Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim telah selamat melakukan acara tahnik untuk bayinya, Areesya Malaykha pada Jumaat lalu selepas lama menunggu kehadiran orang baru dalam hidupnya.
Azrinaz bersyukur kerana tahnik yang dilakukan di hari keenam kelahiran bayinya itu telah disempurnakan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin di kediaman mereka.
“Alhamdulilah, mengambil berkat penghulu segala hari, Jumaat lepas Areesya Malaykha telah ditahnik oleh Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin dibantu oleh Ustaz Mohd Hafeez di kediaman kami.
“Tahnik merupakan amalan sunnah yang dituntut dengan menyapu kurma yang dihancurkan ke langit-langit bayi bersama air zam-zam dan madu. Tujuannya agar bayi terlatih mengunyah makanan dan menguatkannya untuk makan.
“Dari Abu Musa beliau berkata, “(Suatu ketika) aku memiliki anak yang baru lahir, kemudian aku mendatangi Nabi SAW, kemudian baginda memberi nama padanya dan baginda mentahnik dengan sebutir kurma.” [Riwayat Imam Muslim],” tulisnya.
Azrinaz berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut Azrinaz telah berkongsi gambar sekitar majlis tahnik dilakukan.
Selepas 11 tahun, macam mimpi ada baby
Tambah Azrinaz lagi, Areesya merupakan zuriat yang sudah lama dinanti-nantikannya dan berharap anaknya itu menjadi anak yang solehah, baik dunia dan akhirat.
“Sesungguhnya saya dan suami telah lama menanti dan merindui kehadiran zuriat darah daging sebagai penerus jasa, penyeri hidup kami sekeluarga
“Menjadi harapan kami agar Areesya Malaykha menjadi seorang anak yang solehah, sihat tubuh badan, pandai berbicara dan berkata-kata (macam mommy ) dan menjadi insan berguna di dunia dan akhirat,” luahnya.
Sebelum ini Azrinaz berkongsi berita gembira selepas selamat melahirkan bayinya secara normal dengan berat 2.75 kilogram pada jam 10.20 pagi setelah 11 tahun ‘berehat’.
Proses bersalin mudah
Walaupun lebih 10 tahun rehat proses kelahiran kali ini sangat mudah dan lancar.
“Saya dimasukkan ke pusat perubatan dari jam 5.30 pagi. Beberapa jam selepas itu, anak saya dilahirkan. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan proses kelahiran juga mudah.
“Saya tidak menjangka semuanya berlaku begitu pantas. Mungkin kerana saya mengamalkan gaya hidup sihat, selain rezeki, semuanya menjadi mudah,” katanya.
Azrinaz dan suaminya, Fairos Khan Abdul Hamid, 43, itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup pada 1 Mei tahun lalu selepas mengenali antara satu sama lain sejak 20 tahun lalu dan mula rapat setahun sebelum bernikah.
Terdahulu, Azrinaz yang pernah berkahwin dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu, Pengiran Muda Abdul Wakeel, 13, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, 11.
Sumber: IG Azrinaz Mazhar Hakim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI