Perubahan pada insan yang disayang semestinya akan diketahui pasangan. Yang pasti sebagai orang paling rapat, suami atau isteri pasti akan perasan. Apatah lagi ketika hamil.
Berbeza dari sebelum ini
Pelakon, penyanyi dan pengacara popular Alif Satar mengakui isterinya, Shadila Halid yang kini sedang hamil 19 minggu menunjukkan perbezaan berbanding sebelum ini.
Pasangan bahagia ini bernikah pada 15 September 2014 dan rumah tangga mereka sudah diserikan dengan dua orang cahaya mata perempuan yang dinamakan Alisha Anugerah dan Ariana Mecca.
Ambil masa lama untuk bersolek
Kata Alif, isterinya yang tersayang kini bukan saja lebih cantik daripada kebiasaaan, malah turut berperangai aneh apabila mengambil masa terlalu lama untuk bersolek setiap kali keluar dari rumah.
“Alhamdulillah dah masuk 19 minggu isteri saya hamil. Tapi kali ni memang nampak lain sikit.
“Dia asyik nak melawa je. Kalau dulu kejap je bersiap sekarang ambik masa agak lama kalau nak keluar rumah,” katanya.
Adakah kemungkinan anak lelaki?
Jelas Alif, kelakuannya yang sedikit berbeza daripada kebiasaan itu turut membuatkannya terfikir kemungkinan anaknya kali ini adalah lelaki.
“Orang kata kalau anak perempuan tu dia ambil kecantikkan ibu, kalau lelaki tu pula ibu yang nak melawa. Apapun saya bersyukur je kalau Tuhan nak bagi lelaki atau perempuan,” katanya.
Berdebar menanti Oktober
Apabila ditanya jika kehamilan isterinya itu memberi kesan pelik terhadap dirinya, bapa & suami penyayang ini juga menjelaskan dia berasa sedikit berdebar menantikan anak ketiganya itu.
“Bila anak dah bertambah, kita pun kena kerja kuat. Itu yang membuatkan Alif sangat gementar.
“Insya-Allah, Shadila dijangka bakal melahirkan bayi ketiga pada Oktober ini,” katanya.
Sumber: gempak.com
Foto: IG Alif Satar & Shadila Halid
Artikel berkaitan:[Rezeki Anak Ke-4 Cepat. Alif Satar Syukur Isteri Hamil Semula Selepas Keguguran Awal Tahun ]
[Teringin Adik Lelaki, Anak Perempuan Alif Satar Panggil ‘Baby Brother’ Dalam Perut Mamanya]
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Barang Keperluan Bayi Ini Tak Perlu Dibeli Sebelum Bayi Lahir. Boleh Tangguh Dahulu!
Mana-mana ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata pasti teruja mahu membeli-belah keperluan dan kelengkapan yang bakal digunakan oleh si anak nanti. Antara barang yang dibeli termasuklah pakaian, kelengkapan mandian, lampin dan sebagainya. Tidak lupa juga peralatan lain seperti katil, car seat, stroller dan lain-lain.
Persoalannya, perlukah semua barang ini dibeli dalam satu masa? Jawapannya, tidak semuanya perlu dibeli sebelum bayi lahir. Boleh tangguh dahulu.
Rancanglah pembelian. Tambahkan peralatan selepas mendapati diri anda atau bayi sangat memerlukannya. Malah, kalau tiada keperluan untuknya, langsung ia tidak perlu dibeli. Lebih menjimatkan!
Baby cot
Katil bayi terdapat dalam pelbagai bentuk dan jenis. Biasanya baby cot diperbuat daripada kayu. Rekaannya dihasilkan mengikut peringkat umur bayi.
Baby cot biasanya sesuai untuk bayi selepas lahir sehingga umurnya enam bulan. Katil seperti ini tidak lagi selamat selepas bayi sudah pandai merangkak.
Walau bagaimanapun, jika berkeinginan mengasingkan bayi semasa dia tidur, anda disarankan membeli katil bayi yang boleh digunakan sehingga bayi berumur dua tahun agar lebih jimat.
Baby bouncer (kerusi goyang bayi)
Bayi yang baru lahir tidak digalakkan untuk digoyang atau dihenjut kerana perbuatan ini boleh menggegarkan otak dan boleh menyebabkannya tercedera tanpa anda sedari.
Adalah lebih baik jika anda hanya membaringkan bayi yang baru lahir di atas tilam bayi sahaja. Tangguh dahulu pembelian baby bouncer. Apabila anak sudah besar sedikit, barulah anda boleh menggunakannya. Namun, tidak digalakkan untuk menghenjut atau menggoyangkannya terlalu kuat ya.
Stroller
Dalam kebanyakan barang keperluan bayi, stroller merupakan antara yang mahal harganya. Harga kereta sorong bayi bergantung kepada rekaan dan jenama. Lebih canggih rekaan, lebih tinggi harganya.
Dapat dilihat kebanyakan ibu bapa gemar membeli stroller sejak bayi belum lahir lagi. Bayi yang baru lahir, sebaik-baik didukung agar dia merasai kehangatan tubuh ibu atau bapa dan dapat mendengar denyutan jantung anda. Oleh yang demikian, dia berasa lebih selamat.
Setelah bayi bertambah umur, barulah anda membelinya. Itu pun jika anda kerap keluar bersiar-siar atau membeli belah.
Buaian bayi
Sesetengah ibu bapa gemar menggunakan buaian untuk menidurkan bayi. Hal ini kerana ada anggapan bahawa buaian sangat membantu bayi untuk tidur.
Sebenarnya, penggunaan buaian bayi tidak dibenarkan kerana terdapat banyak kes kemalangan yang berlaku akibat penggunaannya. Antaranya ialah bayi jatuh dari buaian.
Kerusi makan bayi
Kerusi makan bayi hanya berguna semasa waktu makan. Bayi anda baru laihir! Dia hanya akan menggunakan pada usia enam bulan dan ke atas.
Playpen
Kelengkapan ini hanya akan berguna apabila bayi sudah pandai bermain. Anda boleh beli playpen selepas bayi mula belajar merangkak. Semasa dia bermain, letakkan dia di dalam playpen agar dia tidak sewenang-wenangnya memasukkan barang-barang terlarang ke dalam mulut semasa mengutipnya di atas permukaan lantai.
Walker
Walker dipercayai boleh membantu bayi untuk belajar berjalan. Akan tetapi, sekiranya bayi diletakkan di dalam walker terlalu awal, bayi akan cenderung untuk melangkaui proses pertumbuhan semula jadinya seperti merangkak dan bertatih.
Malah, penggunaan walker tidak digalakkan kerana boleh mengundang bahaya kepada bayi jika tidak dipantau oleh orang dewasa.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
9 Bulan Hamil Elak Makanan Berproses. Amalkan Jenis Makanan Ini Untuk Kelahiran Bayi Sihat
Soalan yang selalu kerap ditanya oleh ibu hamil, apakah makanan yang baik sepanjang kehamilan dan bagus untuk ibu dan anak? Walaupun dah ada pengalaman sebelum ini pun, kebanyakan ibu masih nak tahu juga info ini sebagai persediaan awal.
Memang kalau diikutkan banyak makanan tambahan ada di pasaran untuk ibu hamil ambil. Namun sebaiknya digalakkan ibu mengambil dari sumber yang semulajadi kerana ia terbukti lebih selamat.
Menurut Dr Zubaidi Hj Ahmad beliau mencadangkan beberapa jenis makanan ini elok diambil sepanjang kehamilan sekiranya tiada apa-apa masalah kesihatan lain yang memerlukan diet tertentu.
Bagi wanita hamil, saya cadangkan perbanyakan makanan ini sepanjang kehamilan kerana ia barakah (disebut dalam al-Quran) dan sangat bernutrisi. Bagi mereka yang hamil tanpa masalah kesihatan, perbanyakan makanan tambahan ini dan elakkan makan makanan yang berproses.
Pertama: KURMA
Bagi mereka yang rasa lapar di antara waktu makan, ambillah 2-3 kurma sebagai kudapan. Kurma sangat kaya dengan pelbagai jenis protein, vitamin dan mineral. Ia mengandungi serat yang banyak. Kurma mempunyai gula dan serat, jadi penyerapan gula agak sederhana. Sangat bagus bagi menambahkan tenaga sepanjang kehamilan. Tidak perlu ambil banyak dalam setiap hidangan. 2-3 biji sudah memadai.
