Wanita mengandung dan baru melahirkan anak selalunya akan menitikberatkan amalan berpantang. Itu tak boleh ini tak boleh supaya dapat kembali cergas dan bertenaga. Tapi adakah kita terfikir rehat yang cukup, emosi stabil sangat penting untuk proses pemulihan bagi wanita lepas bersalin.
Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkongsi situasi yang berlaku kini dan mungkin salah satu punca yang memberi tekanan dalam diam buat seorang wanita bergelar ibu.
Saya fikir amalan ‘berpantang’ selepas bersalin perlu dijenamakan semula agar lebih bersifat mesra syariat dan mengikut fitrah insaniah yang tepat.
Wanita bersalin bukan sekadar perlu diperingatkan agar melangkah perlahan, tidak boleh membaca, makan dan minum sekadarnya, memakai stokin sepanjang masa, mengikat tocang ketat-ketat, berpilis di dahi, mesti berurut, bertungku dan berdian dan mandi dengan dedaunan wangi. Ini untuk sihat tubuh badan (mungkin) dan supaya kembali cantik (?).
Yang wanita bersalin mahu ialah perkongsian tanggungjawab dan bantuan menguruskan diri, anak-anak serta bayi yang baru lahir. Seluruh tubuh yang sakit tidak memungkin mereka berjalan ke hulu dan ke hilir, membongkok dan mengiring melakukan rutin harian, walaupun yang mudah…apatah lagi mengejar anak yang lasak.
Badan yang masih lemah amat perlukan rehat yang panjang. Ibadah khusus pun Allah rehatkan, ada yang sehingga 60 hari. Bagaimana pula mereka dibiarkan memasak untuk makan sendiri?
Apatah lagi menjaga 2-3 anak kecil serentak sewaktu badan masih belum mampu berdiri dan memasak untuk suami pula? Kadangkala mereka jugalah yang berkejar ke jemuran bila guruh berdentum atau renyai mula merintik.
Bila melakukan semua urusan rumahtangga, mereka ditegur pula kerana tidak prihatin terhadap tubuh sendiri yang perlukan rehat. Bila minum terlebih kerana haus dan kepenatan mereka disindir pula nanti perut buncit menggelebeh. Bila bayi disuakan botol susu, mereka diperli malas menyusui bayi sendiri sedangkan si ibu jugalah yang menyempurnakan urusan rumahtangga dan kurang masa yang ada untuk proses penyusuan.
Justeru, yang wanita bersalin mahu ialah waktu rehat untuk proses penyembuhan yang lancar, bantuan ahli keluarga untuk meringankan rutin harian kerana mereka belum dapat mengurus sepenuhnya dan yang penting juga, agar mereka tidak terlalu tertekan dengan situasi SAKIT, SUSAH, KELIRU, MENGANTUK, PENAT dan LAPAR.
Al-Faatihah buat bayi-bayi syurga yang dibunuh bonda mereka. Maafkan ibu kalian. Kalau mereka dihormati, pasti mereka lebih menyayangi.
Sumber: Nik Salida Suhaila Nik Saleh
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI