Kuatnya si kecil ini melawan sakit kanser mata yang dihidapi! Nur Haura Wasiqah anak kecil yang berjiwa besar. Anak kedua dari dua beradik ini baru berumur dua tahun, tapi dia telah diuji dengan ujian yang sangat berat. Dia telah dikesan mempunyai kanser mata.

Sejak lahir, Haura telah mengalami masalah penglihatan mata di sebelah mata kirinya. Apabila dia mencecah umur dua tahun, dia disahkan mempunyai Kanser Retinoblastoma. Ikuti perkongsian, Puan Nur Wahyuni (Ayu)

“Haura anugerah terindah buat saya dan suami. Doktor dah sahkan dia buta sebelah kiri sejak lahir kerana kanta matanya separuh berbeza dengan kanta normal dan tiada retina. Setiap bulan dia perlu menjalani pemeriksaan dengan Pakar Mata dan Pakar Kanak-Kanak di Hospital Batu Pahat, Johor. Haura turut disahkan menghidap jantung berlubang.  Terlalu banyak komplikasi yang dia hadapi ketika itu”.

“Bermula mac  2018, Haura mendapatkan pemeriksaan seperti biasa. Kemudian doktor kesan sesuatu dalam mata dia. Sebelum ni kalau doktor tengok cahaya dalam mata dia boleh tembus ke arah belakang, tapi kali ini doktor buat pemeriksaan dan dapati cahaya dalam mata dia dah tak boleh tembus ke arah belakang. Doktor kesan ada Crystal biji tanda awal kanser. Tapi keadaan mata haura ketika itu belum berair lagi, cuma size mata dia makin mengecil”.

“Doktor nasihatkan supaya buat Diagnostic cancer test di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Selepas pemeriksaan, doktor dapati dia ada tanda Kanser Retinoblastoma tahap 2. Kanser ini biasa akan menyerang kanak-kanak bawah umur tiga tahun. Kemudian doktor, saya dan suami berbincang tentang keadaan Haura. Doktor sarankan supaya buang biji mata yang telah dijangkiti kanser, iaitu mata sebelah kirinya. Saya dan suami mengikut arahan dan saranan doktor. Raya ke-5 baru ni saya dan suami bertolak ke HKL” cerita ibu tabah ini.

Pembedahan Ditangguh Akibat Kurang Dana

“Pembedahan sepatutnya sebelum bulan puasa tahun ini (2018). Namun disebabkan kekangan dana, saya dan suami melanjutkan tempoh pembedahan.  Pembedahan ini untuk gantikan mata di sebelah kiri dengan mata palsu”.

Pengorbanan Ulang Alik Ke Hospital

IKLAN

“Kami berulang alik ke hospital sejak dia lahir kerana masalah mata dia sejak lahir. Kami ke HKL dua kali untuk pembedahan dan follow-up di HKL. Sekarang setiap bulan kami perlu ke HKL dari Johor dan jika keadaan dia semakin baik kami perlu ke HKL dalam tempoh setiap  6 bulan”.

“Dari kecik mata dia sakit. Jadi kita reda, bila doktor sahkan dia kanser. Kalau ikutkan biarlah mata dia seperti dulu. Tapi sebagai ibu, saya takut matanya semakin teruk. Saya takut kuman merebak ke sebelah mata kanan, sebab mata sebelah kanan tiada masalah. Sekurang-kurangnya dia boleh teruskan hidup dengan satu mata. Kalau virus merebak, nanti dua-dua belah mata hilang penglihatan. Ini akan lebih menyukarkan dia.”

Dengar Nasihat Doktor

“Bila doktor cakap buang tu, kita ikut arahan doktor. Keputusan bersama, kami suami isteri bersetuju untuk membenarkan doktor buat pembedahan untuk buang sebelah mata. Mungkin ini yang terbaik untuknya. Kalau dibiarkan takut merebak dekat otak, hati dan jadi lebih parah. Jika kita boleh bantu apa yang patut, buatlah dan nasihat doktor”.

Haura Anak Yang Kuat

“Alhamdulillah Haura kuat. Daripada kecil dia dah biasa dengan satu mata jadi dia dah biasa. Haura dah boleh bercakap. Dia ada bagitahu sakit, dia menangis.  Doktor ada bagi ubat tahan sakit. Kadangkala dia menangis, air mata keluar darah, hidung pun keluar darah sekali. Sekarang alhamdulillah luka dah kering, lebam mata pun dah baik. Keadaan sekarang dah ok, dah mula main dengan abang dia,” cerita Ayu tentang perkembangan Haura.

Reda Dengan Ketentuan

“Ini semua ketentuan Tuhan dan saya reda, kalau saya tak kuat siapa yang akan bagi sokongan pada Haura. Sekarang dia kecil lagi, bila dia dah besar, kalau kita tak kuat dan tak bagi kata-kata positif dan bagi semangat.

Nanti bila dia dah sekolah dia akan jadi putus asa bila dia berjumpa orang. Saya takut dia akan putus asa, jadi dari sekarang saya kena bagi dia kata-kata semangat. Memang sedih dan menangis, tapi depan Haura saya perlu kuat dan buat macam biasa demi dia”.

Nasihat Kepada Ibu Bapa

Semoga ibu bapa di luar sana lebih berjaga-jaga jika anak anda ada tanda awal kanser.

Sumber: Puan Nur Wahyuni

Jangan lupa saksikan Pa&Ma setiap selasa, jam 12 tengah hari & ulangannya jam 9 malam di Astro Prima & Astro Maya HD.

Tajuk minggu ini sangat menarik iaitu “Wira Cilik Berjiwa Besar” dengan kupasan menarik daripada pakar-pakar & temu ramah ibu bapa anak-anak yang menghidap penyakit kanser.