ARTIKEL MENARIK [Ada Kontraksi Bukan Terus Bersalin. Kena ‘Get Ready’. Penting Minta Reda Ibu & Suami]
Kedua: BUAH TEEN
Buah teen mengandungi Omega 3 dan Omega 6 yang membantu perkembangan saraf anak. Makan buah teen mengurangkan kelelahan, meningkatkan daya memori otak dan mencegah anemia. Ia juga mengandungi serat membantu keseimbangan gula dan kolestrol dalam darah. Ia mengandungi kalsium, potasium, zink dan zat besi yang baik untuk ibu hamil.
Ketiga: MINYAK ZAITUN
Minyak zaitun adalah makanan tambahan yang terbaik untuk wanita hamil. Ia mengandungi ‘essential fatty acid’ yang diperlukan untuk perkembangan saraf dan otak bayi.
Keempat: BUAH DELIMA
Buah delima mengandungi fitokimia yang baik untuk jantung dan dapat dapat mengimbangi tekanan darah. Buah delima sangat bagus untuk pembentukan tulang bayi dalam rahim.
ARTIKEL PILIHAN [Amalkan Surah Ini Sepanjang Hamil. Lagi Elok Suami Pun Baca & Niatkan Untuk Kedua-duanya]
Kelima: MADU
Pilih madu yang asli dan kita akan mendapat kebaikan darinya. Madu mengandungi vitamin, mineral dan enzim yang bermanfaat. Ia sudah terbukti keberkatannya, dan disebut dalam al Quran dan terdapat satu surah yang dinamakan lebah iaitu surah An Nahl.
Keenam: SUSU
Minumlah susu segar sama ada susu lembu atau susu kambing. Ia membekalkan tenaga dan nutrisi yang banyak pada wanita hamil dan anak dalam rahem. Pastikan tiada masalah alahan atau lactose intolerance pada mana-mana susu ini. Saya mencadangkan minum 2-3 gelas susu segar setiap hari bagi menampung keperluan tenaga yang bertambah diperlukan oleh wanita hamil.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
UPT Positif Tapi Bila Scan Kantung Kosong, Mungkin Ini Puncanya!
Kenapa bila tengok gambar pregnant test positif tetapi tidak mengandung pun, ya? Jom fahami punca mengapa keadaan itu terjadi dalam perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!
Gambar pregnant test positif tapi tidak hamil, kenapa ya?
Apabila melakukan ujian kehamilan (UPT) dan mendapat keputusan positif palsu, ia boleh menjadi pengalaman yang menjengkelkan – khususnya buat mereka yang mengalami kesukaran untuk hamil atau sedang merancang kehamilan.
Harapan yang menggunung apabila melihat tanda positif boleh hancur berderai jika mengetahui ia adalah keputusan positif palsu. Pastinya ia boleh menyebabkan wujudnya kekecewaan yang mendalam.
Berita baiknya, pakar menjelaskan situasi untuk mengalami UPT positif palsu adalah jarang untuk terjadi.
Punca gambar pregnant test positif tetapi tidak hamil
Berikut antara perkara yang boleh menyebabkan anda mendapat UPT positif palsu:
1. Membiarkan kit ujian terlalu lama
Sekiranya anda mengambil ujian kehamilan standard dengan penunjuk garis, adalah penting untuk menyemak keputusan mengikut arahan khusus ujian.
Jika dibiarkan terlalu lama sebelum membaca keputusan, air kencing pada kit ujian boleh menyejat dan menjadikannya kelihatan seperti anda mempunyai 2 garis dan bukannya hanya 1 – menjadikan keputusan positif sedangkan hakikatnya negatif.
2. Tamat tempoh punca gambar pregnant test positif tapi tidak hamil
Sebab kedua paling biasa anda akan mendapat keputusan positif palsu adalah kerana kit ujian kehamilan telah tamat tempoh.
Apabila kit ujian melepasi tarikh tamat tempohnya, bahan kimia yang mengesan hCG – human chorionic gonadotropin – tidak dapat berfungsi dengan berkesan dan menyebabkan keputusan yang salah.
3. Sedang mengambil ubat kesuburan
Sekiranya UPT diambil terlalu awal selepas pengambilan ubat kesuburan yang mengandungi hCG – seperti sesetengah suntikan dalam prosedur persenyawaan in vitro (IVF) – anda boleh mendapat keputusan positif palsu.
