“Kehadiran bayi lelaki ini pengubat rindu buat arwah. Sampaikan rambut pun sama, betul anak ayah ni.” Kongsi seorang ibu muda yang kisahnya pernah tular sebelum ini kerana pemergian suami secara mengejut sewaktu baru mengecapi alam perkahwinan genap dua bulan.
Lebuh memilukan, Airina Roslan atau mesra di sapa Erin, 24, tidak sangka selepas tiga hari pemergian suami, dia mendapat tahu dirinya mengandung.
Walaupun hanya dua bulan dapat melayari perkahwinan itu, pengganti bayi dalam kandungan itulah pengubat rindu buat arwah suaminya.
Erin pernah berkongsi walaupun hatinya sedih kerana tak sangka cepatnya Allah ambil suami, tapi dia mesti kuat demi bayi.
Suami kena serangan jantung masa main futsal
Sebelum ini, suaminya yang dikenali sebagai Muhammad Amirul Ashraf, 25 tahun, meninggal dunia genap dua bulan perkahwinan mereka, selepas arwah terkena serangan jantung ketika bermain futsal.
Ads
Tuhan itu Maha Adil, setelah tiga hari suami meninggal dunia, Erin disahkan hamil. Walaupun berita gembira itu tidak dapat dikongsikan bersama suami tercinta, namun kehadiran zuriat itu sedikit sebanyak menjadi pengubat rindu.
Anak yang ditinggalkan ini penghubung tanda cinta buat suami yang pergi buat selama-lamanya.
Terbaru melalui perkongsian di instagram dan IG storynya, Erin yang telah selamat melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ali, bersyukur Allah mempermudahkan urusannya walaupun tanpa kehadiran suami di sisi.
Bukan mudah melalui detik ini berseorangan, tetapi demi anak kekuatan itu datang dengan sendirinya.
Dalam perkongsiannya itu, Erin turut kagum dengan ibu-ibu yang mempunyai pengalaman bersalin banyak kali kerana bukan mudah melalui detik ini. Sakitnya Allah yang tahu.
Dia juga turut menitipkan pesanan kepada suami-suami bahawa betapa besarnya pengorbanan isteri ketika berjuang melahirkan zuriat. Ia antara hidup dan mati buat seorang wanita.
Sumber: IG Airina Roslan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan suami kepada pengasuhnya sendiri dalam kejadian di Bandar Baru Bangi dekat sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata mangsa meninggal dunia pada 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.
“Berdasarkan kenyataan ibu mangsa, semasa dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik. Namun, mangsa dikatakan mengalami sesak nafas pada sebelah petang dan dikejarkan ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, dan dubur mangsa juga mengalami koyakan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Ahmad Dzaffir berkata hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’, dengan tempurung kepala bayi pecah.
“Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan mangsa,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa mangsa yang menetap di kawasan perumahan sama dengan pengasuhnya itu menghantar bayi mereka ke rumah berkenaan sejak September lepas.
Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir berkata pihaknya menahan pengasuh serta suaminya yang bekerja sebagai penggunting rambut.
“Kita menahan pengasuh berusia 28 tahun bersama suaminya, 36 tahun, semalam. Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif methaphetamine,” katanya.
Beliau berkata lelaki itu ditahan reman lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: BERNAMA
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kelahiran adakalanya tidak dapat dijangkakan. Apatah lagi jika sudah ada tanda-tanda awal seperti pendarahan & kontraksi. Pengalaman yang dilalui ibu ini unik dan istimewa apabila melahirkan cahaya matanya di dalam kenderaan di parkir sebuah ibu pejabat polis (IPD).
Ibu muda, Anis Syabila Roslan, 19 tidak sempat tiba di hospital untuk bersalin dan menyebabkan dia terpaksa melahirkan di dalam kereta di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau.
Dia yang selamat melahirkan seorang bayi perempuan dalam kereta di kawasan parkir IPD Arau kira-kira 12 tengah semalam dalam perjalanan bersama dengan ibu mentua dan ibu bapanya dalam perjalanan dari rumah ke hospital pada kira-kira 11.30 pagi.
PENDARAHAN & SAKIT BERSALIN
“Anak lelaki saya sebelum itu telefon beritahu isterinya mengalami pendarahan disamping mengadu berasa sakit hendak bersalin.
“Saya dan besan kemudiannya ke rumah mereka untuk membawa Anis ke hospital,” kata ibu mertua Anis yang dikenali sebagai Toyibah.
CEMAS KEPALA BAYI KELIHATAN
Namun keadaan menjadi cemas ketika dalam perjalanan dan sampai di bandar Arau. Menurut Toyibah, besannya yang turut serta telah memaklumkan kepala bayi sudah kelihatan.
“Besan lelaki yang sedang memandu kereta cemas dan gusar melihat keadaan itu. Dia terus membelokkan kereta ke pekarangan IPD dan meminta kebenaran anggota polis untuk Anis bersalin di situ,” katanya.
DIBERI BILIK KOSONG TAPI IBU SEDANG BERTARUNG NYAWA
Menurutnya, anggota polis memberi kebenaran kepada mereka serta turut membantu keluarga berkenaan bagi memudahkan menantunya bersalin. Namun dalam suasana cemas dan kesakitan yang dialami Anis, proses kelahiran terpaksa diteruskan di dalam kereta.
“Pada mulanya anggota polis menawarkan bilik kosong tetapi dengan keadaan Anis yang sedang bertarung nyawa, kami terpaksa biarkannya bersalin dalam kereta.
“Kira-kira 12 tengah hari, Anis selamat melahirkan bayi perempuannya yang disambut sendiri oleh besan,” katanya.
IBU & BAYI DIBAWA KE HOSPITAL
Menurut Toyibah, kira-kira 10 minit selepas kelahiran ambulans tiba dan kemudiannya membawa Anis dan bayinya ke hospital. Dia turut memanjatkan kesyukuran diberikan bantuan ketika saat genting itu.
“Kami bersyukur kerana semuanya selamat dan berterima kasih kepada pihak IPD Arau yang turut membantu menantu bersalin,” katanya.
PERTAMA KALI BERLAKU, SYUKUR TIADA KOMPLIKASI
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menjelaskan ia pertama kali berlaku di IPD berkenaan.
“Melihatkan keadaan mereka yang darurat, semestinya anggota kami akan membantu sedaya mungkin untuk memudahkan urusan keluarga berkenaan.
“Kami bersyukur tiada komplikasi yang berlaku ketika bayi berkenaan dilahirkan dan adalah menjadi tanggungjawab setiap pegawai dan anggota polis untuk membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Kecekalan dan ketabahan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dalam usaha baginda mendapat zuriat wajar menjadi sumber inspirasi buat wanita di negara ini.
Bukan sekali, sebaliknya enam kali baginda menghadapi keguguran sepanjang 16 kali melalui proses rawatan kesuburan, termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) serta Intra-cytoplasmic sperm injection (ICSI), dan terpaksa menanti kira-kira 10 tahun untuk kelahiran cahaya mata.
Menerusi temu ramah khas, baginda turut berkongsi pahit manis yang dilalui sepanjang usaha dan ikhtiar mendapatkan zuriat. Dalam temuramah ini, sesekali baginda sebak dan menangis mengimbau kembali perjuangan mendapatkan cahaya mata.
Bonda penyayang kepada 5 cahaya mata iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah , Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah ini berkongsi suka duka perjalanan untuk menjadi seorang ibu.
“Setelah membuat rawatan akan berdebar-debar sama ada rawatan yang dilakukan berjaya atau tidak. Alih-alih menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu.
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum ayahanda cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi,” kata baginda yang mendirikan rumah tangga dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 6 Mac 1986.
YAYASAN FERTILITI TUNKU AZIZAH
Pengalaman mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata, permaisuri berjiwa rakyat ini telah menubuhkan sebuah yayasan untuk membantu pasangan kurang berkemampuan mendapatkan cahaya mata.
“Saya ada Yayasan Fertiliti Tunku Azizah kerana saya tahu susahnya nak dapat anak. Dan anak saya seramai 4 orang pun daripada rawatan IVF. Saya buat tu apabila saya nak lancarkan buku masakan. Saya ditanya ke manakah saya nak salurkan hasil jualan meja-meja.
“Masa tu lah tercetusnya idea. Saya kata saya nak buat yayasan untuk menolong mereka berpendapatan rendah yang tak mampu untuk membayar kos rawatan infertiliti yang mahal iaitu RM20 ribu hingga RM30 ribu. Jadi apa yang Allah kurniakan kepada saya, saya nak beri balik untuk menolong,” kata baginda.
“SAYA TAHU BAGAIMANA RASANYA…”
Baginda Permaisuri Agung yang amat disayangi rakyat ini juga turut menceritakan bagaimana rasanya berada dalam situasi berusaha untuk hamil selama bertahun-tahun. Baginda melalui pelbagai rawatan dan terpaksa berdepan dengan kegagalan dan keguguran. Ketika menjawab soalan daripada media, air mata baginda mengalir dan rasa sebak tidak dapat dibendung lagi.
“Saya tahu apa rasanya seorang perempuan berkahwin tidak boleh dapat anak & semua orang tanya. Apatah lagi saya yang berkahwin dengan Tengku Mahkota, yang patut lahirkan waris ganti.
“It was a pressure on me. Jadi saya faham bagaimana Empress Masako sekarang ni. Apa yang dia lalui saya tahu. Kerana saya dan dia sama masa tu.
“Dan saya ingat saya ada tulis surat kepada dia menceritakan saya buat rawatan. Saya tahu bagaimana perasaannya seorang perempuan yang tidak dapat melahirkan anak dan asyik ditanya.
“The pressure……, I know.”
“Saya tahu kerana saya juga mengalami keguguran. Saya tahu bagaimana sedih patahnya hati menangis bila kita dah mengandung gugur. Dah lah nak dapat anak tak dapat lagi.
17 KALI RAWATAN BARU SAYA DAPAT YANG MULIA TENGKU HASSANAL
Baginda turut menceritakan cabaran yang dihadapi sepanjang usahanya. Setiap rawatan tidak semuanya berakhir dengan kehamilan.
“Dan setiap kali saya membuat rawatan, tidak semestinya setiap rawatan itu jadi (berjaya). 17 kali saya buat rawatan baru saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
“Tapi dalam 17 kali nak dapatkan Hassanal. Beberapa kali tu dalam buat rawatan doktor kata “I am sorry, I think I have to abandon. Its not working”
DUA MINGGU BERDEBAR. AKHIRNYA DAPAT KEPUTUSAN TIDAK MENGANDUNG
Baginda Permaisuri Agung juga turut berkongsi kepahitan yang terpaksa didepani. Ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi amat prihatin dengan apa yang dilalui puterinya.
“Macam mana ye, menangis balik. Dah buat rawatan, dua minggu tu kita tahu mengandung atau tidak. Dalam dua minggu tu punyalah hati berdebar-debar. Alih-alih dapat result tak mengandung.
“Menangis patah hati. Jadi ayahanda saya merasa lebih bila dia tengok tu. (Sebak)
“Saya ingat masa lahirkan anak kembar, Almarhum cakap dekat saya. Azizah cukuplah. Abah tak sanggup tengok Azizah derita lagi.
“Setiap kali saya membuat treatment dia tahu apa yang saya lalui. Saya ke Singapura dan balik kena baring selama 6 bulan.
“Azizah Tuhan dah kurniakan Azizah 4 anak, cukuplah dia kata. Abah tak sanggup tengok Azizah derita.
Tapi rezeki sudah tertulis. DYMM Baginda Permaisuri Agung akhirnya hamil sendiri tanpa rawatan pada tahun berikutnya. Apa yang dikatakan Alharhum ayahanda baginda, itulah berkat sabar.
“Dan setiap kali saya mengandung, Tuanku pun tahu. Saya kena baring. Seperti ketika mengandung Tengku Hassanal, saya tak keluar. Duduk di katil. Kerana doktor memantau, dengan suntikan pada kiri dan kanan,” kata baginda yang cukup mahir menyediakan pelbagai jenis masakan.
PASANGAN BERUSAHA DAPATKAN ZURIAT JANGAN PUTUS ASA
Baginda Permaisuri Agung membantu pasangan yang berusaha memiliki anak melalui Yayasan Tunku Azizah. Baginda tidak lupa memberikan motivasi dan tip seperti berdoa, mendirikan solat hajat serta membaca surah Maryam.
