca! Cara ini juga menggalakkan pembinaan karakter dan kreativiti anak di usia muda.
Macam Mana Cikgu Bantu Anak Lancar Membaca?
Impak seorang cikgu sangat besar proses untuk memastikan muridnya lancar membaca. Ini kerana seorang cikgu memahami teknik pembelajaran yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak. Cikgu juga sangat memahami potensi dan kemampuan setiap anak muridnya.
Setiap cikgu juga mempunyai ‘rahsianya’ sendiri untuk menarik perhatian dan minat anak tersebut untuk terus berusaha membaca. Setiap sukatan pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru adalah berdasarkan keupayaan dan tahap pemahaman murid mereka.
Kesimpulannya, peranan mama papa dan cikgu sama penting untuk membantu anak-anak agar mereka lebih lancar membaca. Paling penting, carilah bahan bacaan yang bersesuaian dan disukai anak-anak. Jangan mudah berputus asa dan terus beri galakan kepada anak supaya terus bersemangat untuk membaca.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI