Alamak Risaunya! Ini Kesan Bila Anak Tidak Tahu Membaca Sejak Tadika. Cepat Bertindak!

Share

Memang benar, pihak tadika akan mendidik anak-anak kita untuk mengenal huruf, membaca dan menulis. Namun, pada masa yang sama ibu bapa harus turut serta melatih anak membaca di rumah. Justeru, ibu bapa harus ada ilmu bagaimana untuk mendidik anak untuk membaca dengan teknik yang betul.

Sebenarnya untuk mendidik anak-anak membaca, mereka perlu belajar memahami sebanyak mungkin perbendaharaan kata dan struktur ayat sesuatu bahasa yang ditulis dalam bahasa Melayu mahu pun bahasa lain.

Mereka juga perlu berlatih dengan pelbagai teks untuk meningkatkan kefasihan berbahasa supaya mengenali perkataan dan kefahaman membaca menjadi lebih cepat, tepat dan koordinasi yang baik.

Anak-anak akan berasa tertekan apabila membaca sesuatu bahasa yang mereka sendiri tidak memahami. Membaca secara hafalan dari segi jangka panjang tidak mendatangkan keseronokan kepada kanak-kanak untuk meneruskan minat membaca

Galakkan anak membaca pada awal usia supaya tidak ketinggalan semasa memasuki darjah satu nanti

TIGA FAKTOR UTAMA UNTUK MENGKATEGORI PEMBACA YANG BAIK

Pertama: Anak mesti memahami sistem huruf bahasa yang dipelajari untuk mengenalpasti tulis perkataan

Kedua: Dapat dan menggunakan latar belakang pengetahuan dan strategi untuk mendapat atau memahami makna daripada tulisan buku.

Ketiga: Dapat membaca dengan lancar.

KESAN APABILA TIDAK TAHU MEMBACA!

Ketiga-tiga elemen ini hendaklah digabungkan semasa mengajar membaca kepada kanak-kanak.

Sekiranya anak-anak tidak menguasai bahasa yang dipelajari secara tidak langsung mereka tidak memahami makna perkataan dan tidak dapat membaca pada huruf cetakan di dalam buku.

Keadaan ini mengganggu kelancaran untuk membaca. Apabila anak memahami makna perkataan, ia dapat membantu sebutan yang betul dan kelancaran membaca.

Kajian menunjukkan anak-anak yang menghadapi masalah membaca di sekolah rendah adalah terdiri daripada mereka yang kurang kemahiran bertutur, kurang kepekaan terhadap sistem bunyi bahasa, kurang pengetahuan terhadap huruf, kurang kefahaman dengan tujuan asas dan mekanisma membaca.

Oleh itu persediaan awal sangat perlu seperti mendedahkan dengan persekitaran berbahasa dan literasi yang berkualiti di rumah, taman asuhan (taska) dan tadika.

APA TINDAKAN IBU BAPA?

Persekitaran literasi di rumah sangat penting untuk menggalakkan kanak-kanak membaca. Pelbagai jenis mainan dan buku di rumah belum tentu menjamin minat anak-anak membaca.

Perkara paling penting perhatian ibu bapa dan keluarga untuk bersama membaca. Ibu bapa perlu memberi ruang masa untuk bersama anak-anak membaca sambil berbincang. Sekiranya anak masih kecil memadai bersama membuka lembaran buku sambil berbincang tentang gambar dan ilustrasi yang terdapat dalam buku.

Sesungguhnya aktiviti membaca bukan sahaja membaca buku tetapi melalui perbualan. Perbualan boleh dilakukan semasa minum misalnya minum air jus. Bincang tentang perkataan yang tertulis pada kotak jus. Contohnya ‘Oren’. Beri penekanan huruf ‘O’ semasa menyebut ‘oren’ sambil menunjukkan huruf ‘O’. Secara tidak langsung kanak-kanak mengenali sebutan perkataan dan ikuti huruf ‘O’.

Anak-anak dapat mengaitkan huruf ‘O’ dengan perkataan dan sebutan perkataan. Begitu juga dengan perkataan-perkataan lain untuk mendedahkan kanak-kanak kepada sebutan, perkataan, huruf dan makna yang dibaca menerusi objek yang dilihat.

Dalam pada itu, semasa anak-anak di tadika, kebanyakan mereka sensitif kepada bunyi, makna perkataan, pertuturan perkataan. Perkenalkan kepekaan sistem bunyi bahasa menerusi berbagai cara iaitu

a) Bahasa berirama, puisi dan lagu berirama.

b) Membina perkataan yang melucukan pada sesuatu benda dengan menggantikan satu bunyi kepada bunyi yang lain (contohnya, kerang, kerung, kereng, kerong).

c) Memendekkan perkataan panjang menjadi satu patah sebutan.

d) Mendedahkan dengan beberapa perkataan yang sama bunyi contohnya bunyi tupai, topi; padi dan peti.

Kelebihan kepekaan sistem bunyi dapat membantu kanak-kanak memahami prinsip huruf dan sistem bunyi sesuatu perkataan. Aktiviti yang dapat memupuk kepekaan sistem bunyi di tadika adalah menyanyi, permainan bahasa, permainan rentak bahasa, dan puisi berirama.

BERAPA LAMA NAK BACA?

Aktiviti membaca perlu dipelbagaikan kerana tumpuan untuk kanak-kanak kepada sesuatu perkara tidak lama. Kanak-kanak tadika dan taska boleh bertahan lebih kurang 5 hingga 8 minit. Ibu bapa boleh praktis tempoh masa yang sama di rumah. Malah jika aktiviti itu lebih singkat, lagi bagus supaya anak tidak bosan dan dapat memberi tumpuan dengan baik.

Kesimpulannya membaca adalah proses yang kompleks dan saling berkaitan dengan makna, perbendaharaan kata, sebutan dan mengenali huruf yang tercetak. Membaca perlu bermula dengan persekitaran literasi dari rumah ke institusi taska dan tadika seterusnya sekolah.

Huruf ‘A’ tidak memberi makna kerana huruf itu adalah simbol sahaja. Sukar bagi kanak-kanak menyebut dan mengingat huruf ‘A’ yang tidak memberi makna kepadanya. Seandainya orang dewasa menyebut ‘Ayah’ atau ‘Abah’ kanak-kanak kecil akan cuba memahami bunyi ‘A’ dan memberi makna kepadanya dengan merujuk ‘Ayah’.

Setiap kanak-kanak keupayaan dan kebolehan membaca adalah berbeza diantara satu sama lain. Dinasihatkan orang dewasa perlu bersabar sewaktu mengajar kanak-kanak membaca.

Selamat mencuba!

Published by
Nor Yusoff