Kanak-kanak yang sedang membesar memang kita sedia maklum aktif dan suka meneroka. Berlari, memanjat dan banyak lagi aktiviti yang dibuat tidak kira dalam rumah mahupun di luar rumah bersama adik-beradik ataupun rakan yang seusia mereka.
Tapi ada sesetengahnya yang mengalami kesukaran untuk bernafas setiap kali terlalu aktif dengan aktiviti yang dijalankan. Justeru menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa yang melihat keadaan anak sukar bernafas.
Seperti yang ditanyakan oleh seorang ibu tentang keadaan anaknya yang aktif namun ada ketikanya kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Dr Hairin Anisa Tajudin, Pakar Laktasi, Pakar Kanak-kanak Pusat Rawatan ADDA dan Pensyarah Pediatrik di Monash University Malaysia menjelaskan keadaan tersebut.
Anak lelaki saya berusia 6 tahun dan seorang yang aktif. Namun, ada ketikanya dia kelihatan tercungap-cungap dan sukar bernafas. Pernah juga dia mengeluh menyatakan perkara yang sama iaitu sukar bernafas. Adakah tanda tersebut menunjukkan dia mempunyai asma? Mohon pandangan daripada doktor.
Mama risau, Petaling Jaya.
Jawapan yang diberikan oleh Dr Hairin Anisa:
Terima kasih atas soalan Puan.
Kanak-kanak kebiasaannya di peringkat usia begini, amat aktif bermain dan selalu akan keletihan. Namun, mereka tidak sepatutnya mengalami masalah susah bernafas kecuali sebahagian kecil kanak-kanak yang menghidapi penyakit lelah (asma). Jika anak yang tercungap-cungap ketika ligat bermain, mungkin dia terlalu keletihan atau memang dia mengalami sesak nafas.
Bagaimana ibubapa dapat mengenalpasti samada anak terlalu keletihan bermain atau diserang asma (asthma attack)?
Asma adalah sejenis penyakit alahan yang disebabkan oleh tindakan antibodi IgE atau komponen yang terlibat dalam mekanisme alahan menyerang saluran dalam paru-paru (bronkiol). Tindakan ini mengakibatkan keradangan berlaku pada dinding saluran dan menjadikan ianya sangat sensitif. Keradangan pada saluran paru-paru menyebabkannya ianya bengkak dan menghasilkan kahak yang berlebihan daripada biasa. Pesakit asma amat mudah terkena serangan setiap kali terdedah kepada faktor alahan tertentu dalam makanan, cuaca / udara sejuk, minuman atau makanan yang sejuk atau terlalu penat bermain (exercise induced asthma) atau jangkitan virus. Serangan ini akan menyebabkan otot sekeliling saluran bronkiol yang bengkak (akibat keradangan) akan mengecut dan menjadi sempit (lihat gambar). Akhirnya, pesakit akan mengalami gejala batuk dan sesak nafas (bernafas laju dan dada berombak).
Sekiranya anak Puan menghidapi asma, dia akan terlalu mudah terkena serangan (lelah) setiap kali terdedah kepada faktor alahan (seperti yang dinyatakan di atas) selain daripada bermain terlalu aktif. Anak akan berasa sesak nafas, terbatuk-batuk dan kadang kala nafasnya berbunyi seperti wisel halus (wheezing) yang menandakan bahawa saluran bronkial menjadi sempit (bronchoconstriction). Jika serangan yang teruk, anak boleh menjadi kebiruan kerana kekurangan oksigen.
Namun berbeza jika anak hanya mengalami keletihan bermain, dia tidak akan sesak nafas apabila terdedah kepada faktor alahan tertentu yang lain. Maka, untuk pastikan anak mengalami asma atau tidak, bawa anak berjumpa doktor semasa dia mengalami batuk dan sesak nafas untuk mendapatkan pengesahan diagnosis. Jika doktor mendengar bunyi wisel halus dalam paru-paru melalui stetoskop, ini bermaksud anak Puan besar kemungkinan adalah pesakit asma. Maka, rawatan yang sepatutnya untuk asma mesti diberikan oleh doktor.
Oleh kerana penyakit asma ini menyebabkan kanak-kanak mengalami sesak nafas semasa aktif bermain, ibubapa menjadi “overprotective” dan tidak membenarkan anaknya menyertai sukan atau aktiviti yang lasak. Namun, perlu diingat bahawa asma ini ada ubat pencegahan dan ubat untuk membuka saluran paru-paru. Penyakit asma bukan penghalang kepada pesakit untuk aktif bermain dan bersukan. Sekian terima kasih
—————————————————————————————————–
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)