4. Masih ada hormon hCG selepas bersalin atau keguguran
Keguguran kehamilan biasanya berlaku dalam 13 minggu pertama kandungan. Bahkan kebanyakannya berlaku sebelum seorang wanita mengetahui dirinya hamil.
Biasanya selepas melahirkan anak atau keguguran, hCG boleh kekal dalam tubuh – dianggarkan untuk tempoh masa 4-6 minggu untuk tahap hCG kembali normal.
5. Mengalami kehamilan ektopik
Kehamilan ektopik atau luar rahim berlaku apabila telur yang disenyawakan berkembang di luar rahim – biasanya dalam tiub fallopio – ia juga boleh terjadi dalam ovari atau serviks.
Kehamilan jenis ini biasanya tidak akan berkembang kerana embrio tidak berada di dalam rahim – tempat ia boleh membesar. Tetapi hormon hCG masih terhasil yang menyebabkan anda mendapat keputusan positif.
Kehamilan ektopik boleh mengancam nyawa. Berjumpa doktor dengan segera jika anda mengalami mana-mana gejala berikut:
- Sakit yang teruk di perut atau pelvis semasa hamil
- Pendarahan faraj
- Pening yang teruk, sakit kepala atau pengsan
- Sakit bahu
- Dorongan untuk buang air besar
- Sebarang gejala lain yang membuat anda berasa bimbang
6. Kehamilan kimia, penyebab gambar pregnant test positif tapi tidak hamil
Kehamilan jenis ini adalah keguguran yang berlaku sebelum minggu ke-5 kehamilan apabila embrio dapat ditanam di dalam rahim tetapi tidak bertahan lama. Anda mungkin tidak menyedari bahawa diri sedang mengandung.
Dalam kehamilan kimia, embrio masih menghasilkan hCG sekali gus menyebabkan UPT positif palsu.
Kehamilan jenis ini bukan berpunca daripada tindakan atau ketidakupayaan oleh wanita tetapi boleh berlaku kerana:
- Fibroid
- Parut tisu
- Jumlah hormon tertentu yang rendah seperti progesteron
- Kelainan pada bentuk rahim
7. Keadaan perubatan, antara contoh pregnant test positif tetapi tidak mengandung
Kadangkala keadaan perubatan boleh mencetuskan positif palsu dalam ujian air kencing, seperti:
- Sista ovari
- Penyakit buah pinggang
- Jangkitan saluran kencing
- Masalah pituitari
- Dalam beberapa kes, kanser ovari dan penyakit serius lain
Jika anda mendapat keputusan ujian positif palsu dan telah menolak sebab-sebab lain, berunding dengan profesional perubatan untuk menguji keadaan kesihatan di atas.
Doktor mungkin mengesyorkan ujian darah untuk mendapatkan keputusan ujian yang lebih tepat.
Cara mendapatkan keputusan ujian kehamilan tepat
Untuk elakkan gambar pregnant test positif tetapi tidak hamil, ada beberapa cara boleh anda lakukan bagi mendapatkan keputusan yang lebih tepat.
Masa yang betul
Jangan ambil ujian terlalu awal. Disarankan untuk UPT dilakukan selepas tidak mengalami pendarahan haid pada bulan tersebut atau kemungkinan besar anda akan mendapat negatif palsu – mahupun ujian itu akan mengesan kehamilan kimia yang tidak dapat berkembang.
Mengikut arahan label, contoh pregnant test positif
Pastikan kit ujian anda belum tamat tempoh. Baca arahan dengan teliti dan ikuti langkah-langkah dengan tepat untuk mengelakkan keputusan palsu yang akan mengecewakan anda.
Ulangi ujian kehamilan
Mendapat hasil ujian kehamilan di rumah yang positif, mungkin menyebabkan anda tidak sabar untuk melakukan ujian darah untuk mengesahkan keputusannya. Ujian darah lebih tepat, jadi itu sudah tentu satu pilihan.
Tetapi anda juga boleh mengulangi UPT selepas 3-5 hari untuk mengesahkan kehamilan dan jika hasilnya masih positif, tahniah!
Sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik.
Kredit: Hello Doktor
Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI