“Aku Pulang Ke Rumah, Anak-Anak Sudah Lena.” Cara Sempoi Ayah Ini Bonding Dengan Anaknya

Share

Ramai ayah yang sibuk bekerja mengakui bila pulang ke rumah, anak-anak sudah lena tertidur. Terasa juga kan betapa kurangnya masa kita bersama anak-anak?

Tapi demi mencari rezeki untuk keluarga kadangkala ayah terpaksa korbankan masa untuk dihabiskan bersama anak tersayang.

Tapi ia bukan alasan ayah tak boleh rapatkan hubungan dengan anak. Dalam keterbatasan waktu, ayah kena ada cara tersendiri untuk memastikan anak-anak tetap ‘merasai’ keberadaan ayah dalam hidup mereka.

Situasi tersebut dilalui sendiri oleh ahli perniagaan Andy Sulaiman yang menyedari masa kerjanya menyukarkan untuk dia sentiasa ada di sisi anak.

Namun cara sempoi yang diamalkan olenya untuk terus bonding dengan anak boleh dicontohi oleh ayah-ayah lain.

PAPA BUSY SANGAT KE?

Aku bukan lah seorang bapa yang baik. Yang ada setiap waktu dan ketika bersama anak-anak.

Kehidupan aku banyak ‘hidup’ di waktu malam. Perniagaan yang menjadi kerja utama aku sekarang, operasinya bermula petang dan berakhir di tengah malam.

Jadi, waktu dengan anak-anak amat lah terbatas. Aku pulang ke rumah, mereka sudah lena. Kadang, hanya sempat bertemu di waktu pagi, sebelum mereka ke sekolah.

Mereka pulang dari sekolah, aku sudah bersiap mahu keluar. Anak aku pulang dari sekolah jam 3 petang. Aku, kebanyakannya jam 4 atau 5 mula keluar rumah.

Jadi bagaimana? Baik anak, baik kita sendiri pun merasai ‘jarak’ ini tercipta dengan sendirinya.

Apa yang perlu dilakukan supaya anak-anak merasa kita masih ada bersama mereka?

Ada beberapa cara, yang mungkin membantu :

1) Semestinya lah kau ambil cuti beberapa hari jika perlu. Luangkan masa bersama mereka. (Aku kadang-kadang cuti pun sibuk hal lain juga. Huhu).

2) Kalau bercuti dan kalau berkemampuan, bawa mereka bercuti ke mana-mana sahaja dan luangkan masa sepenuhnya.

3) Baik, no 2 tu kalau mampu lah. Kalau tak mampu, duduk rehat saja di rumah dan cipta aktiviti-aktiviti menyeronokkan bersama mereka di rumah.

Contoh, menonton movie bersama mereka di rumah. Jika masih kecil, tonton kartun bersama.

4) No 1, 2 dan 3 berkisar tentang kau ambil cuti dan luang masa bersama mereka. Kalau tak dapat cuti? Haha nombor 4 ni tak penting. Aku andaikan sebagai iklan : Brojak Udang Galah Bakar Madu ada di Johor Bahru. Sekian.

Ok, kini kembali.

5) Ok, kalau tak dapat cuti, masa mana elok kau cilok sebagai tanda kau masih ada masa untuk mereka?

Jawapan, waktu mereka ke sekolah. Kalau mereka menaiki bas ke sekolah, sesekali kau kata “Hari ni tak payah naik bas. Papa hantar pergi sekolah”.

Atau kalau tugas hantar ke sekolah ni tugas wife, kasi wife rehat sesekali. Biar kita hantar. Dalam kereta tu berbual lah apa sahaja.

6) Tak dapat hantar dia ke sekolah sebab penat atau mengantuk, waktu anak-anak bangun bersiap ke sekolah, tahan mata tu sebentar.

Tidur selepas mereka ke sekolah. Masa mereka bersiap tu gunakan sebaik mungkin. Berkualiti.

7) Tanya isteri, ada apa-apa tak yang anak perlukan? Yang masih belum anak-anak dapatkan. Usahakan dan dapatkan apa yang mereka nak tu. Esoknya kalau sempat, beri sendiri ke tangan anak. Atau, pass pada isteri dan minta isteri bagitahu itu dari kita. Sekurangnya anak-anak rasa kita masih ambil peka kemahuan mereka.

8 ) Di tempat kerja, jika boleh whatsapp atau call isteri, gunakan peluang ini. Tanyakan tentang anak-anak.

Apa yang mereka sedang lakukan. Sudah makan atau belum. Jika sudah sepatutnya waktu tidur mereka, tanya sudah tidur atau belum. Bab ini, isteri pula akan rasa bahawa walaupun kita sibuk, kita masih ambil tahu tentang anak-anak.

9) Anak-anak terutama yang masih kecil, mereka tak mintak pun kau bawa ke pusat membeli belah atau tempat mahal-mahal. Cukup sekadar kau bawa ke kedai runcit berhampiran rumah pun mereka dah suka.

Sebelum keluar menjalankan tugas, bawa mereka ke kedai runcit. Lepaskan mereka biar mereka ambil apa mereka nak. Berapa ringgit sangatlah, bukan setiap hari pun. Janji mereka happy.

10) Belikan hadiah. Ini sebagai pengganti diri kita yang selalu sibuk. Memang lah hadiah, harta benda tak boleh banding dengan perhatian.

Sekurang-kurangnya hadiah itu sebagai sesuatu yang menggembirakan di saat mereka mula rasa kita lupakan mereka. Hadiah itu simbolik kepada tanda ingatan kita kepada mereka.

Itu sahaja. Tidak lah hebat mana pun tips-tips ini, tapi bagi yang sedang menghadapi situasi ‘anak rasa semakin jauh’ dan tidak tahu apa yang perlu dibuat, mungkin tips-tips biasa ini sedikit sebanyak dapat membantu.

Kita busy demi keluarga, keluarga tetap ter-utama.

We are Family Man,
Puaka Bersekutu

Published by
Hasnita Sawal