Akibat Makanan Ringan Berisi Gula-Gula & Mainan, Anak Keracunan Muntah 20 Kali

Share

“Bukan untuk mencari salah siapa tetapi tujuan saya berkongsi pengalaman yang dialami anak saya adalah untuk meningkatkan kesedaran dan memberi peringatan kepada ibu bapa supaya perkara sama tidak berlaku kepada anak mereka,” kata Salahuddin Haris Yoganathan.

Salahuddin, 38, memberi reaksi mengenai hantaran dimuat naik di Facebook miliknya beberapa hari lalu  berhubung nasib anak sulungnya, Asha Azaleah Natasha Nathan, 6, yang mengalami keracunan makanan hingga ditahan di hospital selama empat hari.

Salahuddin turut berkongsi bahaya makanan ringan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kebimbangannya jika produk itu dijual secara berleluasa di pasaran.

Bercerita lanjut, Salahuddin berkata, makanan ringan di dalam kotak berisi coklat, gula-gula dan mainan itu dibeli di sebuah kedai berhampiran rumahnya di Taman Sri Gombak, Gombak, Jumaat lalu.

Katanya, dia membeli makanan ringan itu bagi memenuhi permintaan anak.

“Namun, sebaliknya berlaku pada hari berkenaan apabila Asha mengalami muntah dan cirit birit tidak lama selepas makan makanan itu.

“Bimbang dengan keadaannya, saya dan isteri, Siti Julaikah Podo, 38, membawa Asha ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor memberikan ubat untuk dimakan tetapi keadaan Asha bertambah serius apabila muntah kira-kira 20 kali selepas menjamah makanan sebaik pulang ke rumah.

“Melihat keadaan itu, saya membawa Asha semula ke hospital dan akhirnya, dia ditahan di wad kanak-kanak sebelum dibenarkan pulang tengah hari semalam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bagi mendapatkan kepastian, Salahuddin bertemu semula dengan peniaga kedai runcit terbabit untuk mengetahui lebih lanjut mengenai makanan ringan itu.

Pada masa sama, beliau turut membuat semakan berdasarkan maklumat tertera di kotak makanan itu dan mendapati ada logo halal, namun tiada pengesahan KKM dan produk itu menggunakan gambar kartun serta animasi terkenal yang diragui hak ciptanya.

“Saya ke kedai berkenaan untuk bertanya sendiri dengan peniaga itu dan terkejut apabila dia memaklumkan terlupa memberitahu yang makanan ringan itu sebenarnya tidak boleh dimakan.

“Ikutkan hati memang marah, tetapi saya cuba kawal emosi dan memberi peringatan kepadanya supaya tidak menjualnya lagi.

“Saya ada tanyakan hal ini kepada penduduk setempat menerusi Kumpulan WhatsApp dan menurut mereka, makanan ringan itu turut dijual di depan kawasan sekolah,” katanya yang juga bapa kepada empat cahaya mata.

Salahuddin berkata, dia sudah membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Gombak dan menghantar aduan kepada KKM supaya menjalankan siasatan terhadap pengeluar produk berkenaan.

Menurutnya, KKM sudah memberi maklum balas dan memberi jaminan untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung aduan itu.

“Saya harap pihak berkuasa bertindak segera dengan melakukan pemantauan berterusan dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada lagi kanak-kanak menjadi mangsa.

“Bagi ibu bapa pula, jadikanlah apa yang berlaku terhadap anak saya sebagai pengajaran untuk anda lebih berhati-hati,” katanya.

Sumber: Metro & FB Salahuddin Haris

Published by
Wan Amy