Syukur alhamdulilllah! Hanya itu yang mampu diucapkan Mohd Shahril Azman bapa kepada bayi Adriana Maisarah yang kini semakin pulih dari penyakit ekzema teruk.
Menerusi Instagram Shahril, dia sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan menghulurkan bantuan kepada bayinya. Paling membuatkan dia terharu dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih adalah kepada Bos Nedim dan Nora Danish kerana membantu membiayai kos perubatan anaknya.
Shahril berkata, keadaan kesihatan anaknya sudah beransur pulih selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah selepas dapat rawatan pertama kulit anak saya 60 peratus sudah baik. Pada mulanya rasa bimbang pada usia dia empat bulan kulitnya mula tumbuh biji kemerah-merahan.
“Lama-kelamaan dia pecah dan merebak ke seluruh badan serta muka. Saya pergi beberapa hospital tapi ubat tidak sesuai,” ujarnya.
Shahril berkata, dia memuat naik foto anaknya di laman sosial Facebook baru-baru ini dengan tujuan meminta doa orang ramai.
Bagaimanapun, posting berkenaan menjadi tular sehingga mendapat perhatian suami aktres Nora Danish.
Shahril yang bekerja sebagai pekerja kilang di Kluang, Johor itu mengakui terkejut apabila Nedim meminta nombor telefonnya untuk dihubungi.
“Saya tiada niat untuk minta bantuan mana-mana pihak, saya muat naik di Facebook sekadar minta doa daripada rakan-rakan sahaja agar anak saya sembuh.
“Tidak sangka foto itu tersebar di Instagram sehingga Nedim sendiri menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Shahril berkata, dia bertemu dengan Nadim kali pertama pada 11 April lalu di pusat perubatan berkenaan.
“Pada mulanya macam tidak percaya tapi selepas Nedim betul-betul ingin membantu saya rasa dia ikhlas dan setuju untuk bertemu di pusat perubatan itu.
“Anak saya dapat rawatan pertama di sana dan doktor beri ubat. Insyallah ada rawatan susulan untuk melihat kesan ubat tersebut sesuai atau tidak,” ujarnya.
Tambahnya, dia berharap dapat bertemu sekali lagi dengan Nedim dan Nora bagi mengucapkan terima kasih terhadap pertolongan yang mereka beri.
“Saya tidak tahu nak balas bagaimana jasa mereka, saya harap ada kesempatan untuk bertemu mereka sekali lagi suatu hari nanti,” ujarnya.
Sumber: Instagram shahril1981 / mstar online