“Alhamdulillah, Rezeki Anakanda” Majlis Tahnik Disempurnakan 5 Ustaz, Bertuahnya Muhammad Afwa!

Share

Selepas tujuh hari melahirkan bayi keduanya, Muhammad Afwa, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan nama indah buat bayi keduanya itu disamping turut mengadakan majlis aqiqah dan tahnik seperti yang disunahkan pada hari ke tujuh.

Semalam menerusi Instagramnya, Siti turut berkongsi beberapa video dan gambar sepanjang majlis ringkas itu berlangsung. Serba sederhana namun cukup meriah.

Paling bertuah dan beruntungnya, si comel Muhammad Afwa ditahnik dan disempurnakan oleh lima orang ustaz dan pendakwah yang cukup disegani iaitu YBhg. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Iqbal serta imam masjid Bukit Mulia.

Kata Siti, ia sebuah majlis yang sederhana namun amat memberi erti yang sangat besar buatnya dan keluarga.

“Alhamdulillah, majlis aqiqah, maulid dan tahnik telah berlangsung penuh sederhana tetapi memberi erti yang besar buat kami sekeluarga.

“Alhamdulillah, rezeki anakanda Muhammad Afwa, kerana telah mendapat doa-doa dan juga ditahnik oleh YBhg. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Iqbal serta imam masjid Bukit Mulia. @drzulkifli.albakri @ustazdondaniyal @uaioriginal @ustaziqbalzain,” kongsi Datuk Siti.

Dalam pada itu, Siti juga turut berterima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya bersama anaknya, Muhammad Afwa.

“Terima kasih di atas sekian banyaknya doa yang telah kami dan anakanda kami terima daripada orang ramai, tidak ada lafaz terindah pada bulan penuh keberkatan ini selain saya berharap agar Allah selalu mengikat hati kita semua dalam kebaikan bersilaturahim, meningkatkan amal kebajikan dan memperbanyakkan lagi amalan.

Terima kasih kepada kaum keluarga terdekat yang menyantuni majlis sederhana buat anakanda Muhammad Afwa semalam,” kata Siti berterima kasih pada semua.

Dalam pada itu, majlis ringkas serba sederhana itu turut dihadiri oleh kaum keluarga terdekat yang sama-sama berkongsi detik bermakna itu.

 

Satu kebahagiaan pastinya saat melihat potret Datuk Siti, Datuk K dan Aafiyah ketika bergambar bersama. Semoga Afwa dan kakaknya Aafiyah saling melengkapi dan membesar menjadi anak yang sihat dan sentiasa membahagiakan ibu dan ayahnya.

Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Kredit: @ctdk

Published by
SRM