Akhirnya pergi jua..Murid tahun satu, Nur Dinie Damia Muhammad Noor, 7, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan disyaki dijangkiti influenza, meninggal dunia pada 10.41 malam tadi.

Berita Harian melaporkan, bapa Nur Dinie Damia, Muhammad Noor Amin, 38, yang berkongsi berita sedih itu, turut memohon orang ramai mendoakan supaya roh anak bongsunya itu ditempatkan dalam kalangan golongan beriman.

Akhirnya Nur Dinie Pergi Jua. Selepas Disahkan Influenza A, Berakhirlah Kesakitan Adik..

“Anak saya dah tiada. Innalillahiwainailaihirojiun,” katanya dalam mesej ringkas yang dihantar kepada pemberita menerusi WhatsApp.

Mengalami jangkitan pada hati dan otak mati

Sebelum itu, pada siang hari, Muhammad Noor yang ditemui pemberita di luar ICU HSA berkata, anaknya mengalami jangkitan pada bahagian hati dan disahkan mengalami otak mati selepas menjalani imbasan pada tengah hari, semalam.

Beliau yang kelihatan sebak berkata, Nur Dinie dimasukkan ke ICU HSA sejak empat hari lalu selepas kesihatannya merudum ketika dirawat di sebuah hospital swasta di Johor Bahru.

IKLAN

Muntah darah sebelum masuk ICU

Nur Dinie sebelum ini seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak menghidap sebarang penyakit, namun kesihatannya tiba-tiba merudum selepas mengalami demam minggu lalu.

“Hari ketiga demamnya masih tidak kebah menyebabkan saya membawanya ke klinik sebelum dia disahkan dijangkiti Influenza A sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta.

“Keadaan Nur Dinie ketika dirawat di hospital swasta juga tidak menunjukkan perubahan di samping mengalami muntah darah menyebabkan dia kemudiannya dirujuk ke HSA dan dimasukkan ke ICU bagi pemantauan pakar,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Jabatan Kesihatan Johor (JKJ) mengesahkan seorang murid Tahun Satu (merujuk kepada Nur Dinie Damia) yang dirawat di ICU sebuah hospital di Johor Bahru, dijangkiti Influenza seperti yang tular di media sosial.

IKLAN

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia, Aminolhuda Hassan berkata, selain dijangkiti Influenza terdapat juga komplikasi lain yang menyebabkan kanak-kanak terbabit perlu dirawat di ICU dan diletakkan di bawah pengawasan pakar.

“Berdasarkan laporan doktor pakar, kanak-kanak terbabit turut mengalami pelbagai komplikasi lain bukan hanya Influenza sahaja,” katanya pada sidang media di JKJ Johor Bahru, semalam.

Akhirnya Nur Dinie Pergi Jua. Selepas Disahkan Influenza A, Berakhirlah Kesakitan Adik..

Antivirus Influenza di Johor masih mencukupi

IKLAN

Sementara itu, Aminolhuda memberi jaminan keadaan wabak Influenza di Johor dalam keadaan terkawal dan boleh diuruskan.

Katanya, bekalan perubatan terutama antivirus Influenza di negeri itu masih mencukupi.

“Malah 89 murid prasekolah sehingga Tingkatan Empat yang disyaki dijangkiti Influenza dirawat sebagai pesakit luar dan diminta berehat di rumah masing-masing.

“JKJ tidak merekodkan jumlah pesakit Influenza di negeri ini (Johor) berikutan jangkitan berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan pelaporan atau notifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, seperti jangkitan denggi contohnya yang memerlukan setiap jangkitan direkodkan.

“Pemantauan terhadap kes Influenza Like Illness (ILI) mendapati berlaku peningkatan kes ILI dan severe acute respiratory infection (SARI) sejak pertengahan bulan lalu, namun peningkatan yang direkodkan masih berada dalam julat normal,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI