Amalan Makan Semeja, Hubungan Suami Isteri Lebih Mesra. Anak Pun Senang Nak Bentuk

Share

Ada setengah keluarga masih mengamalkan aktiviti makan bersama sebagai rutin harian mereka, namun tidak kurang juga yang sudah lama tidak berkesempatan meluangkan masa seperti itu.

Apa kata jadikan rutin makan bersama setiap hari sekurang-kurangnya waktu makan malam sebagai peraturan yang wajib buat seisi keluarga.

Semua ahli keluarga wajib ada dan makan bersama di meja makan. Bukan saja ibu bapa, malah anak juga pasti akan seronok apabila dapat makan bersama terutama bagi mereka yang jarang bersua walaupun tinggal dalam rumah yang sama.

Paling penting, letakkan telefon bimbit masing-masing jauh dari meja makan. Jangan benarkan sesiapa guna gajet pintar mereka dalam tempoh ini kerana tumpuan perlu diberikan kepada perbualan keluarga, tidak kiralah apa pun topiknya.

Seperti yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin Noor Sadan, di meja makanlah ibu bapa dan anak-anak dapat bercerita dan bertanya apa jua soalan yang berlaku pada hari tersebut dan semua ini harus dijadikan rutin.

Ni meja makan di rumah saya. Anda lihat susun atur atas meja tu. Pinggan plastik dan cawan plastik itu anak saya yang berumur 2 tahun yang susun.

Dulu, Ibu bapa saya latih kami adik-beradik beberapa perkara.

[1] Bila tiba masa makan, tak kiralah kami lapar atau tidak, dah makan atau belum, kami kena berkumpul di meja makan di dapur. Pada hari minggu, minum petang dan makan malam adalah waktu wajib berkumpul. Pada hujung minggu, semua waktu makan adalah waktu wajib berkumpul.

[2] Masa makan, adalah masa beri laporan harian. Belajar apa di sekolah, makan apa di sekolah, tonton kartun apa petang tadi, keputusan peperiksaan, dan sebagainya. Masa itu jugalah nak sampaikan pesan apa-apa. Cikgu suruh bawa kertas warna, tarikh mesyuarat PIBG, dan lain-lain.

[3] Apa sahaja yang dihidangkan, kami kena makan. Tak ada istilah, kalau lauk tu saya tak suka, saya akan dapat lauk gantian (contoh:telur goreng). Jangan berangan. Kalau kami keluar makan pula, kami selalunya akan order makan hidang, jarang ala-carte. Jika order ala carte, kami order makanan lain-lain, tapi pasti kami kongsi supaya semua orang dapat rasa.

Nampak macam ibu bapa saya rigid, tapi sebenarnya ada banyak kebaikan dalam amalan yang mereka budayakan ini.

[0] Adik beradik saya, semuanya jadi doktor(seorang masih pelajar perubatan).

[1] Jimat masa dan tenaga. Semua orang makan serentak, jadi perlu makanan hidang sekali dan cuci pinggn mangkuk juga sekali harung. Di samping itu, waktu makan juga jadi teratur. Ini baik untuk kesihatan tubuh badan.

[2] Ada masa bersosial yang tetap. Aktiviti dan peristiwa harian dilaporkan kepada ibubapa setiap hari. Kerana laporan-laporan ini, ibubapa saya kenal hampir semua kawan-kawan saya dan adik-adik saya. Kami juga sentiasa sepakat dalam membuat keputusan.

[3] Adik-beradik saya tiada yang cerewet bab makan. Kami makan semua aneka lauk-pauk, kuih-muih, buah-buahan, sayur-sayuran, asalkan halal. Ketika anak saya berumur 6 bulan, ibubapa saya dah ajar anak saya rasa(bukan makan) makanan harian yang kami makan. Hasilnya, kini anak saya tak cerewet sangat bab makan. Peria pun dia makan.

Selain itu,

[4] Anak saya membesar lihat atok nenek dia, pakcik makcik dia, ibu bapa dia makan pakai tangan dan pakai sudu garfu, jadi pada umur dia 1 tahun, dia dah mula belajar gunakan peralatan. Kawalan motor halus mula dilatih pada usia itu.

Umur dia 2 tahun, dia dah pandai pegang pensel dengan cara yang betul(macam orang dewasa pegang). Saya tak ajar bagaimana nak pegang, saya cuma perlihat macam mana saya pegang pensel.

[5] Pada umur 2 tahun setengah, anak saya dah tahu meja makan adalah tempat untuk berkumpul. Dia tahu bagaimana nak susun atur pinggan dan cawan di atas meja. Setiap hari, jam 10 pm, bila saya balik dari pada kerja. Anak saya akan teman aku makan malam. Tak kiralah dia dah makan ke belum, dia akan makan bersama, atau teman saya makan.

[6] Saya ada pembantu rumah. Selepas makan, pembantu rumah akan kemas meja. Jadi, selepas makan, anak saya akan ambil tisu dan lap meja. Kalau makan di luar pun, selepas makan, dia nak lap meja. Dia lap tak bersih pun. Yang penting dia faham konsepnya.

Pada saya, dalam setiap rumah, meja makan adalah pusat pentadbirannya. Di situlah, rezeki dinikmati. Disitulah diskusi dan perbincangan di lakukan. Disitu jugalah, budaya, disiplin dan sahsiah dibentuk.

Oleh itu, pastikan meja makan di rumah anda sentiasa kemas, bersih dan teratur. Semoga kita semua sukses!

Nota: Jika tiada meja makan, gantikan dengan tikar. Sama sahaja mujarabnya.

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Published by
Wan Amalia Mohd Daud