Ajar Puasa Ikut 4 Fasa Solat, Ustazah Asma’ Kongsi ‘Step By Step’ Didik Anak Puasa

Share

Memandangkan puasa pun sudah tidak lama, anak-anak juga gembira nak berpuasa sama. Jadi sebenarnya, pada umur berapakah sepatutnya anak-anak ini mula berpuasa? Dan bagaimanakah cara terbaik untuk mendidik mereka untuk berpuasa?

Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun tentang puasa bagi kanak-kanak.

“IBU AYAH.. ADIK NAK PUASA. BOLEH KE AJARKAN ADIK?”

Ibu ayah yang sentiasa mementingkan didikan agama kepada anak-anak pastinya tertanya-tanya jawapan bagi persoalan ini.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kemudian kedua orang tuanyalah yang akan menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi.”
(HR Bukhari, hadis sahih)

Perkataan fitrah di dalam hadis ini bermaksud anak-anak dilahirkan dalam keadaan Muslim. Berdasarkan pada hadis ini jelaslah bahawa secara fitrahnya anak-anak dilahirkan Muslim, tetapi yang mencorakkan mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi, atau Nasrani ialah ibu bapa. Dalam perkara berkaitan puasa, para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh adalah tidak diwajibkan untuk berpuasa.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif (kewajipan) dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.

Saidina Ali bin Abi Talib r.a. meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.”
(HR Abu Daud, hadis sahih)

Namun, bilakah waktu yang sesuai seorang kanak-kanak itu perlu dididik untuk berpuasa?

Menurut Imam al-Nawawi di dalam Kitab Majmu’ yang bermaksud:

“Al-Shirazi dan ulama mazhab al-Syafie menyatakan apabila seorang anak itu mampu berpuasa, maka wali wajib menyuruhnya berpuasa ketika berusia tujuh tahun, dengan syarat dia sudah mumayyiz. Dan memukulnya sekiranya dia tidak berpuasa ketika usia 10 tahun. Anak perempuan sama seperti anak lelaki tanpa khilaf.”
Maksud tujuh tahun ialah setelah sempurna usia tujuh dan memasuki usia lapan. Juga setelah sempurna usia sepuluh tahun dan memasuki usia sebelas tahun. Hal
ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).”
(HR Abu Daud, hadis sahih)

Walau bagaimanapun, ibu bapa atau penjaga hendaklah menilai sejauh mana kemampuan kanak-kanak tersebut untuk berpuasa serta memastikan ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada mereka.

Baca:

‘Bayi Parah Dibaham Kera’ Kini Bergelar Doktor, Tamat Pengajian Di Al-Azhar Mesir

“Rasa Bersalah Dengan Anak” Genap 8 Tahun Berhenti Merokok, Bapa Ini Kongsi Tip.

Tampal Lencana & Nama Pada Pakaian Sekolah Paling Senang, Guna Je ‘Double Sided Adhesive Clot’

BAGAIMANA MENDIDIK ANAK-ANAK BERPUASA?

Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga untuk mendidik anak-anak berpuasa ialah:

1. Menjadi role model pada anak-anak.
• Ibu bapa adalah watak utama dalam menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak. Jadi, pamerkanlah akhlak yang baik dengan mempraktikkan ibadah-ibadah semasa Ramadan seperti tadarus Al-Quran, berterawih dan amalan bersedekah.
• Sekiranya ibu itu tidak berpuasa (uzur syarie) elakkan makan di hadapan anak-anak.

2. Berbicara mengenai puasa
• Menjelaskan kepada anak-anak mengenai puasa secara santai seperti berkongsi kisah nabi-nabi, cara puasa Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan kisah-kisah teladan.
• Mengajar anak-anak cara membaca niat puasa, memberitahu syarat wajib dan syarat sah puasa, rukun puasa, ganjaran bagi orang yang berpuasa dan keistimewaan berpuasa Ramadan.
• Mengucapkan kata-kata semangat kepada anak-anak supaya timbulnya perasaan teruja menunggu kehadiran Ramadan.

3. Mengajar anak-anak berpuasa secara berperingkat mengikut waktu solat
• Fasa pertama : Puasa hingga waktu Dhuha
• Fasa kedua : Puasa hingga waktu Zohor
• Fasa ketiga : Puasa hingga waktu Asar
• Fasa terakhir : Puasa hingga waktu Maghrib

Fasa begini dilakukan supaya tubuh serta minda anak-anak bersedia dan mereka tidak rasa terbeban jika terpaksa untuk terus berpuasa sepenuh hari.

4. Memberi ganjaran kepada anak
• Berilah dakapan dan pujian atas kejayaan usaha mereka melaksanakan puasa tanpa mengambil kira mereka berjaya berpuasa penuh atau tidak.
• Menyediakan makanan kegemaran anak-anak untuk berbuka.
• Jika perlu, berikan hadiah supaya mereka lebih bersemangat untuk meneruskan puasa sehingga ke akhir Ramadan.

5. Mendoakan anak-anak diberikan kefahaman agama:
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Maksudnya: “Ya Allah, berikan kefahaman agama kepadanya dan ajarkannya takwil (tafsir al-Quran).
(HR Ahmad, hadis sahih)

RUMUSAN:

• Kanak-kanak merupakan golongan yang tidak diwajibkan untuk berpuasa. Namun, digalakkan untuk melatih mereka berpuasa sedari umur sempurna 7 tahun mengikut pendekatan-pendekatan yang dikongsikan di atas.

• Ibu bapa atau penjaga perlu mengetahui tahap kemampuan anak-anak supaya sebarang kemudaratan tidak berlaku.

Oleh itu, pentingnya bagi kita untuk menyediakan diri dengan ilmu yang mantap mengenai puasa Ramadan supaya ia dapat diwariskan pada anak-anak seterusnya generasi yang akan datang. Semoga kita semua lebih bersedia dan bersemangat menempuh Ramadan kali ini dengan penghayatan yang lebih baik.

Semoga bermanfaat buat semua.🤲🏻🌹

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

Kredit: Asma’ Binti Harun

Cara mudah nak latih anak suka solat, jom sertai Kem Solat 2023. Klik https://toko.ideaktiv.com/product/kem-solat-mega-bintang-kecil-2023/ untuk daftar

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama)

 

Published by
NuFa