Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan semua restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok dilihat sebagai tepat pada masanya.
Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Sofian Osman menyifatkan ia selaras dengan rungutan sesetengah pengguna yang kurang selesa termasuk ketika berada bersama anak kecil di kedai makan.
“Malah, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital-hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain.
“Cadangan ini tepat pada masanya selepas ramai yang menganggap hak mereka untuk menikmati udara bersih dicemari oleh perokok,” katanya.
Di media sosial, ramai mahu kerajaan serius dalam memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan teliti agar perokok dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Sebelum ini cadangan dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang mahu semua restoran terbuka diisytihar sebagai kawasan larangan merokok bermula Disember ini.
Sumber: Astro Awani