Ajar anak tak pakai lampin seawal usia 3 tahun mungkin rasa sukar. Namun jika anda betul-betul bertekad semua itu boleh berlaku dengan mudah. Paling penting kena ada kesabaran. Sebabnya anak yang sedang melalui proses ini tak lari dari kesilapan yang tidak ‘disengajakan’.
Dalam memastikan usaha ini berjaya, tip yang dikongsikan oleh seorang bapa, Mohd Fadhli wajar dijadikan contoh.
Anak saya berumur 3 tahun. Ini hanya perkongsian. Mungkin, anak-anak anda lebih awal dari anak saya yang mana mampu buang air di tandas tanpa memakai lampin pakai buang.
Pada awalnya saya dan isteri amat kurang yakin atas kemampuan anak sulung kami. Tetapi selepas dinasihati oleh seorang doktor Klinik Simpang Ampat, Melaka kami menyahutnya. Antara nasihatnya ialah latih anak tidak memakai pampers pada waktu cuti.
Baiklah, saya cuba kongsikan bagaimana cara saya dan isteri melatih anak tidak memakai pampers hanya sehari sahaja.
Tanamkan niat dan keyakinan dalam hati kita (ibu bapa) hanya Allah yang mampu latih dan didik anak-anak kita. Kita hanya usaha.
Keyakinan itu penting. Keyakinan yang tinggi akan memberi harapan yang menggunung. Bila kita yakin dan tanamkan segala pada Allah, maka segala kemungkinan seperti anak kita terkencing atau terberak kita akan hadapi dengan tenang tanpa marah-marah.
Sebelum kita latih anak tidak memakai pampers, ulang-ulangkan peringatan kepada anak (ambil masa)
Peringatan ini bukan dilakukan sehari atau dua hari. Tetapi peringatan ini mula dilaksanakan setelah anak kita mampu respon segala arahan ibu bapa yang mudah.
Lazimkan semasa tukar pampers ditandas (sewaktu pakai pampers). Cakap padanya.
“Ini tandas, tempat buang air ”
“Kalau buang air, kena basuh bersih-bersih ”
Selalu ulang-ulang. Mengikut kreativiti anda.
Pada hari pertama tidak memakai pampers, kene tegaskan pada anak. Peringatan hendaklah diberi dengan jelas.
Anak-anak kita pada peringkat umur 3 hingga 7 tahun mampu mengingat dan faham dengan pantas segala arahan dan apa yang di dengarnya. Contoh ;
“Akak tak pakai pampers tau, nanti kalau nak kencing bagi tahu abi dan umi, ingat tu ”
Ulang banyak kali sewaktu pakaikan baju dan seluarnya.
Oleh sebab itu, lazimkan anak-anak dengan selawat, zikir dan alunan Quran ketika ini. Kerana mudah untuk mereka ingat.
Selalu bertanya ketika dia sedang main atau leka buat sesuatu.
Ketika anak sedang bermain, sering bertanya dan buat-buat tanya . Contoh ;
“Akak nak kencing tak…..”
“Akak nak berak tak…….”
“Kalo nak kencing berak bagi tahu abi tau…”
Kesimpulannya di sini jika mahu anak-anak kita seawal tiga tahun tidak memakai pampers dan mampu beritahu kita untuk buang air. Perlu ada beberapa syarat ;
1. Keyakinan
2. Komunikasi yang jelas
3. Sabar
Sampai sini dahulu, perkongsian saya. Akan datang saya akan kongsikan bagaimana hendak didik anak bila sakit sahaja dia tahu angkat tangan dan doa se awal 3 tahun.
Perkongsian ini dari seorang abi yang MUDA