“Jadi saya selalu bila dengar orang susah, saya mesti kata. Pergilah, jangan give up on hope. Tapi itu semua kuasa Allah. Kuasa Allah. Kita boleh cuba macam mana pun tapi saya selalu beritahu kepada mereka yang saya berikan bantuan rawatan Allah ada, buat solat hajat. Baca surah Maryam.
“Ada ayat-ayat dalam Al-Quran yang boleh menolong kita dapat zuriat. Sebanyak mana yang saya boleh buat sini, tapi yang menentukan hanya Allah SWT.
MULANYA DOKTOR KATA TAK BOLEH HAMIL LAGI
Selepas kelahiran anakanda sulung, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Baginda Permaisuri Agung tidak menyangka bakal menyambut 4 lagi cahaya mata.
“Berkat, Alhamdulillah saya bersyukur saya pun tak sangka lepas dapat satu anak, saya boleh dapat 4 lagi. Itu tidak terlintas dalam fikiran saya.
“Masa saya dapat Hassanal (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah).
Saya kata Alhamdulillah. Tapi saya kata takkan satu sahaja anak. Jadi saya pergi ke doktor lain.
“Doktor ini bertanya adakah Tengku nak cuba lagi? Saya kata Ya. Doktor kata saya rasa Tengku dah tak boleh dapat anak.
“Saya umur 36 tahun dan saya diberitahu mungkin tidak ada harapan untuk dapat anak. Sedangkan saya baru dapat seorang anak.
“Saya terus balik ke Singapura (baginda menangis dan menyapu air mata). Kemudian saya buat treatment, dapat Tengku Muhammad tu. Kandungan kembar tapi saya gugur satu bayi,” kata baginda.
SELEPAS RAWATAN PERLU BEREHAT DI ATAS KATIL SELAMA ENAM BULAN
Baginda Permaisuri Agung sangat cekal menghadapi ujian ini. Tidak berputus asa untuk meneruskan rawatan walau pun terpaksa melalui masa yang panjang dan perlu berehat selama enam bulan selepas hamil.
“Lepas tu Tuanku tanya, nak try lagi ke lepas ni. Tuanku tanya, sebab dia tahu kerana saya asyik ulang alik ke singapura. Masa tu di Malaysia tak ada.
“Saya berulang alik ke Singapura sehingga sebulan di sana untuk tentukan. Lepas tu balik kena baring lagi. Tak boleh keluar, sembahyang atas katil.
“Saya kata dah lah, dah cukup 2. Tapi ada yang frozen embryo yang dah jadi tu dalam freezer. Ada lagi 5. Saya kira kalau saya membuang itu kira menggugurkan, saya berdosa saya kata. Taruk je lah. Kalau jadi, jadi. Alhamdulilah. Kalau tak jadi, Allah dah kurniakan kita 2 orang anak lelaki yang comel.
SETAHUN SELEPAS KELAHIRAN KEMBAR, HAMIL LAGI SECARA SEMULA JADI
Selepas kelahiran anakanda kembar, Baginda Permaisuri Agung menceritakan kehamilan secara semula jadi berlaku. Berita menggembirakan itu diketahui pada hari ulang tahun pertama anakanda kembarnya iaitu Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatu’llah.
“Selepas pemindahan embrio, tak sangka dapat kembar. Selepas melahirkan yang kembar, doktor tanya saya. Dah 3 kali caesarean, Tengku nak ikat ke tidak kerana dah 3 kali bedah.
“Saya kata ,Allah, awak ni doktor, saya ni nak mengandung kena pergi jumpa doktor untuk buat treatment. Doktor itu mengusik, tahun depan kalau mengandung lagi jangan cari. Jangan marah ye.
“Betul-betul lepas ulang tahun kelahiran pertama anak kembarnya, saya mengandung. Saya call doktor, saya kata. I think I am pregnant.
“I told you,” kata doktor.
“Alhamdulillah saya dapat anakanda yang kecil sekali (Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah) pada usia 42 tahun. Alhamdulillah ini semua kurniaan yang tak disangka-sangka.
"Semua tahu bagaimana susahnya saya nak dapat anak. Empat anak saya hasil rawatan IVF.Saya sembilan tahun lebih kahwin pun macam hendak putus asa, 17 kali buat rawatan. Setiap kali saya mengandung, saya kena baring enam bulan tak turun daripada katil," kata Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.